Oleh : MEDIA LCF-TSMP.
MERUJUK kepada kenyataan Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Paul Basintal bertarikh 18 Oktober 2011 di Sabahkini.net bertajuk ’Pembukaan TMTS Untuk Aktiviti Menyelam’; Pengerusi Local Community Forum Taman Tun Sakaran Marine Park (LCF-TSMP) Abdullah Sani Haji Abdullah, berpendapat tindakan ’malafide’ berkenaan mengheret Taman-Taman Sabah dalam satu sengketa yang panjang dengan para pewaris yang dikhianati.
Abdullah Sani membidas keras bahawa belum pun Pewaris dan Taman-Taman Sabah bertemu untuk mengadakan perbincangan ke arah memantapkan perjalanan Pentadbiran Taman Marin Tun Sakaran, Taman-Taman Sabah telah mengeluarkan satu kenyataan provokasi dan mengesahkan bahawa dakwaan Pewaris sebelum ini adalah berasas dan mempunyai bukti nyata.
Kenyataan yang dibuat oleh Paul Basintal selaku Pengarah serta Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, kata Abdullah Sani adalah bersifat provokasi untuk mengheret para Pewaris dalam satu ’Peperangan Psikologi’ (Saiwar) yang berpanjangan dengan tujuan jahat untuk merampas kuasa para Pewaris terhadap pulau dan wilayah kelautan yang mereka warisi sejak turun temurun.
”Pulau-pulau ini adalah Hak kami yang dilindungi Undang-Undang. Lautan yang diwartakan seluas 100,000 hektar itu adalah hak semua penghuninya yang terlibat dalam pewartaan. Tidak timbul soal Tanah (Daratan, Bukit dan Gunung di dalamnya) serta soal lautan (Terumbu Karang, Pelantar Benua Dan Terusan) di kawasannya kerana semua ini terletak hak dalam satu ‘Package’ Pewartaan 2004.
Dalam Undang-undang Pewartaan 2004 Enakmen Taman-Taman Sabah, kata Abdullah Sani jelas menyatakan perkara 2 yang berbunyi :-
”Mereka yang mempunyai Hak NCR tidak boleh DIGANGGU dan boleh meneruskan tuntutan terhadap Hak mereka dalam Taman.”
Tetapi peraturan yang dibuat oleh ‘Penjajah’ Darwin (Kontraktor Eropah Agensi Pemeliharaan) yang mencadangkan supaya menghadkan Zon-Zon di sana telah menyebabkan Hak mereka terganggu dan tersekat. Hari ini Hak yang disekat itu dibuka kepada pengusaha pelancongan tanpa sebarang perbincangan atau persetujuan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Taman-Taman Sabah, kata Abdullah Sani, memang jelas dan terbukti bahawa Pengurusan Taman-Taman Sabah berniat jahat terhadap Pewaris; baik di peringkat Daerah, Ibupejabat Taman Sabah, Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah serta Kementerian Pelancongan Sabah; yang secara total telah mengenepikan Undang-Undang Pewartaan Taman Marin Tun Sakaran serta melanggar Pelan Pengurusan Taman itu yang telah ditetapkan sejak 10 tahun dahulu.
“Adakah ini tindakan Provokasi Taman Sabah kepada Pewaris Taman yang berjuang mendapatkan hak mereka mengikut lunas undang-undang dan yang telah mematuhi program pemeliharaan taman dengan menggariskan beberapa Zon sebagai asas kepada Pemeliharaan?” tanya Abdullah Sani yang memerlukan campurtangan Ketua Menteri dalam hal ini kerana tindakan Taman-Taman Sabah telah melanggar Artikel 153, Perlembagaan Persekutuan.
Taman-Taman Sabah, kata Abdullah Sani, telah dipertanggungjawabkan menjalankan amanah, tetapi nampaknya tidak amanah setelah gagal melaksanakan tuntutan Pewaris supaya melaksanakan terlebih dahulu semua Undang-Undang serta enakmen pewartaan Negeri Sabah sebelum menguatkuasakan peraturan-peraturan tertentu di dalam Taman.
Dengan mengeluarkan Permit dan kebenaran kepada pihak luar, kata Abdullah Sani, Taman Sabah telah melanggar satu lagi peraturan yang telah dijamin oleh undang-undang iaitu;
”Setiap Pembangunan yang hendak dibuat hendaklah melibat waris atau pemilik tanah.”
Tetapi pembangunan yang dibuat selama ini oleh Taman-Taman Sabah, kata Abdullah Sani, tidak pernah melibatkan para Pewaris; selain berjanji kosong dan melakukan pembohongan dengan ‘melacurkan’ jawatan Pengarah Taman-Taman Sabah untuk melakukan penindasan secara terbuka terhadap para Pewaris.
Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, tuntutan serta surat dari para Pewaris yang sekian lama dihantar kepada Taman-Taman Sabah; Pengerusi Taman-Taman Sabah, Menteri Pelancongan Sabah, belum mendapat sebarang jawapan atau cadangan penyelesaian konkrit ke arah Hak Tanah Adat (NCR) dalam TSMP.
Tindakan Taman-Taman Sabah menggunakan ‘KUASA VETO’ yang tidak pernah disebutkan dalam sebarang enakmen dengan melarang Pewaris dan menentukan Zon ‘No Entry’ kepada Pewaris; tetapi membuka pintu seluasnya kepada Pengusaha Pelancongan, bukan sahaja membuktikan pencabulan hak asasi, malah menyuburkan amalan rasuah dan melanggar Undang-Undang Pewartaan TSMP yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Sabah.
Sebelum ini, kata Abdullah Sani, Pewaris telah memaklumkan kepada Taman-Taman Sabah supaya melaksanakan Undang-Undang terlebih dahulu sebelum peraturan dikeluarkan.
“Jesteru itu, dengan kenyataan nakal dan beragenda oleh Paul Basintal, akan memberikan ruang yang lebih luas kepada Pewaris untuk tidak mematuhi semua peraturan dan tindakan Pengurusan Taman Sabah di dalam Taman Marin Tun Sakaran,” kata Abdullah Sani yang menyatakan pihaknya terpaksa melaksanakan ‘Tit for Tats’.
Tindakan Pengurusan Taman-Taman Sabah memaksa Pewaris untuk merobohkan bangunan dan hak NCR mereka dalam kawasan Taman-Taman Sabah secara berterusan untuk memberi ruang kepada pengusaha pelancongan, kata Abdullah Sani adalah jenayah terancang yang dilakukan Menteri dan Pengarah Taman-Taman Sabah.
“Sewajarnya amalan songsang ini dihentikan serta merta sebelum berlaku sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa; lebih-lebih lagi faktor keselamatan yang tidak terjamin kerana terdapat lebih 1,000 buah keluarga pendatang asing yang menetap di kawasan Taman Marin Tun Sakaran,” kata Abdullah Sani yang bimbang kegiatan penculikan berlaku lagi disebabkan kecuaian pihak berkuasa mengawal perairan negara.
No comments:
Post a Comment