Wednesday 22 April 2015

Kemudahan Bukan Kekangan Capai Kecemerlangan - Jamawi



TAHNIAH..Jamawi ketika menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar sempena majlis tersebut


TENOM: Walaupun berhadapan dengan beberapa kekurangan dari segi kemudahan pendidikan dan prasarana, namun ianya bukanlah satu halangan bagi pelajar di kawasan luar bandar mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.







AMANAT...Jamawi ketika berucap di majlis tersebut

Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom  Jamawi Jaafar berkata,  dengan adanya dedikasi kaum guru, komitmen pelajar serta sokongan dari ibubapa serta pelbagai pihak, ianya turut membantu pelajar luar bandar mampu bersaing untuk mencapai keputusan terbaik dalam bidang akademik.

Katanya, ini telah dibuktikan oleh Sekolah Kebangsaan Kuala Tomani  Tenom   pada peperiksaan UPSR tahun 2014 yang telah memperolehi pencapaian seratus peratus lulus dalam peperiksaan tersebut. 





DOA..Jamawi (tiga dari kiri) mengaminkan doa sebelum majlis bermula


“Yang penting setiap warga pendidik mesti ada komitmen dan bersedia untuk menempuhi segala kekurangan, selain komitmen pelajar serta sokongan berterusan pelbagai pihak terutamanya  ibubapa yang menjadi eleman utama untuk mencapai kejayaan tersebut” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Skor A Pelajar Tahun 6 2014 di Dewan Serbaguna Kampung Kuala Tomani dekat sini baru-baru ini. 


SOKONGAN..Antara pelajar dan ibubapa yang hadir ke majlis tersebut

Hadir sama Guru Besar Sk Kuala Tomani Hamzah Jumadi dan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa Guru Sk Kuala Tomani Ampalang Payu 

Menurut Jamawi yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno, kemudahan pendidikan yang disediakan di sekolah hanyalah penggerak dan keperluan, tetapi bukan aset untuk melahirkan pelajar cemerlang yang datang daripada kegigihan pelajar itu sendiri.

Beliau menambah, ketika guru terus memperkayakan diri dengan kemahiran dan ilmu baru, pelajar dan ibu bapa juga perlu bergerak memperbaiki keupayaan diri mereka.



PENERIMA..Antara para pelajar yang menerima anugerah tersebut

“Bimbingan kekeluargaan yang baik penting untuk memastikan anak-anak mencapai kecemerlangan akademik dan kokurikulum, selain nilai moral dan disiplin yang tinggi,” jelasnya.

Sementara itu Jamawi berkata,  kesungguhan kerajaan memperkasakan modal insan melalui pendidikan terbukti apabila dalam Bajet 2015 yang dibentangkan baru-baru ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 56 bilion ringgit untuk membiayai program pengajaran dan pembelajaran bagi menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ( PPPM) 2013-2025.

“Kerajaan sentiasa mengambil berat tentang kepentingan pendidikan, pelbagai kemudahan dan bantuan telah disalurkan bagi memastikan anak-anak kita mendapat pelajaran yang sewajarnya antaranya bantuan buku teks, bantuan makanan tambahan, Bantuan One Off, Baucer Buku dan Biasiswa yang seharusnya kita (rakyat) hargai ” katanya.


No comments:

Post a Comment