Friday 10 April 2015

Kursus ICT untuk Pemimpin Masyarakat


DAPAT ILMU BERGUNA …. Para pemimpin masyarakat dari Tamparuli yang menyertai program tersebut.

KOTA KINABALU: Bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat celik IT dan Multimedia, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli telah mengadakan Kursus ICT dan Multimedia kepada para pemimpin masyarakat di Kolej AMC, Likas dekat sini hari ini.


Program selama sehari itu disertai para Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Tamparuli, termasuk beberapa pegawai kerajaan.

Objektif program adalah bagi membantu masyarakat luar bandar khususnya di daerah kecil Tamparuli untuk menimba lebih banyak ilmu dalam bidang komputer dan perisiannya.

Setiausaha PBS Bahagian Tamparuli Jilias Lintar berkata, program seumpama itu adalah bukti keprihatinan kerajaan untuk memperluaskan kemahiran komputer kepada di penduduk luar bandar agar tidak ketinggalan dengan kemajuan dunia tanpa sempadan yang kini semakin dikuasai oleh komputer.

Katanya, para pemimpin-pemimpin masyarakat di sekitar Tamparuli khususnya pengerusi-pengerusi JKKK sepatutnya digalakkan untuk menyertai program sedemikian terutama sekali mereka yang belum ada kemahiran penggunaan program atau mempelajari komputer secara asas.

“Dengan adanya kursus sebegini, segala maklumat yang mereka perlukan mudah diperolehi melalui sumber internet, dan apa-apa perisian yang tidak pernah diketahui juga dapat dipelajari,” katanya.

Dua subjek utama yang dipelajari mereka pada kursus kali pertama itu adalah ‘Audio dan Video Editing’ dan beberapa lagi mata pelajaran lain bakal menyusul selepas ini.

Seramai 20 pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tamparuli terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Induk, Wanita dan Pemuda telah menyertai program latihan tersebut.

Turut hadir Penolong Pegawai (Pembangunan) Daerah (ADOO) Tamparuli, Yabin Sinduman, Timbalan Ketua Pergerakan Wanita PBS Tamparuli, Jovitha Sorinon dan Timbalan Ketua Pemuda PBS Bahagian Tamparuli, Boe Sindolun.

No comments:

Post a Comment