Monday 6 April 2015

Perlaksanaan GST Perlu Penambahbaikan Serius




Jamawi Jaafar.....Sistem GST perlu ditambahbaik perlaksanaannya



KOTA KINABALU : Biro Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini melahirkan rasa kecewa dan sedih terhadap pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan GST yang dilihat kucar kacir dan tidak berjalan lancar seperti yang diharapkan. 

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Jamawi Jaafar berkata, meskipun mengambil masa lebih dari dua tahun perancangan dan persediaan melaksanakan GST oleh  kerajaan namun masih ada kepincangannya.


“Saya amat sedih kerana sejak hari pertama penguatkuasaan, terlalu banyak isu yang timbul dari segi pelaksanaannya. Semua pihak yang terlibat seperti KPDNKK dan Kastam seakan-akan tidak bersedia dan sistem yang digunakan tidak seragam menyebabkan ramai peniaga yang mengambil kesempatan” katanya ketika dihubungi kelmarin dan diminta mengulas perjalanan perlaksanaan GST yang berkuatkuasa pada 1 April lepas

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom ini, mulanya rakyat dijanjikan dalam setiap ceramah penerangan Tolak SST dan baru tambah GST dalam penentuan harga barang dan perkhidmatan berkenaan. 

"Tetapi ketika pelaksanaannya, kita mendapat maklumat terutamanya kedai-kedai di luarbandar, harga barangan asal masih di campur dengan SST dan di tambah dengan GST sekaligus menjadikan harga semakin mahal dan terpaksa ditanggung oleh rakyat.” Katanya. 

Jamawi berkata, beliau  mendapat keluhan dan suara hati orang kampung yang kecewa dgn keadaan peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan sesuka hati dengan menyalahkan kerajaan kononnya ianya semua berpunca daripada GST.

Menurutnya lagi, kegagalan kerajaan menangani isu kecil seperti pertambahan harga kad prabayar telefon juga sangat tidak wajar. Sepatutnya pihak TELCO mendengar arahan daripada pihak kerajaan dan bukannya pihak kerajaan yang terpaksa akur dengan keputusan TELCO.

"Percanggahan kenyataan mengenai status harga kad prabayar yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri dan juga Pengarah GST sebenarnya menaikkan lagi kemarahan masyarakat kerana jika perkara sekecil ini pun kerajaan tidak dapat tangani bagaimana pula kerajaan hendak tangani isu kenaikan harga beribu barangan lain yang lebih kompleks?” Ujar jamawi lagi. 

Menurut Jamawi, sewajarnya sebelum melaksanakan apa-apa jua penguatkuasaan yang melibatkan kepentingan rakyat, kerajaan perlu bersiap siaga secara keseluruhan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. 

Ia termasuklah dengan mewujudkan satu prosedur operasi seragam (SOP) yang lengkap untuk penguatkuasaan, sistem cetakan yang seragam untuk semua pelaksana GST dan juga sebuah pusat maklumat yang tepat untuk rakyat. 

“Alasan kakitangan penguatkuasaan tidak mencukupi yang diberikan oleh Menteri berkenaan bukanlah satu jawapan yang boleh diterima akal. Dalam konteks ini, saya merasakan pihak kerajaan perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa pengurusan krisis yang lengkap dengan pelan pengurusan krisis yang bertindak sebagai pusat penerangan, pengumpulan maklumat, aduan dan juga sebagai penampan terhadap sebarang isu yang timbul akibat daripada pelaksanaan tersebut” katanya.

Dalam masa yang sama, Jamawi berkata hanya seorang jurucakap sahaja dilantik untuk memberikan penerangan dan menjawab segala isu yang timbul bagi mengelakkan sebarang percanggahan maklumat, pendapat dan mengawal berita yang tidak benar.

Katanya ini  penting bagi mengelakkan wujudnya sebarang kekeliruan antara semua pihak yang terlibat.

“Bagi pihak Pemuda UMNO Malaysia kami menyeru  pihak kerajaan supaya lebih bertegas dalam setiap tindakan, tetap dengan pendirian serta tidak tunduk dengan tekanan daripada mana-mana pihak untuk memastikan kredibiliti kerajaan tidak sewenang-wenangnya diperkotak-katikkan”

“ Sistem GST ini amat mudah dilaksanakan jika semua pihak tahu tanggungjawab dan peranan masing-masing.” Katanya.

No comments:

Post a Comment