Wednesday 25 May 2011

GERAN KOMUNAL HAK MUTLAK PRIBUMI?



Oleh: NASUTION NAEJEL

KEKALUTAN isu tanah adat atau lebih sinonim dengan sebutan ‘Native customary Right’ (NCR) yang sejak kebelakangan ini telah menghantui pemikiran masyarakat suku kaum Murut, khususnya mereka yang menduduki kawasan NCR terutamanya di kawasan Kg Sumambu, Kg Kapulu dan Kg Kabintaluan dalam Mukim Rundum.

Selepas insiden Kg Imahit dalam Mukim Tomani, yang telah mengheret 6 penduduk ke Mahkamah Majistret; pada mulanya keenam tertuduh telah disabitkan kesalahan kerana menceroboh kawasan Hutan Simpan dan didenda RM1,000 setiap seorang, namun selepas itu mereka memfail rayuan.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan untuk mengenepikan penghakiman bersalah yang dibuat oleh Mahkamah Majistret; seterusnya membebaskan keenam tertuduh dari hukuman tersebut dengan mengambilkira bahawa kawasan tersebut adalah berstatus NCR.

Ekoran daripada keputusan Mahkamah Tinggi tersebut telah mendorong kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman membuat keputusan untuk memnyerahkan tanah-tanah NCR yang ada dalam kawasan Hutan Simpan dikeluarkan diberi kepada penduduk yang berhak melalui Geran Komunal.

Oleh itu, persoalan yang berkisar kepada status Geran Komunal telah menjadi kebuntuan masyarakat sekeliling suku Murut khususnya masyarakat di kawasan Mukim Rundum yang rata-rata tidak berminat dengan geran komunal; akibat agitasi politik mereka mendesak agar diberikan geran hak milik persendirian.

Sehubungan itu, Sabahkini.net telah mewawancara seorang peguam muda, Roger Stimin, lulusan Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) di UKM dan kini bertugas di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur, berkongsi pendapat untuk memberi definisi berhubung ‘Geran Komunal’.

SABAHKINI.NET : Anda seorang berketurunan Murut jati sudah tentu memahami situasi di kawasan majoriti suku kaum Murut yang menduduki kawasan NCR khususnya di kawasan Rundum. Jadi, bolehkah anda menceritakan/mendefinisikan apa itu Geran Komunal?

ROGER STIMIN : Geran Komunal juga di panggil sebagai Geran Komuniti yang penerima geran ini mestilah penduduk asli di tempat tersebut. Geran jenis ini telah lama diperkenalkan di beberapa negara seperti di Amerika, Australia, New Zealand dan kini Malaysia.

Di Semenanjung Malaysia misalnya, penduduk asli diberikan geran ini bagi tujuan pertanian dan tanah tersebut diusahakan bersama-sama dalam suatu kelompok komuniti. Manakala di Sabah mungkin jarang-jarang kita dengar mengenai geran komunal ini disebabkan pembangunan yang masih di peringkat awal menyebabkan penduduk pribumi Sabah kurang terancam kerana kerajaan negeri masih membiarkan mereka duduk di tanah yang berstatus NCR.

Bila adanya pembangunan dan tanah NCR ini di gazet (warta) oleh kerajaan untuk pembangunan atau hutan simpan, maka masalah tuntutan hak mula timbul.

SABAHKINI.NET : Bolehkah anda terangkan bagaimana mengatasinya atau sekurang- kurangnya ada kaedah terbaik bagi jalan penyelesaiannya?

ROGER STIMIN: Masalah ini agak rumit sedikit tetapi, salah satu penyelesaiannya adalah dengan pemberian Geran Komunal tetapi hanya bersifat sementara kerana Geran Komunal ini hanya layak kepada penduduk pribumi sahaja dan tidak ada status ownership, maknanya bukan milik individu. Ia tidak boleh dijual atau pun digadai.

SABAHKINI.NET : Berkemungkinan penduduk terbabit terkeliru dengan hak-hak mereka menyebabkan mereka sangsi dengan status geran komunal, apa pendapat anda?

ROGER STIMIN : Kita mengharapkan pihak berkenaan dapat memberi kefahaman kepada penerima Geran Komunal ini agar tidak timbul isu di kemudian hari kerana saya menjangkakan bahawa sesiapa juga yang diberi hak tanah mestilah ada geran di tangan dan atas nama mereka sendiri.

SABAHKINI.NET: Adakah geran komunal ini boleh dijual atau digadaikan ke bank untuk mendapatkan modal pusingan perniagaan?

ROGER STIMIN : Geran ini tidak ada status ‘individual ownership’, jika penerima kekurangan modal, mungkin mereka perlu buat pinjaman bagi tujuan mengusahakan tanah tersebut, tetapi ketiadaan ownership tadi sudah tentu tidak memenuhi polisi bank bagi tujuan pinjaman. Mungkin ada pihak yang berminat untuk melabur bagi tujuan komersial, terutama GLC seperti SLDB, FELDA, FELCRA, LIGS dan sebagainya.

Disebabkan hak kebebasan pemilik tanah tidak ada, maka ruang baginya untuk melabur dan berniaga bersandarkan hartanah menyebabkan ramai yang tidak merasa puas hati kerana hak mereka terkongkong. Maka titik tolak isu ini, akan timbul lagi isu yang perlu diselesaikan akibat ketidakpuasan hati rakyat.

SABAHKINI.NET : Terima kasih di atas penjelasan anda.

ROGER STIMIN : Terima kasih kembali.

10 comments:

  1. Hope that the rights of the bumiputra's will be protected.

    ReplyDelete
  2. geran komunal ini dapat memastikan tanah tidak dijual.

    ReplyDelete
  3. sebaiknya penduduk perlu diperjelaskan dengan lebih terperinci lagi mengenai geran komunal ini.

    ReplyDelete
  4. Benar ia hak mutlak pribumi...Musa Aman sendiri yg cakap & yg penting sudah ada hitam putih lagi...so kepada semua native jgn bimbang la:)

    ReplyDelete
  5. Idea Geran Komunal ni sangat baik kalau difikir secara positif dan harap2 ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

    ReplyDelete
  6. Tapi terpulanglah pada penilaian rakyat itu sendiri kerana lain prang lain pandanggannya.

    ReplyDelete
  7. Sekiranya rakyat faham dengan geran komunal ini pasti tidak akan merumitkan. Sebaiknya kerajaan memberikan penjelasan berkenaan geran komunal ini dengan lebih terperinci.

    ReplyDelete
  8. Kalau ikut tul memang geran komunal ini bagus untuk semua. Pasal tidak ada kes jual tanah lagi. Senang diusahakan tanah tersebut. Lagi satu dengan adanya tanah geran komunal, orang lain susah mahu ambil.

    ReplyDelete
  9. geran ini mmg bgs kerana ia dpt memastikan tanah2 penduduk terjaga dan terjamin.

    ReplyDelete
  10. maknanya kaedah ini bukanlah penyelesaian kepada masalah tanah di negeri ini. apa gunanya kaedah ini diperkenalkan jika akhirnya penduduk terpaksa jika menyerahkan tanah ini kepada syarikat2 besar seperti SLDB, FELDA, FELCRA, LIGS dan sebagainya??

    ReplyDelete