SIASAT......Johanie desak SPRM siasat pegawai Kawalan Selia Padi yang berkomplot dengan pemborong.
Oleh : SHAIMON S JUMADI
SEJAK berlakunya beberapa penyelewengan dan sabotag di kalangan pemborong bekalan beras subsidi nasional yang semakin ketara, sehingga hampir 500 penduduk di kawasan Kampung Pinangkau dan Tangkarason, Sugut tidak lagi mendapat bekalan beras subsidi nasional sejak 8 bulan lalu.
Seorang penduduk Kampung Pinangkau Paitan, Johanies Tayoh, 39, ketika mendedahkan perkara ini kepada Sabahkini.Net, antara lain menjelaskan bahawa jika adapun beras subsidi nasional di kedai runcit tetapi hanya 70 kampit sahaja.
Tetapi beras seberat 10 kilogram berkenaan dijual dengan harga RM25.00 hingga RM26.30 sekampit; berbanding harga pasaran, RM18.00 sekampit.
Menurut aduan yang diterima daripada beberapa orang pekerja di beberapa syarikat pemborong beras, mereka mendakwa beras subsidi nasional yang dihantar ke syarikat pemborong berkenaan menggunakan guni seberat 50 kg.
Tetapi apabila sampai ke kedai masing-masing, mereka tidak mengisi beras tersebut di beg plastik yang berlambangkan ‘Beras Nasional’ namun sebaliknya, mereka membungkus dengan menggunakan beg plastik nama syarikat mereka sendiri dan kemudian dijual dengan harga antara RM25.00 atau RM26.30 sekampit.
“Pada mulanya, saya tidak percaya apa yang diperkatakan oleh kawan saya yang bekerja di salah sebuah syarikat pemborong beras; tambahan pula sememangnya syarikat berkenaan mempunyai kouta yang telah diluluskan oleh Jabatan Kawal Selia Padi,” ujar Johanies lagi.
Sejak senario ini berlaku, kata Johanies, bekalan beras subsidi nasional semakin hari semakin berkurangan di pasaran kerana telah di bungkus dengan menggunakan jenama lain.
Kata Johanies lagi, perkara ini telah lama diketahui sendiri oleh pihak Kawalan Selia Padi tetapi disebabkan mereka bersekongkol dengan syarikat pemborong berkenaan; maka fenomena terus menyubur kerana masing-masing mendapat habuan.
“Pengguna betul-betul tertipu dengan mainan licik oleh para peniaga berkenaan. Ini semuanya angkara rasuah yang berleluasa dan melibatkan pegawai Kawalan Selia Padi yang sengaja membiarkan perkara ini berterusan sehingga sukar untuk dibanteras,” ujar Johanies yang mengakui hanya satu jalan terbuka iaitu melalui siasatan SPRM, KPDNKK dan Jabatan Kastam.
No comments:
Post a Comment