TINJAU….Sabini meninjau jalan rosak diperhatikan Anggoh, Naib 1 dan Ajup, Ketua Pemuda Gumisi.
Oleh: MEDIA PBS
"Kami mohon agar kerajaan segera membaik-pulih jalanraya daif, membina sebuah klinik desa dan mengeluarkan tanah adat dari Hutan Simpan," kata Nicholas, Pengerusi JKKK kampung Korolok ketika ditemui oleh Sabini Ansumor, Ketua PBS Bahagian Kemabong semasa lawatan kerja.
Menurut Nicholas, kampung Korolok hanya dapat dihubungi dari Kemabong melalui Jalan Ahuron atau Inubai. Jalan Ahuron dekat tetapi terpaksa melalui banyak jambatan uzur. Jalan Inubai pula jauh, sering runtuh, licin dan berlubang-lubang.
Sabini berpeluang melalui Jalan Ahuron yang terbiar mengesahkan jambatan berkenaan berbahaya. Selepas melalui kedua-dua jalan berkenaan, Sabini berpendapat jalan melalui Ahuron dan Inubai perlu diselenggara demi memastikan kebajikan penduduk dan guru terpelihara.
Sabini memuji usaha JKR menyimen jalan curam seperti di Lalandang, Inubai dan berharap usaha berkenaan dipanjangkan ke Korolok. Difahamkan penduduk Kolorok mahu jalanraya tanah merah digred dan ditimbun batu kelikir.
Menurut Sabini, Kementerian Kesihatan berhasrat untuk menempatkan Klinik Desa di mukim Rundum. Malangnya memandangkan status tanah dalam Hutan Simpan, hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan dan meneruskan perkhidmatan doktor udara.
ABADI…..Sebahagian penduduk bergambar kenang-kenangan. Kelihatan PJKK (memegang kertas) dan Ketua Kampung (bertopi di hadapan).
Justeru itu Sabini merayu agar Tanah Adat dikeluarkan dari Hutan Simpan. Beliau memuji usaha penduduk giat bekerjasama dengan SUHAKAM berkaitan isu tanah. Mengulas berkaitan geran komunal, Sabini memohon pihak kerajaan tampil memberikan penerangan berkaitan geran komunal.
"Saya dapati penduduk di kampung menolak geran komunal. Menurut mereka, pindaan tahun 2009 berkaitan status pemohon geran komunal menafikan hak tanah adat. Mereka menolak pemegangan geran oleh pihak luar dan menentang penempatan semula. Mereka turut risau akan timbul isu pewarisan apabila penama dalam geran komunal meninggal," ulas Sabini.
Sabini turut memuji keindahan kampung Korolok dan mengalakkan penduduk mengusahakan pertanian secara berkelompok supaya meningkatkan taraf hidup.
Dalam kesempatan tersebut, Nicholas turut menyampaikan permohonan kaum ibu agar wakil rakyat memperuntukkan sebuah mesin pengisar padi kerana beliau simpati dengan kaum ibu yang terpaksa menumbuk padi untuk mendapatkan beras.
Oleh itu, Sabini berkeyakinan kerajaan akan mendengar permasalahan mereka selaras dengan konsep, 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan'.
No comments:
Post a Comment