Wednesday 25 May 2011

UNTUNG NASIB GURU DI ABAD KE 21



Oleh: CHANG SHAK HUNG

SAMBUTAN Hari Guru Kebangsaan 2011 yang jatuh pada 16 Mei setiap tahun merupakan satu tarikh keramat untuk setiap tenaga pengajar dan guru yang telah bertungkus-lumus untuk mendidik para pelajar sehinggalah para pelajar mencapai impian di alam pekerjaan.

Namun pengumuman berita gembira yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin memang tidak menyeluruh serta tidak melibatkan tenaga pengajar yang mendidik pelajar secara langsung sehingga ke tahap yang boleh diharapkan di samping menyediakan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran.

Dengan tema ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengumumkan berita baik buat warga pendidik yang akan menikmati lima kaedah kenaikan pangkat berkuatkuasa 1 Januari 2012.

Lima kaedah kenaikan pangkat iaitu kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan, kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan, kenaikan pangkat untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat guru cemerlang.

Persoalan utama yang perlu dibangkitkan adalah antara kenaikan-kenaikan yang diumumkan, yang manakah antaranya yang boleh memberikan berita gembira kepada warga pendidik iaitu guru itu sendiri?

Melalui kenaikan pangkat dengan mengisi kekosongan jawatan, cuma terdapat sebilangan kecil yang mendapat manfaatnya. Sampai bila guru dapat menunggu untuk mengisi kekosongan jawatan?

Melalui kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan, guru yang telah bertugas sekurang-kurangnya 25 tahun, akan menikmati kenaikan dari Gred DG48 sehingga DG54, itupun perlu memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

Persoalannya adakah pengumuman ini memberi apa-apa manfaat kepada setiap guru yang telah bertungkus-lumus dan menyumbangkan tenaga selama 20 tahun atau kurang pada hari ini, mendapat apa-apa kenaikan melalui pengumuman yang langsung tidak menghargai komitmen para guru yang telah dicurahkan?

Melalui kenaikan pangkat untuk pengetua dan guru besar cemerlang pula, kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah dari Gred DG48 ke DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.

Selain itu juga, Guru Penolong Kanan pentadbiran, hal ehwal murid (HEM) dan kokurikulum untuk sekolah menengah akan menikmati kenaikan dari Gred DG44 ke DG48, dengan melibatkan 6,585 jawatan.

Untuk sekolah rendah kluster pula, kenaikan dari Gred DG32 ke DG34 dengan melibatkan 99 jawatan sahaja. Bagaimana pula dengan sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan India?

Kenapa mereka dipinggirkan daripada imbuhan kenaikan yang diumumkan oleh PM sedangkan guru di sekolah rendah juga memainkan peranan penting dalam mendidik anak murid seperti guru-guru di sekolah menengah?

Untuk kenaikan pangkat Guru Cemerlang pula, adakah kerajaan sedar berapa orang Guru Cemerlang yang mendapat manfaat melalui kenaikan pangkat Guru Cemerlang? Guru Cemerlang adalah terdiri daripada guru untuk setiap mata pelajaran yang telah dipilih untuk jawatan tersebut mengikut bahagian pada setiap negeri.

Contohnya di Bahagian Sandakan, cuma beberapa orang Guru Cemerlang dari matapelajaran Bahasa Melayu dan ia di pilih dari keseluruhan sekolah menengah di Bahagian Sandakan.

Begitu juga untuk mata pelajaran yang lain. Secara puratanya, setiap sekolah menengah hanya mempunyai beberapa orang Guru Cemerlang dengan jumlah hampir 100 orang guru bagi sekolah tersebut.

Daripada pertemuan Chang Shak Hung dengan beberapa orang guru berhubung dengan pengumuman ini, dapat disimpulkan bahawa imbuhan yang dikecapi oleh warga guru langsung tidak diperolehi sedangkan tugas hakiki sebagai seorang guru adalah begitu berat untuk melahirkan seorang insan yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara kita.

Bukan itu sahaja, pengumuman ini langsung tidak menitikberatkan peranan dan bebanan seorang guru adalah lebih berat memandangkan mereka terpaksa melakukan tugas perkeranian, bertugas sebagai Guru Disiplin, Setiausaha Akademik, guru Ketua Bidang dan lain-lain lagi serta usaha warga pendidik yang berkhidmat di pedalaman.

Untuk yang demikian, pihak kerajaan tidak perlulah membuat publisiti secara berlebihan yang kononnya warga pendidik mendapat habuan sempena Hari Guru 2011, padahal ia langsung tidak memberi apa-apa berita gembira kepada mereka. Cuma sebilangan kecil yang mendapat manfaatnya dan itupun daripada pihak warga pendidik ‘pihak atasan’ sahaja.

10 comments:

  1. Hope that those teachers who are qualified would be given equal chance to be promoted.

    ReplyDelete
  2. guru-guru kenalah memenuhi syarat-syarat kelayakan pangkat terlebih dahulu jika ingin dinaikkan pangkat. sebab kadang-kadang terdapat juga guru yang tidak menjalankan tugas mereka dengan baik dan ada juga yang mempunyai masalah disiplin.

    ReplyDelete
  3. adakah imbuhan kenaikan tidak diberikan kepada guru sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan India?

    ReplyDelete
  4. Teachers are the ones who is responsible to shape the students future. We should be grateful to them.

    ReplyDelete
  5. Sepatutnya semua pemberian adalah sama rata kerana jasa yang ditaburkan adalah sama.

    ReplyDelete
  6. Please be fair in promoting the teachers. Only the qualify ones should be promoted.

    ReplyDelete
  7. semua guru adalah berjasa kerana mendidik pelajar. maka, semua mereka harus dihargai dengan sewajarnya.

    ReplyDelete
  8. Apa pun sebagai seorang guru yang lebih penting bagi mereka adalah mendidik generasi yang akan datang ini. Memang kewangan dan pangkat itu penting tapi tanggungjawab juga penting sebagai seorang guru.

    ReplyDelete
  9. pendidikan murid adalah agenda utama guru, bukanlah kenaikan pangkat, mendidik biarlah ikhlas.

    ReplyDelete
  10. lebih baik ada daripada tidak ada langsung.. atau mungkin pengumuman ini dibatalkan sahaja bagi memuaskan hati sebilangan pihak yang tidak bersetuju dengan keistemewaan yang diberikan oleh kerajaan kepada guru2 di negara ini?

    ReplyDelete