Tuesday 31 May 2011

TENOM KEKAL KUBU TERKUAT UMNO



Oleh: NASUTION NAEJEL

PERJUANGAN Umno khususnya Pergerakan Pemuda perlu terus kukuh dan mantap walaupun adakalanya menongkah arus politik, namun kebenaran perjuangan akhirnya akan memihak kepada mereka (pemuda), jika isu yang diperjuangkan adalah untuk membela hak rakyat dengan setelus-telusnya dan bukan sekadar retorik seperti yang diamalkan oleh pejuang terdahulu.

Malahan bukti sokongan kuat ahli ahli pemuda Umno di kawasan Rundum, Tomani, Bakuku, Kungkular, Tilis atau di mana sahaja di Tenom, walaupun direndam dalam air, mereka akan bangkit menyokong Umno kerana trend seumpama itu seolah-olah memperlihatkan begitu ampuhnya pegangan sokongan mereka terhadap Umno.

Demikian dinyatakan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar di hadapan kira kira lebih 2,000 pemerhati dan perwakilan pemuda Umno di Persidangan Tahunan Pergerakan Pemuda Umno yang diadakan d Dewan Seri Antanom, Tenom, ahad lalu.

Persidangan Tahunan Pergerakan Pemuda Umno Tenom dirasmikan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin yang turut dihadiri, mantan Ketua Pemuda Umno Sabah Azman Haji Ruslan; Megat Firdaus Megat Junid; Timbalan ketua Umno Tenom Suhaili Guriaman; Setiausaha Bahagian Umno Haji Dzulkifli Empin;Ketua Puteri Innahwaty Jaini dan para pemimpin parti parti komponen BN Tenom.

Jamawi seterusnya berkata, kekuatan Umno telah terbukti kehebatannya kerana pada PRU12 kerusi Dun Melalap dan Kemabong serta Parlimen Tenom yang dimenenagi BN sebelum itu telah dapat dikekalkan dengan majoriti yang lebih selesa.

“Kalau dulu, apabila kita mengadakan sesuatu perhimpunan semacam ini, pemimpin kita terdahulu menyampaikan ucapan-ucapan dasar yang sekadar berkisar kepada dasar-dasar perjuangan kepartian; tetapi kita sekarang sudah berubah. Kita mahu bercakap secara berterus terang kepada rakyat yang kita mahu kerajaan terus membangunkan kawasan termasuk sosio ekonomi rakyat dan inilah yang pergerakan pemuda fokuskan,” tegas Jamawi dengan disambut tepukan gemuruh dari hadirin.

“Kita juga tahu isu-isu semasa yang berada di sekeliling kita sekarang ini seperti isu Bible dan banyak lagi isu sensitif kerana kesemua isu itu kita telah rundingkan secara baik dengan kerajaan tanpa menggembar-gemburkannya. Kita tak boleh ikut rentak pembangkang yang terlalu lantang dan sibuk mengutarakan isu sensitif kerana mereka ada kepentingan dari segi politik,” tambah beliau lagi.

Selain itu, Jamawi turut menjelaskan berhubung kedudukan isu lebih 500 GSTT (Guru Sandaran Tidak Terlatih) yang sehingga kini masih belum mendapat surat tawaran penyambungan semula kontrak pasti akan menerimanya dalam masa terdekat ini dan meminta pihak terbabit (GSTT) perlu bersabar.

Dalam pada itu, beliau turut mengusulkan kepada Pemuda Umno Pusat bahawa masalah kekurangan perumahan guru-guru dan kedaifan rumah guru termasuklah kedaifan prasarana sekolah perlu dibawa oleh Pergerakan Pemuda Pusat dalam mesyuarat Biro Politiknya kelak agar dikemukakan kepada kerajaan untuk tindakan.

“Kita merasa amat sedih dan kecewa bila mendengar keluhan daripada guru-guru di sesetengah sekolah kerana terdapat pendawaian elektrik tersangat daif, komputer tidak ada dan kalau ada pun tidak cukup kerana yang lain rosak dan ini semua kerajaan perlu ambil tindakan sewajarnya,” kata Jamawi.

Jamawi turut mengumumkan bahawa setakat ini, jentera pilihanraya Umno Tenom telah mendaftar seramai 4,000 belia dan beliawanis yang bakal membantu SPR untuk mengendalikan kerja-kerja penyemakan daftar pengundi di kawasan Parlimen Tenom.

No comments:

Post a Comment