Tuesday 31 May 2011

PASTIKAN TANAH RUNTUH TIDAK BERULANG



KENANGAN….Lajim (duduk, tengah) merakamkan kenangan bersama Ahli Jawatankuasa Tertinggi UMNO Bahagian Cameron Highland.

Oleh: JAAFAR ABDUL WAHID

SEMUA pemaju perumahan dan orang ramai yang hendak melaksanakan projek perumahan terutamanya di kawasan tinggi dan bukit perlu mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlebih dahulu

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukim berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan semua projek yang membabitkan tanah tinggi dan bukit perlu mendapat kelulusan dan kebenaran dari pihak PBT.

Menurutnya, arahan yang berkuat kuasa serta merta itu perlu dipatuhi bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 16 anak yatim di Hulu Langat, Selangor minggu lepas tidak berulang

Beliau berkata, jika semua pihak (pemaju) mematuhi peraturan, sudah tentu tiada kemalangan yang berlaku.

"Jangan hanya mementingkan keuntungan semata-mata, tetapi cuai aspek keselamatan dan ia perlu diberikan keutamaan. Jika berlaku sesuatu petaka atau kemalangan semua pihak akan susah. Kita berharap selepas ini semua pihak terutamanya para pemaju dan orang ramai dapat mematuhi arahan kerajaan itu demi kebaikan bersama," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highland, kelmarin.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Lajim turut meminta semua PBT proaktif menjalankan kajian serta siasatan terperinci sebelum sesuatu projek perumahan atau lain-lain projek dilaksanakan.

"PBT perlu membuat pemantauan dan keputusan wajar dan jika perlu serta mendapati kawasan yang hendak dibangunkan itu berbahaya ia perlu dibatalkan," katanya.

Terdahulu, ketika berucap di majlis tersebut, Lajim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno meminta anggota parti agar terus menyemarakkan konsep kerja berpasukan bagi memantapkan lagi kekuatan parti khususnya dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Katanya, tanggungjawab bagi mempastikan parti terus relevan dan kukuh perlu digalas oleh semua pihak dari peringkat pimpinan tertinggi sehinggalah ke peringkat ahli di akar umbi kerana menurut beliau, kekuatan hanya dapat dicapai jika semua pihak memahami arah serta perjuangan parti yang sebenarnya; di samping sentiasa membudayakan amalan berkerjasama dalam setiap tindakan dan program yang dilakukan oleh parti, demi untuk kebaikan ahli dan rakyat di peringkat akar umbi,

"Bila budaya ini dapat kita terjemahkan dalam bentuk tindakan bersama, bukan sahaja parti akan terus kukuh dan relevan namun rakyat akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional," jelas Lajim.

No comments:

Post a Comment