Tuesday 24 May 2011

2 JUN TARIKH MUKTAMAD JAWAB SAMAN RAIS




Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kelmarin menetapkan 2 Jun ini sebagai tarikh muktamad bagi seorang penulis menjawab saman terhadapnya oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berhubung artikel didakwa berbaur fitnah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan tarikh itu supaya Ahmad Mutalib Mohamed Daud, yang juga penganalisis politik, hadir di mahkamah pada hari berkenaan.

Hakim Amelia menetapkan tarikh itu selepas menemui peguam Sahabudin Shaik Alaudin, yang mewakili Rais.

Seorang lagi peguam yang mewakili menteri itu, Norhani Nordin, memberitahu pemberita bahawa jika Ahmad Mutalib atau peguamnya tidak hadir ke mahkamah pada tarikh berkenaan, satu permohonan akan dibuat agar mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Ahmad Mutalib.

Norhani berkata pihaknya telah menampal saman itu di alamat terakhir Ahmad Mutalib di Sabah selepas dia tidak dapat dikesan untuk saman itu disampaikan secara peribadi kepadanya.

Itu merupakan usaha terakhir menyerahkan saman itu terhadapnya selepas syarikat guaman yang mewakili Rais itu telah mengiklankan saman itu di akhbar-akhbar Sabah pada 13, 14 dan 15 April lepas, selain menampalkan saman itu di papan notis Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 10 Feb, Rais memfailkan saman itu selepas empat artikel yang dianggapnya berunsur fitnah bertarikh 1, 3, 5 dan 7 Jan, dimasukkan oleh Ahmad Mutalib dalam laman web Sabahkini di http://sabahkini.net.

Penulis blog itu mempunyai alamat berdaftarnya di Kota Kinabalu.

Dalam kenyataan tuntutannya, Rais berkata beberapa perkataan dalam artikel-artikel itu berniat jahat dan memfitnah beliau sehingga mencemarkan reputasi peribadi dan profesionalnya di peringkat negara dan antarabangsa serta mendatangkan rasa malu dan tekanan kepada beliau.

Beliau menuntut ganti rugi-ganti rugi am, khas, teruk dan teladan selain memohon perintah supaya Ahmad Mutalib mengeluarkan semua perkataan dan perenggan memftinah beliau daripada artikel itu.(BERNAMA)

No comments:

Post a Comment