RASMI…. Khairy menyumpit sebagai simbolik perasmian mesyuarat Pemuda Umno Tenom. Siapa terkena racunnya?.
Oleh: NASUTION NAEJEL
TANGGAPAN demi tanggapan berhubung isu jawatan mantan Ketua Pemuda Umno Sabah, Azman Haji Ruslan akhirnya telah terjawab aabila Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin menjelaskan kedudukan yang sebenar.
Khairy dengan penuh debar mengumumkan bahawa Azman bukan dilucut atau pun dipecat dari jawatan itu seperti yang digembar-gemburkan media sebelum ini; sebaliknya ia sekadar dipindahkan ke jawatan lain yang lebih sesuai dan relevan dengan pengalamannya.
Khairy menambahkata, trend seumpama itu merupakan perkara biasa dalam perjuangan politik kerana ada kalanya seseorang pemimpin itu turun dan ada kalanya dia naik, ibarat roda yang berpusing.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat tahunan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan dan pemerhati yang diadakan di Dewan Seri Antanom, Tenom baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa prestasi Azman ketika menyandang jawatan itu sememangnya mempunyai prestasi yang cemerlang, malahan tidak pernah melakukan sebarang masalah kepada parti, namun tindakan seperti itu sekadar melihat kepada keperluan struktur dalaman yang senantiasa menghadapi perubahan demi pengukuhan parti.
“Pemindahan Azman tidak ada kena mengena dengan prestasinya selama memegang jawatan Ketua Pemuda Umno Sabah, tetapi kita akan beri dia satu peranan baru. Saya akan rekomen dia, itu pun kalau dia mahu?,” kata Khairy lagi.
Berhubung dengan prestasi sokongan pemuda terhadap Umno Tenom, Khairy mengakui bahawa kekuatan Umno dan Barisan Nasional (BN) di ketiga-tiga kawasan di pedalaman seperti Keningau, Pensiangan dan Tenom adalah mantap dan mampu mempertahankan kerusi Umno dan BN pada PRU13 yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.
“Saya tidak kata pilihanraya akan diadakan tahun ini, atau tahun depankah atau sebaliknya, tetapi bagi saya akan menganggap pilihanraya umum itu akan diadakan bulan ini, bulan depan atau bila bila sahaja, supaya kita senantiasa lebih bersedia menghadapi pilihanraya umum,” tegas Khairy.
Selain itu, beliau turut mengalu-alukan langkah yang dilakukan Ketua Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar yang melakukan banyak perubahan terhadap kaedah yang digunapakai bagi meraih sokongan lebih ramai pemuda menyertai perjuangan Umno sepertimana yang telah dibuktikannya dalam perhimpunan itu.
Tambahnya lagi, bukan sahaja Jamawi berani menggugurkan taktik lama yang menggunakan kata-kata retorik sebagai senjata untuk meraih sokongan, tetapi kali ini beliau mentransformasikan kaedah perjuangan pemuda dengan menggunakan kaedah inklusif yang membolehkan penyertaan semua pihak berkonsepkan 1Malaysia.
“Sebab itu kita mengalu-alukan jika jabatan menganjur sesuatu aktiviti tetapi mestilah ada penjenamaan politik supaya rakyat tahu bahawa ianya adalah ada penyertaan BN, walaupun dianjur oleh kerajaan,” tegas Khairy.
“Kalau dulu ketika PRU12 sekitar tahun 2008, kita sudah menjangkakan tsunami politik akan melanda BN dan kita juga sudah memaklumkan kepada pucuk pimpinan, namun kali ini perubahan sudah terlalu ketara kerana kita lihat bahawa rakyat kini sudah kembali memihak kepada BN,” tambah beliau lagi disambut dengan sorakan gemuruh.
Sementara itu, mantan Ketua Pemuda Umno Sabah, Azman Haji Ruslan ketika diminta mengulas kenyataan Khairy berhubung tawaran peranan baru kepadanya, Azman berkata beliau menerima apa-apa tawaran dan akan mempertimbangkannya demi kesinambungan perjuangan UMNO.
Ditanya lanjut, adakah beliau kecewa dengan tindakan pucuk pimpinan Pemuda Umno terhadap beliau sebelum ini, Azman menegaskan bahawa dalam perjuangan politik tidak ada istilah kecewa, merajuk ataupun tidak puas hati; sebaliknya pendirian seseorang pemimpin tu dalam perjuangannya untuk memperkasakan Umno khususnya Pergerakan Pemuda adalah lebih penting.
No comments:
Post a Comment