Tuesday 24 May 2011

LOJI TENAGA TURBIN GAS KIMANIS SIAP 2013


BLOK penjanaan pertama 100 megawatt (MW) cadangan projek Loji Tenaga Turbin Gas Kitaran Bergabung 300 megawatt di Kimanis, Papar, dijangka siap pada Disember 2013, kata Menteri Pembangunan Industri Negeri Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Beliau berkata loji tenaga dan projek yang berkaitan, berharga kira-kira RM1.6 bilion, dijangka memenuhi permintaan untuk bekalan elektrik di Sabah yang semakin meningkat.

Ini katanya selari dengan pertumbuhan ekonomi dan industri, sekaligus merangsang pelaburan selanjutnya di negeri itu.

Tan berkata projek itu akan memastikan pelan tenaga Sabah menyediakan bekalan elektrik yang mencukupi dalam tempoh jangka pendek dan panjang serta penggunaan domestik dan industri.

"Projek loji tenaga Kimanis sudah dimulakan dan pastinya akan merangsang bekalan elektrik di Sabah," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kejuruteraan, pemerolehan serta penyerahan kontrak pembinaan dan penjayaan antara Kimanis Power Sdn Bhd dengan konsortium CTCI Corporation of Taiwan, di sini Isnin.

Tan mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyaksikan pemeteraian perjanjian itu.

Pengarah Urusan Mohd Ali Hashim menandatangani perjanjian itu bagi pihak Kimanis Power dan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CTCI John T. Yu, untuk konsortium berkenaan.

Menerusi kontrak itu, konsortium berkenaan akan memaju, membina dan menjayakan kilang tenaga menggunakan gas itu dan kemudahan dan infrastruktur yang berkaitan.

Tan berkata loji tenaga Kimanis dibangunkan bagi membolehkannya meningkatkan kapasiti kepada maksimum 400 MW, jika perlu, pada masa depan.

Selain itu, beliau berkata sebuah Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) juga ditempatkan di kawasan itu, yang berkeupayaan menghasilkan sehingga 100 MW.

"Ini bermakna di Kimanis sahaja, terdapat bekalan tenaga tambahan antara 400-500MW dan sebuah loji menggunakan gas dengan kapasiti 300 MW di pantai timur.

"Saya yakin pada masa depan, terdapat bekalan elektrik yang mencukupi untuk menampung kehendak rakyat dan industri di seluruh Sabah," katanya.

Kimanis Power Sdn Bhd ialah inisiatif usaha sama 60:40 antara Petronas Gas Berhad (PGB) dan NRG Consortium (Sabah) Sdn Bhd, cabang perniagaan Kumpulan Yayasan Sabah.

Selain CTCI Corporation, anggota lain dalam konsortium itu ialah CTCI Overseas Corporation Ltd,CTCI Malaysia Sdn Bhd, Synerlitz (M) Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Steamline (M) Sdn Bhd) dan SCHB Engineering Services Sdn Bhd (anak syarikat Suria Capital Holdings Berhad).

Projek itu yang dibangunkan di tapak seluas 16.59 hektar di Kimanis, meurpakan limpahan cadangan projek Terminal Gas Luar Pesisir Sabah (SOGT). Projek itu juga terletak di Kimanis dan dilaksanakan oleh Petronas Carigali Sdn Bhd.

Tan berkata loji tenaga juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dan berharap penduduk tempatan, termasuk kontraktor diberikan keutamaan dalam menjayakannya.

Beliau berkata sebuah pusat latihan bagi menampung industri minyak dan gas juga dibuka di Kimanis, yang memberi peluang kepada belia tempatan dilatih dalam bidang khusus ini.

Mengenai gesaan Persatuan Kontraktor Minyak dan Gas Sabah supaya kerajaan menyemak semula Akta Petroleum 1974, Tan berkata setiap penduduk termasuk beliau sendiri akan menyokong kajian seperti itu jika ia membawa keputusan yang positif dan memihak kepada negeri itu.

Bagaimanapun katanya perlu ada asas untuk semakan itu dan bukan hanya untuk dipolitikan untuk kepentingan politik. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment