Friday 20 May 2011

IBRAHIM ALI KETERLALUAN DAN BODOH!



Oleh: SHAIMON S JUMADI

RAMAI di kalangan pemerhati politik di Sandakan, sama ada pro parti pembangkang mahupun pro parti kerajaan, masing-masing kurang senang dan tidak begitu setuju terhadap kenyataan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang bertajuk ‘Kalau Nak Perang Salib Boleh’ seperti yang tersiar di Sabahkini.Net.

Mereka mendakwa kenyataan Ibrahim itu merupakan sentimen yang berupa hasutan yang boleh menegangkan dan menimbulkan kemarahan di kalangan penganut agama Kristian di negara ini.

Dalam hubungan ini, seorang ahli Cawangan Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Cabang Batu Sapi, Ahmad Hj Ibrahim (gambar) dalam kenyataannya kepada Sabahkini.Net semalam merasa terkejut apabila membaca berita tersebut dan menyifatkan kenyataan Ibrahim Ali sudah keterlaluan dan perbuatan yang bodoh.

“Ingin saya nyatakan di sini, walaupun saya merupakan ahli parti pembangkang saya memang tidak setuju dan kurang senang mengenai isu agama yang ditimbulkan oleh Ibrahim Ali kerana ini boleh mencetuskan hura hara dalam negara yang berbilang kaum khususnya mereka yang beragama Kristian,” kata Ahmad.

Negara kita, kata Ahmad, walaupun terdapat perbezaan fahaman ideologi politik yang berlainan dan perbezaan kepercayaan anutan agama, namun masih beruntung kerana hidup dalam suasana harmoni dan saling hormat menghormati budaya dan agama masing-masing.

Sebagai ahli pembangkang jelas Ahmad, beliau menyambut baik usaha murni Perdana Menteri dalam pembentukan menyatupadukan rakyat berbilang kaum menerusi Gagasan 1 Malaysia dengan bermatlamatkan supaya rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai.

“Saya tidak bermaksud sama sekali untuk memperbesar-besarkan isu sentimen agama yang dicetuskan oleh Ibrahim Ali. Kita hanya ingin memperingatkan, kalau nak buat isu jangan sekali-kali menyentuh agama bangsa lain kerana akan membuat mereka terkilan,” kata Ahmad yang mendesak agar Kementerian Dalam Negeri bertindak segera memadam api sengketa agama yang dinyalakan Ibrahim Ali.

Kata Ahmad, beliau faham Ibrahim Ali kini sudah tidak mempunyai hala tuju politik terpaksa menggunakan isu sensitif untuk menarik perhatian umum agar terus kekal sebagai Ahli Parlimen sekalipun terpaksa menjual agama dan menghina Tuhan penganut agama lain.

No comments:

Post a Comment