Tuesday 31 May 2011

JANGAN HIJAB HATI, KASIHANI RAKYAT MISKIN



Oleh: MUTALIB M.D

KESUSAHAN hidup penduduk luar bandar terutama Mukim Rundum yang dinafikan hak asasi mereka oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, belum cukup untuk menginsafkan pemimpin atasan yang hidup kerana undi dan mewah kerana memakan hak orang miskin.

Bagi mereka yang tidak pernah miskin, sudah tentu tidak pernah merasa betapa peritnya kehidupan di sebuah negara yang merdeka 48 tahun lalu tetapi masih menggunakan pelita atau lampu pilasut dan kehilangan hak asasi; sedangkan rakyat miskin juga tidak terkecuali membayar pelbagai jenis cukai yang digunakan untuk membayar gaji menteri.

Sebagai manusia yang hidup bergelumang dengan kemiskinan terutama setelah terpilih sebagai Ahli Parlimen Malaysia di kawasan paling bermasalah di Sabah, Tenom, terus mewujudkan penentangan rakyat secara terbuka berhubung isu tanah adat dan hak asasi manusia kerana majoriti mereka terpenjara di dalam hutan simpan.

Manusia berwajah sayu, berhati nabi ini, Datuk Raime, mewarisi darah pahlawan ayahnya, Unggi, terpaksa menongkah arus menentang ketidak adilan sistem dan undang-undang berhubung hak asasi manusia demi berbakti kepada kaumnya, Murut, yang tertindas oleh Jabatan Hutan; sekalipun majoriti penduduk Kampung Sumambu mempunyai geran hak milik tanah.

Melihat rakyatnya dilayan seperti ‘anjing’ yang diburu oleh Jabatan Hutan, Raime terpaksa memanggang karier politiknya dengan mengambil tindakan tidak popular memasang sistem bekalan elektrik solar setelah Jabatan Hutan menafikan hak penduduk kampung mendapat bekalan elektrik sejak 48 tahun lalu; sekalipun peruntukan telah disediakan kerajaan persekutuan.

“Untuk apa saya hidup senang sedangkan rakyat saya di pedalaman menderita dan terus menyumpah seranah kerajaan persekutuan kerana mereka terus bergelap? Bukan tidak ada peruntukan, tetapi karenah birokrasi Jabatan Hutan menyebabkan hak mereka mendapat kemudahan asas direnggut dengan ganas, tanpa peri kemanusiaan,” ujar Raime yang terpaksa bertafakkur dan beristigfar beberapa kali untuk meredakan kemarahan yang membuak-buak di dadanya.

Pesanan bapanya agar ‘tidak menggigit jari tangan yang menyuapkan makanan’ iaitu berbakti kepada masyarakat yang memilih beliau sebagai pemimpin begitu memberi kesan kerana Raime telah memberikan sistem yang terbaik di dunia iaitu bekalan elektrik 24 jam tanpa perlu membayar bil sepanjang hayat kepada penduduk kampung Katubu dan Sumambu, sebagai langkah pertama.

Kini Raime bekerja keras dan beriltizam untuk memberikan kemudahan elektrik solar di semua kampung yang terpinggir daripada sistem Grid agar rakyat di luar bandar dapat mengecapi erti kemerdekaan setelah memenangkan BN dalam semua kerusi yang ditandingi di pedalaman.

Dalam usaha membuat kebaikan, kata Raime tidak sunyi daripada menghadapi cabaran dan rintangan serta dipandang serong oleh musuh politiknya, terutama apabila mempertahankan teknologi hijau sebagai senjata untuk menumpaskan lawan di luar gelanggang.

Menurut Raime, sepanjang pengalaman beliau memasang sistem solar menggunakan bateri lithium polymer di dua buah kampung iaitu 39 buah rumah di Katubu dan 41 buah rumah di Sumambu di Tenom, beliau telah berjaya menolak tohmahan bahawa teknologi hijau terlalu mahal tetapi beliau telah membuktikan hanya membelanjakan RM1,023,075 untuk mendapat penjanaan 41kwH bagi kegunaan dua kampung pingitan berkenaan.

“Memang peringkat awal ada sedikit masalah kerana dalam proses peralihan teknologi iaitu saya mensyaratkan agar semua kerja pemasangan berkenaan dilakukan penduduk kampung sendiri yang diambil bekerja oleh syarikat berkenaan, namun setelah mereka mahir, semua kesilapan teknikal telah diatasi tanpa merosakkan sistem penjanaan elektrik suria,” ujar Raime yang berbangga kerana Kampung Katubu dan Sumambu yang bakal diiktiraf sebagai kampung yang pertama di dunia menggunakan Teknologi Hijau sepenuhnya.

Harga yang ditawarkan syarikat yang dilantik, kata Raime adalah terlalu rendah iaitu hanya satu pertiga daripada harga yang ditawarkan syarikat lain; ditambah dengan khidmat selepas jualan iaitu penyelenggaraan percuma dan jaminan 5 tahun bagi bateri lithium polymer dan 20 tahun bagi panel solar; berbanding dengan skim yang ditawarkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, TNB & SESB dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kata Raime, buktinya Projek Sistem Hibrid Suria di 42 pintu Rumah Panjang Ringkai, Kampung Kerapa Spak, Betong, Sarawak oleh IBC Solar Teknik Sdn.Bhd daripada Jerman berharga RM4.5 juta dengan penjanaan 20kwH.

Begitu juga dengan Pemasangan Sistem Hibrid di SK Tudan, Tuaran yang menelan kos RM5.4 juta bagi kapasiti penjanaan yang sama dengan Betong, kata Raime adalah tidak berbaloi dengan kemudahan yang diperolehi warga sekolah berkenaan kerana kini tidak berfungsi lagi; tambahan pula kos membina sekolah berkenaan hanya RM1.3 juta.

“Bukankah ini sudah cukup jelas bahawa saya menggunakan sistem yang terbaik di dunia dengan harga 70 peratus lebih murah, tahan lama dan kos efektif bagi mengatasi masalah keruncingan tenaga elektrik di abad ke 21 menggunakan teknologi abad ke 25,” kata Raime yang menjelaskan bahawa teknologi seumpama ini belum ada di negara lain di dunia, melainkan Malaysia.

Sejak Sistem Solar Lithium Polymer dipasang di Kampung Katubu dan Sumambu, penduduk kampung tidak pernah mengalami masalah besar dan menerima bekalan elektrik 24 jam sehari untuk keperluan asas mereka.

Jika adapun kerosakan kecil, kata Raime boleh dibaik pulih oleh penduduk kampung sendiri melalui pertukaran know-how yang diaplikasi syarikat pembekal.

Syarikat tersebut kata Raime bukan sahaja mengambil belia kampung Katubu, Sumambu, malah beberapa beberapa kampung lain di Tenom untuk dilatih dan bekerja dengan syarikat berkenaan memasang sistem solar lithium polymer di Batu Sapi, Kota Marudu dan di seluruh Sabah.

Setakat ini, syarikat tersebut, kata Raime, telah menawarkan pekerjaan kepada lebih 30 belia Tenom, terutama kaum Murut sebagai persediaan untuk menaikkan taraf hidup mereka dan mengurangkan kadar pengangguran yang tinggi di pedalaman.

“Saya berasa amat sedih kerana sekalipun kita sudah merdeka 48 tahun lalu tetapi ramai di kalangan kita masih terbudaya sikap penjajah dan berfikir menggunakan minda penjajah dengan tidak mengiktiraf barang buatan tempatan; sedangkan syarikat yang membekalkan bateri lithium dan sistem solar di Tenom membuat bateri berkenaan untuk pasaran dunia,” kata Raime yang kesal kerana syarikat tempatan membeli bateri daripada syarikat luar negara yang mengimport bateri daripada Malaysia dan menjual kembali kepada Malaysia dengan harga 700 peratus lebih tinggi daripada yang ditawarkan kilang berkenaan.

Menurut Raime, beliau tidak bersetuju sama sekali dengan kedangkalan fikiran pegawai KKLW yang menyamakan bateri asid plumbum yang digunakan di kereta sama dengan bateri yang digunakan dalam Sistem Solar Hibrid KKLW.

“Fungsi bateri kereta hanya untuk menghidupkan enjin kereta dan bukannya untuk menjana tenaga kepada kereta yang bergerak menggunakan minyak atau gas. Bateri berkenaan hanya menggunakan satu filem plumbum yang nipis. Tetapi bateri asid plumbum yang digunakan dalam Sistem Solar Hibrid berpuluh kilogram beratnya dan berbahaya kepada manusia,” kata Raime yang meminta KKLW agar melantik pakar untuk mengkaji bahawa bateri berkenaan sebelum membuat kenyataan yang tidak berasas dan mengelirukan.

Tegas Raime, negara maju di dunia yang menandatangani Basel Convention masih menggunakan bateri asid plumbum dalam jumlah yang terkawal kerana mereka tidak mempunyai kilang mengeluarkan bateri lithium polymer melainkan terpaksa mengimport daripada Malaysia; tetapi dalam masa yang sama mereka mempunyai Pusat Pelupusan Plumbum yang siapguna.

“Kenapa kita terlalu keberatan menggunakan bateri lithium polymer yang mesra alam buatan Malaysia yang terbukti berkesan mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah, sebaliknya terus menggunakan teknologi tertua di dunia iaitu bateri asid plumbum dalam semua projek elektrik luar Bandar KKLW, SESB dan Kementerian Pendidikan?,” tanya Raime yang curiga dengan kesungguhan kerajaan terutama KKLW yang taksub dengan bateri asid plumbum yang terlalu berbahaya kepada manusia dan alam sekitar.

Kata Raime, kenapa tiada lagi manusia yang bertamaddun di Malaysia menggunakan telefon Atur yang besar, berat, mahal dan menggunakan bateri asid plumbum; sebaliknya menggunakan bateri lithium ion atau lithium polymer yang padat, ringan dan murah.

“Jika kita menggunakan bateri lithium polymer pada telefon bimbit yang bukan sahaja tidak perlu diselenggara sepanjang hayat telefon kita, kenapa mereka paksakan kita menggunakan bateri atur atau bateri asid plumbum yang bukan sahaja berat dan berbahaya, malah sukar untuk dilupuskan?,” tanya Raime lagi.

Tegas Raime, amat malang bagi rakyat Sabah kerana Menteri KKLW adalah rakyat Sabah tetapi belum insaf dengan kerosakan yang dilakukan melalui penggunaan bateri asid plumbum dan masih berbangga untuk meneruskan penggunaan bateri berkenaan sekalipun Malaysia mendahului negara lain di dunia dalam bidang teknologi bateri lithium polymer.

“Saya sebenarnya sudak muak dengan sikap pemimpin kerajaan yang memegang potfolio penting kerana tidak peka dengan kebajikan dan keselamatan rakyat. Kenapa mereka sanggup makan wang rakyat miskin dengan menggunakan teknologi lapuk tetapi mahal?,” soal Raime.

Menurut Raime, sudah berbuih mulut beliau bercakap di parlimen setiap tahun berhubung bahaya bateri asid plumbum, namun Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; KKLW, Kementerian Pelajaran dan GLC kerajaan seperti SESB dan Telekom masih menggunakan bateri asid plumbum sebagai medium penyimpanan tenaga dan penjanaan elektrik.

Kata Raime, beliau turut bertanya kepada syarikat pembekal tunggal bateri berkenaan, kenapa mereka tidak menyertai tender Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang dikendalikan oleh KKLW atau agensi lain, namun jawapan mereka mengejutkan Raime.

Menurut syarikat pembekal, mereka menemui Haji Nik Abdul Kadir Nik Mohammad di Jabatan Perdana Menteri; diikuti dengan taklimat dan beberapa kali mesyuarat khas termasuk taklimat khusus mengenai Sistem Bekalan Elektrik Solar Kampung Sumambu sejak 18 bulan yang lalu, namun sehingga kini tidak ada sebarang maklum balas daripada KKLW.

Kata Raime, Nik Abdul Kadir tidak pernah turun padang melawat kampung contoh Teknologi Hijau di Katubu dan Sumambu untuk membuat kajian lanjut, sebaliknya terus menyokong tindakan KKLW mensyaratkan penggunaan bateri asid plumbum dalam tender BELB.

“Mereka juga telah menemui dan memberi taklimat kepada Menteri KKLW, Datuk Seri Shafie Haji Apdal, tetapi tidak tahu kenapa Shafie terus menutup mata, menutup minda dan menutup hatinya kepada kebenaran?,” kata Raime dengan nada kesal kerana terpaksa mendedahkan sikap sambil lewa Menteri KKLW dan pegawainya.

Baru-baru ini kata Raime, KKLW membuka lagi tender Fasa II Sistem Bekalan Elektrik Solar Hibrid Pulau Banggi dan masih menggunakan bateri asid plumbum sebagai bahan penyimpanan tenaga solar; sedangkan maklumat mengenai bahaya bateri berkenaan hanya berada di hujung jari.

"Siapakah yang perlu dipersalahkan kerana bagi mereka mengirup darah rakyat dan memakan wang orang miskin adalah Pesta Tahunan," kata Raime dengan nada kesal.

No comments:

Post a Comment