Tuesday 17 May 2011

“JANGAN LALAI JALANKAN TUGAS!”



MAKANAN…...Nasir (dua kiri) diiringi OKK Musa (kiri)dan Tahir Amir (tengah) menyampaikan bantuan makanan seimbang KEMAS kepada salah seorang penerima sempena majlis itu di pejabat DUN Senalang, Semporna.

Oleh: ARSHAD HUSSIN

MENTERI Di Jabatan Ketua Menteri, Dato Sri Nasir Tun Sakaran mengingatkan Ketua-Ketua Kampung, Pengerusi JKKK, Ketua/Wakil Ketua Anak Negeri dan imam-imam tidak lalai melaksana tugas dan tanggungjawab yang sudah diamanahkan kepada mereka dengan lebih kerap turun padang mendekati rakyat dan masyarakat kampung.

Nasir berkata, mereka sebagai mata dan telinga kerajaan perlu mendengar keluhan-keluhan rakyat dan membuat laporan kepada pihak kerajaan mengenai kemajuan pembangunan kampung serta permasalahan yang dihadapi rakyat dari masa ke masa.

Katanya, jangan sampai ada pihak yang menuduh kerajaan semberono kepada rakyat akibat sikap dan tabiat pemimpin masyarakat tidak menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kerajaan kepada mereka.

Nasir menegaskan, mereka ini dilantik kerajaan berkhidmat untuk rakyat dan masyarakat hendaklah sentiasa mendampingi rakyat di peringkat akar umbi, memantau dan menyampaikan maklumat penting kerajaan mengenai pembangunan, isu-isu semasa serta turut menangkis pelbagai propaganda yang mencemar imej kerajaan.

Dato Sri Nasir berkata demikian sempena majlis penyampaian bantuan makanan seimbang E-Kasih Dhaif daripada KEMAS bagi kawasan DUN Senallang di sini.

Hadirsama dalam majlis itu Pemimpin Unit Kemajuan Rakyat (PKR),Haji Tahir Amir;Ketua Daerah Kawasan Senallang, OKK Haji Musa Sabaani; Ketua/Wakil Ketua Anak Negeri Dun Senallang, Pegawai Kemajuan Rakyat(CDO), Roslan Jalaludin serta kakitangan UPKR Senallang.

Sehubungan itu, Nasir yang juga Adun Kawasan Senallang mengingatkan golongan KIRT/PPRT di bawah program E-Kasih memanfaatkan semua bantuan yang diberikan kerajaan demi meningkatkan taraf hidup mereka.

Katanya, meskipun kerajaan sentiasa prihatin membantu semua rakyat dan terus membela nasib rakyat melalui pelbagai bantuan namun, rakyat juga harus bijak memanfaatkan bantuan yang diterima bagi membebaskan diri dan keluarga daripada belenggu kemiskinan.

No comments:

Post a Comment