Wednesday 11 May 2011

LIGS MASIH WARISI IMEJ PENJAJAH?


ZALIM....Keringat peneroka diperah, hasil masyhul dipunggah, rayuan mereka terus disanggah sehingga hidup mereka semakin susah dan bertambah parah.

Oleh: NASUTION NAEJEL

LEMBAGA Industri Getah Sabah (LIGS) yang ditubuhkan oleh Kerajaan British masih mewarisi imej dan sikap penjajah British, sekalipun Ketua Menteri Sabah telah mengambil langkah drastik menukar hampir 100 peratus Lembaga Pengarah LIGS baru-baru ini bagi menjurutera semula LIGS.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar menyifatkan demikian kerana rungutan demi rungutan dan pendedahan demi pendedahan yang yang dibuat media termasuk Sabahkini.net gagal menyentuh ‘hati batu’ Lembaga Pengarah baru LIGS; yang sama sekali enggan membantu menaiktaraf prasarana di kawasan ‘jajahan’ mereka sehingga rakyat miskin ditindas oleh dasar yang tidak menentu.

“Kita amat bersyukur kerana Ketua Menteri yang kita kasihi amat prihatin dengan masalah para peneroka, namun Lembaga Pengarah LIGS seolah-olah tidur satu bantal tetapi mimpi lain-lain,” ujar Jamawi yang menyifatkan sikap buruk ini wajar dikikis daripada berkarat di dalam agensi penting ini kerana masih ramai pegawai yang tidak jujur dan amanah ‘bersembunyi’ di dalam LIGS.

Kata Jamawi, rungutan yang disuarakan para peneroka Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Lagud Sebrang, kira-kira 15 kilometer dari pekan Tenom, tidak langsung diambil peduli malah mereka dituduh sebagai pembangkang; akibatnya mereka menyuburkan parti pembangkang (PKR) sebelum kawasan tersebut ‘ditawan’ semula UMNO.

Pergerakan Pemuda Umno Tenom, kata Jamawi, memandang serius isu yang merantai kehidupan para peneroka; sekaligus berjanji akan membawa masalah kerosakan teruk infrastruktur, terutama sistem perhubungan jalanraya kepada pihak kerajaan supaya tindakan sewajarnya dapat dilakukan dengan secepat mungkin.

Malahan selain isu jalanraya, masalah kedaifan perumahan para peneroka yang tidak pernah diselenggara lebih 20 tahun lalu turut diambil perhatian supaya keselesaan penghidupan peneroka dan keluarga masing-masing lebih bermakna.

Jamawi yang melakukan sesi turun padang baru-baru ini telah melawat dan melihat sendiri kawasan LIGS Lagud Sebrang secara lebih dekat.

Lawatan Jamawi ke tempat itu sebagai menyahut pelawaan mantan Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lampag Kurias, 61, yang telah menyertai Umno baru-baru ini untuk melihat sendiri kedaifan infrastruktur mereka.

Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Pusat dan Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah Persekutuan seterusnya berkata, beliau amat tersentuh dengan keadaan penghidupan mereka (peneroka) yang seolah-olah telah terpinggir.

Tambahnya, namun usaha membantu mereka perlu serius kerana beliau akan mencari jalan penyelesaian dalam masa terdekat termasuk berbincang kepada wakil rakyat terbabit sebelum tindakan lanjut dilakukan.

“Kita perlu membuat perbincangan dengan pihak terbabit, terutamanya wakil rakyat di kawasan berkenaan dan juga pengurusan LIGS secara bersemuka kerana masalah peneroka begitu serius sekali dan memerlukan tindakan proaktif,” tegas Jamawi.

“Jangan melihat masalah peneroka di sini sekadar remeh, tetapi ia akan memberi impak negatif terhadap pentadbiran kerajaan BN pada keseluruhannya. Lagi pun, tindakan kita ini adalah melihat dari sudut peri kemanusiaan, sedangkan peneroka di kawasan lain, kehidupan mereka jauh lebih mewah dan selesa dari LIGS Lagud Sebrang ini,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Lampag Kurias ketika memberitahu Jamawi bahawa penghijrahan sokongan peneroka sebelum ini ke pihak pembangkang khususnya PKR adalah kerana mereka telah bosan dengan kelibat pemimpin pemimpin BN di sini yang langsung tidak prihatin terhadap masalah mereka selama ini.

Bagaimana pun tegasnya, mereka yakin bahawa keaktifan dan kesungguhan kepimpinan Jamawi yang sering membantu rakyat telah mendorong mereka menyertai Umno dengan harapan bahawa masalah yang menghantui peneroka selama ini akan dapat diselesaikan.

No comments:

Post a Comment