Wednesday 11 May 2011

PEGAWAI KKLW BERPOLITIK, NKRA SEMAKIN PARAH?


MEMBAZIR.....KKLW menaikkan taraf Jalan Kemabong-SFI adalah satu pembaziran kerana tidak berpenghuni? Siapa YB?

Oleh : MOHD.ZAKI EMPIN

MENTERI atau Pegawai Kanan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) digesa turun padang dengan membuka mata seluas-luasnya untuk meninjau sendiri beberapa projek NKRA yang ‘berpenyakit’ khususnya di Tenom.

Ahli Parlimen Malaysia (Tenom), Datuk Raime Unggi, berkata demikian bagi mengulas penjelasan beragenda yang telah dikemukakan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan dan Pemantauan Projek KKLW, Nik Abd.Kadir Nik Mohammad, melalui artikel yang bertajuk ‘KKLW Sahkan Tiada NKRA Berpenyakit Di Sabah’ yang telah disiarkan melalui portal ini pada 04 Mei 2011.

Raime yang meragui kesahihan penjelasan yang telah dikemukakan oleh Nik Kadir itu berpendapat bahawa pegawai berkenaan cuba mengelabui mata rakyat berhubung isu sebenar beberapa projek NKRA berpenyakit khususnya di kawasan Tenom, semata-mata untuk menutupi amalan songsang yang mereka anuti selama ini.

Selaku Ahli Parlimen Tenom, Raime menegaskan bahawa beberapa projek yang disenaraikan di bawah NKRA di kawasan itu (Tenom) tidak dibincangkan terlebih dahulu khususnya dalam mengambilkira keperluan utama penduduk dan pelan tindakan jangka panjang pembangunan daerah.

Raime merujuk kepada beberapa projek melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah seperti Projek Menaiktaraf Jalan Dispensari Tenom RM966,000 yang tidak dipohon tapi tiba-tiba ada dalam senarai projek RMKe-10 dan lokasi projek ini tidak dinyatakan dengan jelas.

Raime mengambil contoh Projek Jalan Kemabong-Marais yang menelan peruntukan sebanyak RM22,532,000 kini dipindahkan ke jalan Kemabong-SFI yang kerana difahamkan bahawa pengukuran jajaran jalan telah pun dilakukan oleh pihak konsultan yang dilantik oleh KKLW tanpa mengambilkira pandangan daripada Pejabat Daerah Kecil Kemabong, walaupun surat bantahan telah dikemukakan kepada pihak yang berkenaan.


TERBIAR.....Jalan Kapulu-Rundum ini sepatutnya dinaik taraf tetapi diabaikan KKLW seolah-olah mempunyai agenda yang hanya dapat ditafsirkan oleh KKLW sendiri.

Raime juga turut kesal kerana Pegawai KKLW itu sewenang-wenangnya menjaja nama wakil rakyat, UPEN dan Ketua Menteri Sabah dalam hal ini; ironinya, sebagai wakil rakyat, beliau tidak dimaklumkan, apatah lagi dibawa berbincang berkenaan beberapa projek NKRA KKLW untuk meneliti keutamaan dan keperluan sesuatu projek yang member fokus kepada keperluan utama rakyat.

Raime berpendapat bahawa pelaksanaan Projek Jalan Kemabong-SFI bukan saja tidak efektif, malah satu pembaziran kerana selepas penempatan penduduk Kg.Sugiang Ulu, jalan menuju ke Kem SFI adalah jalan yang tidak berpenduduk.

Raime berkata, adalah lebih bermanfaat jika peruntukan sebanyak itu digunakan untuk menaiktaraf beberapa buah jalan utama di kawasan parlimen Tenom seperti Jalan Ulu Tomani, Jalan Inubai-Paal Seberang, Jalan Kapulu-Rundum, Jalan Pagansangon-Melalap, Jalan Manining-Batu Thiningkang, Jalan Tumantalik-Binsilon dan beberapa jalan kampung yang perlu dinaiktarafkan.

“Persoalannya di sini, adakah menjadi satu kesulitan bagi KKLW menghantar pegawai yang benar-benar prihatin dan bukan hanya tahu mengira komisyen untuk meninjau keadaan sebenar jalan ini, atau sekadar mengguna ‘teropong hikmat’ dari bilik berhawa dingin KKLW?,” ujar Raimen yang mempertikaikan slogan ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan yang diwar-warkan selama ini.

Kata Raime, adakah sikap sambil lewa ini dapat menjamin kelangsungan kepercayaan rakyat kepada kerajaan BN dan tidak wajar bagi beliau, selaku wakil rakyat, menutup sebelah mata melihat kepincangan yang berlaku yang merugikan rakyat.

“Siapa Wakil Rakyat sebenarnya? Pegawai KKLW atau saya? Adalah menjadi kewajipan saya untuk memastikan sebarang projek yang dilaksanakan di kawasan saya memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat secara menyeluruh,” kata Raime yang kesal kerana terdapat projek yang menelan kos yang tinggi tetapi tidak memberi impak langsung kepada rakyat.

Sehubungan itu, Raime menggesa agar agensi pelaksana dasar dan misi kerajaan agar turun padang untuk melihat lebih dekat akan keperluan utama rakyat yang berada di luar bandar dan yakin bahawa kerajaan yang ada sekarang akan terus mendapat kepercayaan daripada rakyat jika setiap program kerajaan menepati sasaran dan rakyat mendapat manfaat.

“Jika pegawai seperti Nik Kadir masih berada di KKLW, maka sudah pastinya NKRA yang dilaksanakan Kerajaan tidak ubah seperti menuang racun ke dalam gelas rakyat dan pembalasannya hanya dilihat ketika pilihanraya,” ujar Raime yang kesal dengan sikap ramai Pegawai seolah-olah mereka menjadi agen pembangkang untuk menumbangkan kerajaan yang memerintah kerana melakukan kerja secara cuai dan mempunyai agenda sendiri.

No comments:

Post a Comment