Wednesday 4 May 2011

PENGARAH MABUK KUASA BUTA UNDANG-UNDANG?



Oleh: NASUTION NAEJEL

PESARA Polis Robert Linggi, 65, turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan ganas tidak berperi kemanusiaan, seorang pegawai tinggi kerajaan berpangkat ‘Pengarah’ terhadap orang awam dengan membelasahnya sehingga mangsa berkeadaan teruk hanya kerana berlaku sedikit salah faham yang sepatutnya boleh diselesaikan secara aman.

Malahan beliau kesal kerana masih ada sifat-sifat manusia sebegini rupa di negara ini yang anggap tidak bertamadun seperti manusia di zaman 200 tahun dahulu, sedangkan yang melakukan seorang penjawat awam yang berjawatan tinggi.

“Kenapa mesti meniru budaya ganas yang diamalkan di negara barat? Bukankah negara kita mempunyai sistem keadilan Mahkamah yang lebih baik,” kata beliau ketika memberitahu Sabahkini.net kelmarin sambil melahirkan rasa kesal dengan insiden tersebut selepas beliau menonton rakaman CCTV di Youtube.

Selain itu, Robert menggesa pihak berkuasa agar melihat insiden tersebut sebagai suatu insiden serius dan seterusnya pihak Polis harus mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang yang ada.

Tambahnya lagi, jika tidak, maruah kerajaan akan terjejas selain keyakinan orang awam terhadap kepercayaan mereka kepada penguatkuasa undang-undang akan menjadi pudar seterusnya menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa.

Robert yang juga bekas Timbalan Pengerusi Panatua (Deputy Chairman Council of Elders) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menegaskan, bahawa Pengarah penjara berkenaan perlu digantung kerja sebelum dihadapkan ke Mahkamah untuk menerima keadilan mengikut lunas undang-undang.

“Ini juga menjadi suatu pengajaran kepada sesiapa sahaja bahawa tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang, sebaliknya jangan sekali-kali menggunakan undang- undang itu di tangan sendiri,” tegas Robert.

“Saya hairan sangat, kerana pangkat yang dipegangnya itu sudah berada di tahap yang teratas sekali. Jadi, kenapa tidak mengambil pendekatan yang sesuai untuk menyelesaikan masalah sekecil itu? Kenapa pula menggunakan kekerasan jenayah,” kata Robert.

Robert berkata demikian ketika mengulas insiden yang berlaku pada Jumaat lepas kira-kira jam 11 malam di mana difahamkan seorang pegawai tinggi kerajaan bersama tiga rakan yang lain menyerang seorang peniaga di hadapan sebuah hotel dekat sini menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk.

Laporan Polis telah pun dibuat oleh Cheah Ping Xen, 23, dan kini dalam siasatan Polis mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment