Friday 27 May 2011

POLITIK Vs POLITEKNIK



Oleh : CHANG SHAK HUNG

PENDIDIKAN merupakan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang amat dititikberatkan demi untuk menjana sistem pendidikan peringkat sekolah secara menyeluruh dan membolehkan pelajar mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Di dalam NKRA pendidikan tidak sekalipun ia menyentuh hal penglibatan para warga Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 hingga DG48 yang berkhidmat di Institusi Pendidikan (sekolah, Institut Aminuddin Baki, Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengambil bahagian dalam aktiviti politik seperti bertanding, memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik.

NKRA pendidikan berteraskan kepada empat bidang: kadar enrolmen prasekolah, sekolah berprestasi tinggi, Program Penyaringan Literasi dan Numerasi (LINUS) dan Bai’ah kepada pengetua dan guru besar.

Dalam tempoh perancangan untuk menghasilkan prestasi pelajar ke tahap yang amat membanggakan, 4 strategi akan digunapakai iaitu memastikan setiap kanak-kanak dan pelajar boleh berjaya; menjadikan sekolah bertanggungjawab terhadap prestasi pelajar; membuat pelaburan bagi membangun kepemimpinan unggul di setiap sekolah; meningkatkan daya tarikan profesion perguruan dan menghasilkan guru terbaik.

Adakah kerajaan sedar bahawa hampir 95% guru yang mengajar di sekolah menengah merupakan Gred DG41 hingga DG48 dan mereka begitu komited untuk memberi khidmat pengajaran dan pembelajaran kepada para pelajar supaya pada suatu hari nanti, mereka bakal menggantikan tampuk pemerintahan yang ada pada hari ini?

Kenapa pihak kerajaan langsung tidak memikirkan masa depan anak-anak sedangkan hanya mementingkan diri sendiri supaya membenarkan golongan guru berpolitik? Untuk apa dan apa kesan panjang untuk negara?

Ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah supaya anak-anak mereka dapat menimba ilmu pengetahuan di samping melatih disiplin dan keyakinan diri melalui aktiviti kokurikulum dan berpersatuan.

Sebagai sebagai seorang insan yang lahir daripada belajar mengikut sukatan pelajaran Kementerian Pelajaran Malaysia 29 tahun yang lalu iaitu ketika menjejakkan kaki ke tadika hinggalah dewasa, saya tidak merasa kekok untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia. Norma kehidupan adalah mencari pekerjaan yang boleh menjamin masa depan selepas tamat di bangku sekolah.

Para ibu bapa amat mengharapkan anak-anak mereka mencapai matlamat hidup selepas anak-anak mereka meninggalkan bangku sekolah dan meneruskan pengajian ke menara gading.

Dari situlah hasrat dan cita-cita pelajar itu mula kelihatan dan mereka bakal memilih untuk bekerja makan gaji di sektor swasta mahupun kerajaan, menjadi usahawan berjaya, berniaga, menjadi guru, peguam, doktor, jurutera dan lain lain.

Inilah tanggungjawab yang sebenar yang harus dipikul untuk melahirkan generasi muda yang berilmu dan bukannya membenarkan para guru berpolitik. Sudahlah para pendidik mempunyai jadual waktu yang ketat dan tidak terlepas daripada kerja-kerja perkeranian semasa dan selepas waktu mengajar, ini pula hendak melepaskan tanggungjawab sebagai seorang pendidik dengan bergiat di dalam politik?

Melalui surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato’ Sri Abu Bakar Bin Haji Abdullah, para guru yang ingin menyertai politik perlu mematuhi syarat-syarat dan antaranya adalah tidak bertentangan dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Di samping itu juga, segala kegiatan politik hendaklah dilakukan di luar waktu bertugas dan kegiatan di dalam politik hendaklah tidak mengganggu tugas rasmi sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG 41 hingga DG48.

Namun yang demikian, surat pekeliling itu juga ada menyatakan bahawa pegawai atau guru berkenaan hendaklah memohon cuti tanpa rekod dan terhad kepada aktiviti seperti menghadiri mesyuarat parti politik di Peringkat Kebangsaan sebagai perwakilan; dan menghadiri seminar atau bengkel anjuran parti politik, yang membincangkan isu-isu nasional dan pembangunan negara.

Di manakah logiknya menyatakan bahawa segala kegiatan politik hendaklah tidak mengganggu tugas rasmi dan pada masa yang sama memberi kelulusan untuk cuti tanpa rekod dibenarkan?

Perlu diingat bahawa para guru yang memohon cuti itu akan diberi bebanan tugas kepada guru yang lain memandangkan guru yang lain terpaksa menggantikan guru berpolitik tersebut sedangkan guru pengganti ini telah mempunyai tugasan dan jadual waktu yang ketat serta pelan pengajaran dan pembelajaran yang perlu diikuti seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Oleh yang demikian, pihak kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional perlulah bersikap professional dan tidak hanya mementingkan diri sendiri daripada menghancurkan negara memandangkan para pelajar begitu mengharapkan guru untuk mendidik dan memberi tunjuk ajar supaya di suatu hari nanti, akan berjaya di dalam kehidupan yang mencabar di hari mendatang. Jangan libatkan guru dan pendidikan di dalam politik!

9 comments:

  1. Education is very important, don't politicize education.

    ReplyDelete
  2. The education system needs more improvement. Hope that the ministry of education will work hard to improve the quality. Do not use education for political purpose.

    ReplyDelete
  3. menjalankan tugas sebagai guru perlu diutamakan oleh setiap guru-guru.

    ReplyDelete
  4. Tidak perlu menghantar guru2 dari semenanjung ke Sabah dan Sarawak. Kalau guru2 dari SM sudah cukup jangan lagi menyeru mereka untuk cenderung ke bidang pendidikan.

    ReplyDelete
  5. boleh berpolitik, asal jgn sampai terbawa2 ke dalam kelas semasa mengajar...nnt pelar pun terpengaruh & mula lupakan pelajaran mereka....

    ReplyDelete
  6. guru-guru sepatutnya menjalankan tugas sebagai pendidik.bukan berpolitik

    ReplyDelete
  7. guru2 tak wajar terlibt dalam politik, mereka harus tumpukan perhatian pada tugas mereka sebagai pendidik.

    ReplyDelete
  8. jangan kerana takut pelbagai isu pula dikaitkan.

    ReplyDelete
  9. bila masa pula kerajaan mengeluarkan kenyataan yang membolehkan guru2 terlibat dengan politik? setahu saya pembangkang lah yang beriya2 mahu pensyarah, pelajar dan guru2 terlibat dengan politik atas dasar kebebasan bersuara...

    ReplyDelete