Thursday 19 May 2011

SETITIK AIR, SEGUNUNG JASA YAYASAN SABAH



POTONG….Kamarlin memotong riben menandakan penyaluran air graviti ke Masjid Baru Ulu Lingkungan sambil diperhatikan oleh Zulkhairi, Matbali, Ahmad Mumin dan Gulam.

Oleh: ZULKHAIRI ISMAIL

"Kerajaan Barisan Nasional khususnya di Sabah sejak sekian lama melaksana segala program yang menjurus kepada penyediaan kemudahan asas rakyat khususnya di pedalaman secara berterusan dan bukannya bila tiba musim pilihanraya seperti mana dakwa sesetengah pihak yang hanya tahu bercakap tapi tidak turun ke padang memastikan kesejahteraan rakyat terbela".

Demikian tegas Wakil Rakyat Lumadan, Kamarlin Haji Ombi semasa merasmikan penyerahan kemudahan bekalan air graviti sumbangan Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) di Kg Ulu Lingkungan kelmarin.

Kamarlin juga menyeru semua lapisan rakyat khususnya di pedalaman agar memperkukuh perpaduan dan bertukar maklumat secara bijak dengan merujuk kepada sumber-sumber yang dipercayai seperti agensi kerajaan, media cetak dan elektronik yang berwibawa dan juga pemimpin-pemimipin masyarakat di pelbagai peringkat.

DOA…. Kamarlin, Zulkhairi dan sebahagian penduduk Ulu Lingkungan memanjatkan doa kesyukuran atas pembinaan bekalan air graviti yang memberi banyak manfaat.

"Perpaduan dan persefahaman murni yang sdia wujud dalam kalangan masyarakat Sabah khususnya di luar bandar merupakan benteng paling kukuh dalam menangkis segala usaha kotor pihak pembangkang yang bertujuan mewujudkan suasana kacau-bilau dalam kehidupan rakyat sekaligus menghalang kemasukan sebarang bentuk kemajuan spiritual dan fizikal", tambahnya lagi.

Beliau juga merakamkan penghargaan dan terimakasih kepada Yayasan Sabah atas perkhidmatan yang diberikan meliputi pelbagai bidang teras pemodenan masyarakat luarbandar.

Sementara itu dalam ucapan aluannya, Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail menyatakan bahawa konsep pembinaan empangan kecil paip graviti itu dibina secara separa gotong-royong yang melibatkan penduduk sesebuah kampung atau mukim yang bertujuan semata-mata bukan sahaja memberi kemudahan kepada masyarakat setempat malah juga untuk mewujudkan persekitaran 'esprit-de-corp' atau semangat kekitaan yang berkekalan di kalangan mereka.

SEGAR…. Kamarlin dan Zulkhairi turut merasai sendiri kesegaran air bukit yang disalirkan ke Masjid Ulu Lingkungan.

Fasiliti paip graviti tersebut mampu membekalkan bekalan air berterusan kepada lebih 30 buah rumah yang melibatkan 200 pengguna di samping menjadi bekalan air utama kepada Masjid Ulu Lingkungan yang baru dibina dan balairaya berdekatan. Sumber air diperolehi melalui tadahan air yang kaya dengan mineral dari puncak bukit sepanjang jalan dari Weston ke Sipitang.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan, Haji Ahmad Mumin, Pegawai Perhubungan Parlimen sipitang, Matbali Haji Musa, Pengerusi Masjid Ulu Lingkungan, Semaun Senang, Pengerusi JKKK Ulu Lingkungan, Ibrahim Omar, Pegawai YSZPS Beaufort, latip Taip, Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, haji Gulam Hapil dan ketua-ketua jabatan negeri sekitar Sipitang dan Beaufort.

No comments:

Post a Comment