Sunday 8 May 2011

SHAFIE GESA AHLI UMNO DAFTAR PEMILIH



NAIB Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata jumlah anggota parti Umno yang mendaftar sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih rendah, walaupun parti itu mencatat pertambahan ahli.

Sehubungan itu, katanya peringkat bahagian dan cawangan Umno serta parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu bertindak segera memastikan anggota parti masing-masing mendaftar sebagai pemilih pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kapar, di Klang, Selangor.

Mengenai kemampuan BN merampas kembali Selangor daripada parti pembangkang, Mohd Shafie berkata ia mampu dicapai jika calon boleh menang diletakkan sebagai calon BN dan mesti mendapat sokongan anggota parti.

Formula ini berjaya dilaksanakan semasa pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April 2010, apabila P.Kamalanathan daripada MIC yang bertanding di kerusi itu berjaya merampas semula kerusi itu daripada parti pembangkang setelah mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi, katanya.

Mohd Shafie berkata perpaduan dan semangat setiakawan di kalangan anggota Umno perlu diperkuatkan bagi mencapai matlamat itu. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment