Sunday 15 May 2011

WANITA JANGAN TERLENA DALAM ZON SELESA



TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak mengingatkan sayap Wanita parti itu supaya jangan leka dan terlena dalam zon selesa, sebaliknya harus sentiasa siap-siaga menunggu tiupan wisel pilihan raya pada bila-bila masa.

Beliau berkata ia penting kerana Pergerakan Wanita Umno memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan seperti dibuktikan dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini dan juga pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

"Wanita tidak boleh leka. Wanita mesti ada keyakinan bagi memastikan perjuangan Umno terus maju, mesti ada kekuatan bersama-sama menjayakan agenda transformasi kerajaan, mesti ada komitmen mendampingi rakyat secara berterusan.

"Wanita Umno kini diakui berada di tahap membanggakan dari segi perjuangan dan pencapaian, tapi ia tidak harus melalaikan kita. Wanita jangan berasa selesa dalam zon ini," katanya berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kota Belud kelmarin.

Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud menegaskan dalam mengharungi cabaran semasa, Wanita perlu memperkukuh kerjasama dan lebih fokus terhadap tindakan selain berdisiplin dan berintegriti.

"Kesatuan perjuangan mesti ada. Komitmen dalam tugasan mesti dipupuk," tegasnya.

Menurutnya, iklim politik kini berbeza dan rakyat mempunyai dua pilihan, iaitu antara Barisan Nasional (BN) dengan parti lawan.

Justeru, katanya, Wanita mesti bersikap proaktif bagi menentukan rakyat membuat pilihan terbaik.

"Kita harus besikap mesra rakyat, membuang sikap ego atau pentingkan diri sendiri. Utamakan parti daripada individu, kerana yang membentuk kerajaan adalah parti, bukan individu.

"Marilah kita bentuk pasukan supaya menjadi kuat, jangan bentuk kumpulan nanti wujud kelompok, dan akhirnya parti pecah berderai," katanya.

No comments:

Post a Comment