Wednesday 11 May 2011

DEMONSTRASI JALANAN BERBAHAYA



RASMI…..Kurup merasmikan Balai Masyarakat Kg.Lintuhun, Sook.

Oleh: ROZIE JUMAT

PRESIDEN Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup melahirkan kekhuatirannya dengan tindakan demonstrsi jalanan sebagai satu budaya baru yang dibawa oleh pihak luar, yang jika dibiarkan bakal menjadi gangguan ketenteraman awam dan perbalahan di kalangan berbilang etnik di kawasan pedalaman.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Balai Masyarakat Kg.Lintuhun Baru, Sook mengulas tindakan beberapa orang yang telah mengadakan Demonstrasi Jalanan di hadapan Pejabat Daerah Kecil Sook.

“Selama ini, rakyat di kawasan Pedalaman, khususnya Kawasan Sook, hidup dalam keadaan rukun dan damai. Semangat saling hormat menghormati, toleransi dan semangat kekitaan menjadi amalan hidup. Tidak pernah berlaku tindakan tunjuk perasaan atau demonstrasi jalanan walaupun sebesar mana masalah yang dihadapi oleh masyarakat di kampung,” kata Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

“Mengambil bahagian di dalam Demonstrasi Jalanan adalah salah di sisi undang-undang. Walaupun Negara kita mengamalkan sistem demokrasi, tetapi jangan guna demokrasi sebagai dalil untuk memecahbelahkan rakyat dan memporakperanda ketenteraman awam. Jika kamu bersubahat dengan mereka yang mempunyai agenda bertentangan dengan adat dan budaya kita, ini bermakna kita turut menyumbang ke arah memusnahkan perpaduan yang selama ini dipupuk dan dipelihara serta diharapkan oleh kerajaan kita. Jika hal ini terjadi, siapa yang rugi?,” tanya Kurup.

Ahli Parlimen Pensiangan itu mengingatkan bahawa tindakan tersebut bukan sahaja merugikan diri sendiri dan keluarga tetapi masyarakat secara keseluruhannya.

“Walaupun bukan semua masalah dapat diselesaikan dengan serta merta, tetapi dengan keprihatinan kerajaan yang mendahulukan rakyat, pasti ada penyelesaian tetapi memerlukan sedikit kesabaran dan masa. Tindakan menerusi perbincangan dengan semua pihak merupakan pendekatan terbaik bagi mencari penyelesaian secara menang-menang dan bukan menerusi Demonstrasi Jalanan,” kata Kurup yang meyakini bahawa pasti ada jalan penyelesaian bagi setiap masalah.

Katanya lagi, beliau meminta kepada pihak yang bertanggungjawab membawa budaya itu supaya menghentikannya dan membawa balik budaya itu ke tempat asal mereka.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada masyarakat di Kg Lintuhan Baru menggunakan badan JKKK sebagai saluran untuk menyelesaikan masalah mengikut peringkat pentadbiran.

No comments:

Post a Comment