Wednesday 11 May 2011

SEGERAKAN PENDAWAIAN ELEKTRIK SMK KEMABONG



TAKLIMAT….Pengetua, Rashidie Marujin (kini mantan) sedang memberi taklimat kepada Timbalan Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Puad Zakarshi.

Oleh: MEDIA PBS PEDALAMAN

KETUA Bahagian PBS Kemabong, Sabini Ansumor mengesa pihak terbabit menyegerakan pendawaian semula Flat Guru di SMK Kemabong kerana difahamkan bahawa pendawaian di 3 blok berkenaan terlalu uzur manakala Blok 1, langsung tidak berfungsi.

Menurut Pengerusi Kelab Staf Sekolah, Gilbert Ondoi, bekalan elektrik di Blok 1 gagal berfungsi sejak Jun 2009. Blok setinggi 4 tingkat berkenaan menempatkan 8 rumah guru.

Penghuni di flat berkenaan terpaksa menarik wayar elektrik dari makmal sains di bangunan sekolah meskipun tidak digalakkan oleh SESB. Beberapa wayar elektrik dilihat terlentang seperti jemuran kain sejauh 100 meter menyeberangi padang sekolah. Ini merbahaya kepada pelajar sekolah dan anak penghuni flat.

"Kami tidak mempunyai pilihan. Sudah hampir 2 tahun keadaan ini berterusan. Kami perlukan bekalan elektrik dan minta pihak berkenaan (tolong) segerakan pendawaian semula," kata Syaming Salleh, salah seorang penghuni Flat Blok 1.

Setakat ini pelbagai cara telah dilakukan oleh pihak sekolah dan Pengerusi PIBG namun belum mendapat tindakan yang memuaskan. Julai tahun lalu, Timbalan Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Puad Zakarshi telah melakukan lawatan kerja ke sekolah ini dan menerima memorandum berkaitan selepas mendengar taklimat ringkas mantan pengetua ketika itu, Rashidie Marujin.

Menurut Sabini, difahamkan peruntukkan untuk kerja-kerja penyelengaraan dan pendawaian semula elektrik di flat sekolah ini belum ada dan merayu pihak berkenaan supaya segera mencari jalan agar masalah ini diatasi segera.

Dalam masa yang sama, Sabini turut memaklumkan aduan guru dari SK Kolorok berkaitan kedaifan jalanraya ke kampung Kolorok. Menurut guru berkenaan, penduduk kampung mengeluh keadaan jalanraya yang berlubang, becak dan licin membahayakan pengguna. Difahamkan juga sering kali motorsikal guru terbabas akibat jalan licin dan guru tercedera.

"Jalan ke Kolorok melalui Ahuron hanya dapat dihubungi menggunakan motorsikal. Sementara itu masa yang lama terpaksa diambil jika menerusi Jalanraya Inubai yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda dan tidak dapat dilalui pada musim hujan," lapor Sabini.

Menurutnya, inilah masanya pihak berkenaan merealisasikan moto, 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan'.

Sabini berkata demikian semasa merasmikan penutupan Pertandingan Sepak Takraw (lelaki) dan Bola Tampar (wanita) Piala Sabini di sini.

No comments:

Post a Comment