Wednesday 11 May 2011

KOMPUTER 1MALAYSIA PEMANGKIN MINDA



KEMUDAHAN……Abdul Rahman (tiga dari kanan) menyampaikan komputer 1Malaysia kepada salah seorang pelajar sambili diperhatikan oleh Bukhari (empat dari kiri) dan Suhaindo (kanan sekali) pada majlis itu.

Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI

SERAMAI 1,616 orang pelajar dari sekolah menengah di daerah ini akan menerima kemudahan komputer 1Malaysia dalam masa terdekat ini.

Majlis penyampaian simbolik komputer 1Malaysia tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan yang telah diadakan di SMK Pekan II Kota Belud, baru-baru ini.

Program pengagehan komputer 1Malaysia adalah salah satu Pelan Jalurlebar Kebangsaan (NBI) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 24 Mac 2010.

Program dilaksanakan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan (KPKK) melalui Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Abdul Rahman ketika berucap di majlis penyampian itu mengingatkan kepada para pelajar agar menggunakan komputer 1Malaysia tersebut dengan sebaik mungkin dan tidak menjualnya kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, terdapat insiden di mana kemudahan komputer 1Malaysia yang diberikan oleh pihak kerajaan secara percuma telah disalahgunakan atau dijual kepada pihak yang ketiga.

“Kita tidak mahu perkara sebegini berlaku di daerah ini, tindakan tidak bertanggungjawab dan kurang bijkasana seperti ini bukan sahaja merugikan pelajar itu sendiri malah ia juga akan membantutkan usaha kerajaan membangunkan negara.”

“Komputer 1Malaysia pemberian daripada pihak kerajaan ini mampu memangkin minda dan juga ekonomi di daerah Kota Belud apabila pelajar dan orang awam mampu untuk melayari laman web.” katanya lagi.

Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah turut menasihati para pelajar yang menerima komputer percuma itu, para pelajar perlu bertanggungjawab untuk memastikan bahawa maklumat yang dilayari dan terima dari laman web harus ditapis sendiri secara bijaksana.

Menurutnya, kalau dulu kita ada ‘big brother’ ataupun ‘kerajaan’, tok guru, tok imam, padri, JKKK, para pemimpin dan Wakil Rakyat yang sekurang-kurang boleh membantu untuk kita menapis maklumat.

Namun katanya, zaman telah berubah, dalam landskap IT yang begitu mencabar tanggungjawab untuk menapis maklumat bukan sahaja terletak di atas bahu para pelajar malah ia juga merupakan tanggungjawab para ibu bapa.

Dalam pada itu, Abdul Rahman mengucapkan terima kasih kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana telah bertungkus lumus untuk menjayakan program pengedaran komputer 1Malaysia.

Menurutnya, bukan senang untuk mengagehkan kemudahan komputer 1Malaysia fasa yang pertama kerana ia membabitkan jumlah yang amat besar yang harus diageh-agehkan di seluruh negeri Sabah.

Hadir sama pada majlis itu antaranya Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Bukhari Yahya; Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kota Belud, Suhaindo Rambayau serta para pemimpin setempat yang lain.

No comments:

Post a Comment