Sunday 8 May 2011

TIMUGON, MASYARAKAT BERADAT BUDAYA



Oleh: HAJI WAHAB TIMPAI.

MASYRAKAT Murut wajar mempunyai komitmen dalam mempertahankan senibudaya dalam etnik masing-masing sekiranya mahu dihormati dan dikenali di seluruh dunia.

“Setiap teguran kelemahan dari seni budaya Murut sepatut dijadikan ikhtibar, di samping menguatkan iltizam bahawa mereka juga boleh seperti yang dilakukan suku yang lain dalam negara ini”.

Murut kaya dengan senibudaya tersendiri, tetapi entah ke mana perginya khususnya dari etnik Murut Timugon yang hampir kepupusan dalam kebudayaan dan adat mereka sendiri.

Ketua Daerah Tenom, OKK David Jani yang berketurunan Murut Timugon berasal di kampung Entabuan Tenom berkata; “semua adat istiadat akan dibukukan atas kehendak pihak muzium yang mahu mengenal pasti setiap keterangan adat dari etnik masing-masing di negeri ini”.

“Saya tidak banyak masalah etnik Murut lain seperti orang Tagol, Paluan, Kolor dalam jagaan saya di Tenom kerana mereka sentiasa memelihara tradisi masing-masing. Contohnya dari pakaian seragam dan tanjak, namun mungkin etnik Timugon menghadapi sedikit kesulitan dalam menonjolkan pakaian tradisi berikutan berlakunya perkahwinan campur,” kata OKK David.

Menurut Ketua Daerah tersebut, tugasnya selaku Ketua Adat, tidak hanya tertumpu mengendali kes perbicaraan semata-mata, tetapi wajib memainkan peranan memantau dan memelihara adat istiadat Murut di luar bandar menerusi Ketua Kampung.

Dalam pada itu, setiap ketua kampung yang dilantik itu wajib mengetahui adat resam di kalangan etniknya sendiri dan boleh mengendali tugasnya dengan telus serta bertanggungjawab apabila mereka membuat perbicaraan berkaitan adat resam di peringkat kampung masing-masing berlandaskan adat istiadat.

David turut berkata, beberapa peraturan wajib seperti pantang larang, adat perkahwinan, melintasi persekitaran rumah orang apabila membawa jenazah, termasuk pantang larang bertani di ladang, seperti sawah padi, atau menuggal padi bukit, semuanya akan disusun untuk dibukukan sebagai rujukan suku Murut di Tenom dan tidak melibatkan daerah lain.

Sebagai contohnya, bagi Murut etnik Timugon, sebelum memulakan penuaian padi mereka, pemilik padi itu terlebih dahulu mengambil sedikit buah padi sedang menguning itu untuk dibuat ‘Mamata’ iaitu buah padi mentah itu dimasukkan ke dalam kuali untuk dikeringkan mengguna kayu api sehingga kering bagi memudah untuk diproses menjadi beras, kemudian direndam dalam besen dengan mengguna air kelapa muda untuk melembutkan beras itu selama 12 jam.

Selepas itu, nasi mantah yang sudah bercampur dengan isi kelapa muda itu kemudiannya dimasukkan ke dalam tempurong kelapa untuk dipacakkan di tengah-tengah ladang sawah itu menandakan sawah mereka itu tiada lagi pantang larang dan bebas membawa makanan di situ.

Kemudian sisa yang tinggal itu, dibungkus dengan daun irik atau pisang, untuk diageh-agehkan kepada perkampungan itu walaupun hanya sedikit satu keluarga untuk dinikmati bersama.

“Inilah keunikannya adat resam suku Murut, khususnya etnik Timugon,” ujar David lagi.

Sebelum itu, katanya lagi, apabila saja buah padi itu mula berbunga, maka bermulanya pemilik sawah padi berkenaan akan menguatkuasakan pantang larang seperti tidak membenarkan orang ramai membawa makanan ke sawah, membawa pisau dan tidak boleh membawa buah kelapa sehingga terlaksananya membuat nasi ‘Mamata’ itu dan adat ini masih relevan bagi Murut Timugon; meskipun pelbagai anutan agama atau perkahwinan campur berlaku.

Selain daripada itu, menurut kepercayaan etnik Timugon lagi, setelah buah padi siap dileraikan kemudian dilonggok di sebuah pondok kecil yang dibina khas untuk tempat menyimpan sementara sebelum dipindah ke rumah, orang ramai tidak dibenarkan bersiul dan bertepuk tangan.

“Namun semua pantang larang seumpama itu semakin pupus, hanya segeintir saja yang masih mengikut adat resam itu dan kesannya pihak generasi muda sekarang tidak lagi dapat mengenali adat dan senibudaya sendiri,” ujar David.

Justeru itu, pihak Mahkamah Anak Negeri akan membekalkan pada setiap ketua kampung di samping menguatkuasakan semula untuk mengambil tindakan pelaku kesalahan seperti itu kerana ianya ada berkaitan disiplin, serta membimbing generasi sekarang dan akan datang supaya suku Murut lebih bertanggungjawab menjaga adat resam dan senibudaya etnik mereka sendiri.

Berbalik pada soal kebudayaan Murut, seperti pakaian kahwin, David berkata bahawa pengantin perempuan memakain pakaian yang diseragamkan dengan baju berwarna hitam yang dinamakan baju Sulayau dan disulamkan dengan pelbagai manik beraneka warna untuk mencantikkan lagi baju itu.

Pengantin berkenaan juga diselendangkan kain sarung melambangkan imej sebagai pangantin, tetapi sekarang Murut lebih berminat menyewa pakaian yang disediakan oleh kedai, menyebabkan imej kebudayaan pakaian tradisional tidak lagi menjadi satu kegemaran.

Besar kemungkinan kata David, mereka beranggapan pakaian itu kurang menyerlah dan pengantin berkenaan merasa malu memakainya, walhal pakaian itulah yang sangat berkualiti dan menarik perhatian kepada para pelancong luar atau dalam negera Malaysia.

OKK David Jani yang juga Pengerusi Persatuan Peladang dan berasal dari kampung Entabuan kira-kira 5.5 kilometer daripada pekan Tenom, turut mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk mewujudkan sebuah pekan kecil di kawasan Zon Entabuan bagi memudahkan rakyat di kawasan itu membawa hasil masyhul, pertanian mereka ke pekan tersebut.

Menurutnya, majoriti penduduk zon itu mengusaha kebun masing-masing secara individu untuk menyara hidup keluarga. Justeru itu, sekiranya terlaksana pengwujudan pekan kecil Entabuan sudah pasti ramai rakyat di situ turut bergembira.

Entabuan terletak di tengah-tengah antara perjalanan menuju ke Taman Pertanian Sabah dan Perkampungan Inubai dan terdapat jalan bulatan di situ dalam pusingan bulatan itu ke kiri menuju pusat Taman Pertanian Sabah; manakala kanan ke Inubai.

No comments:

Post a Comment