Oleh : MEDIA PKR
BERTEMPAT di Kampung Kelanaan Rimba, Papar malam kelmarin telah diadakan satu Ceramah Kelompok anjuran PKR Cabang Papar yang di hadiri oleh Presiden Parti, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail serta Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Hussein.
Kehadiran yang amat menggalakkan bagaikan memberi petanda bahawa masyarakat Bumiputera Islam di Sabah telah mulai mengalihkan minat mereka kepada Pakatan Rakyat dan PKR kerana mereka bersimpati dengan tohmahan parti lawan menabur ‘Fitnah-3’ kepada keluarga Presiden, maka orang ramai berduyun-duyun hadir mendengar sendiri penjelasan dari tokoh politik PKR Malaysia, Wan Azizah sendiri.
Dalam ucapan Presiden yang penuh sentimental pada malam itu, beliau menyentuh tentang beberapa isu semasa, antaranya isu fitnah terbaru yang melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Dr. Wan Azizah, "Sebagai seorang isteri yang paling rapat dengan Anwar Ibrahim, sudah pastilah saya mampu mengecam suami saya. Malah setelah menonton klip pertama video berkenaan, saya pasti bahawa si pelaku dalam video tersebut bukan suami saya."
Tegasnya, "Saya lebih tahu bentuk badan suami saya dari ribuan pakar kerana Anwar adalah suami saya yang sah. Saya bersuamikan Anwar bukan satu bulan dan bukan satu tahun," jelas Wan Azizah meyakinkan dengan linangan air mata menolak fitnah angkara mainan politik kotor BN yang mereka sendiri menolaknya terlibat?
Dalam keheningan suasana yang penuh kesayuan rasa maka berlinanganlah airmata kesedihan hadirin yang mendengar sendiri penjelasan satu persatu angkara Fitnah-3 yang sengaja dilemparkan oleh pencacai UMNO, semata-mata untuk mengaibkan keluarga yang ingin berkorban memberikan kesedaran kepada rakyat supaya berubah dan merubah kepimpinan Kerajaan zalim kepada sebuah Kerajaan yang adil dan saksama kepada semua kaum rakyat Malaysia di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat.
Menurut Dato’ Seri Wan Azizah lagi, selama enam tahun suaminya dalam penjara, beliau banyak mengamalkan puasa Isnin dan Khamis dan hanya mengalas perutnya dengan buah tamar (kurma) sebagai sahur dan sungkainya.
“Itu rutin yang Dato’ Seri Anwar lalui sepanjang enam tahun. Apakah dengan diet sebegini mampu memberikan potongan badan seperti pelaku dalam video seks yang berperut boroi (buncit) itu?" kata Wan Azizah yang disambut dengan jeritan ‘fitnah’ dari orang ramai menyemarakkan semangat di malam dingin itu.
Wan Azizah berharap dugaan-dugaan berat sebegini menandakan UMNO/BN sebenarnya gentar dengan gelombang reformasi yang kini hebat melanda ke seluruh Malaysia. Maka BN tiada diberi pilihan lain selain menghancurkan mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat yang bagi BN mampu ‘menguburkan’ UMNO/BN dalam PRU13 kelak.
Ini jelas dilihat dalam PR Negeri Sarawak, kerusi pembangkang telah ditambah. Ini bukan merupakan suatu senario yang bagus untuk BN. Walaupun cuma 16 kerusi, namun ianya memberikan isyarat yang cukup jelas bahawa rakyat kini sudah sedar dan ingin menolak BN.
Sabah dan Sarawak bagi BN adalah dua negeri ‘Fixed Deposit’ bagi mereka. Maka kerana itulah UMNO/BN kini dengan sedaya upaya mereka ingin melumpuhkan Pakatan Rakyat dengan memperjudikan imej dan maruah Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Pekikan orang ramai bergema hebat memecah kesunyian malam dingin membakar semangat untuk menolak UMNO/BN dan menegakkan Keadilan dalam Pakatan Rakyat!
No comments:
Post a Comment