Wednesday 25 May 2011

BUKAN ASET, TETAPI PARASIT DALAM PBS


Saudara Pengarang,

GENERASI pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) masakini lebih tertarik dengan daya kuasa wang dan pangkat. Generasi pelapis yang tidak pernah merasai peritnya perjuangan jatuh bangunnya parti itu, lebih rela diulit mimpi indah berbanding matlamat sebenar perjuangan untuk membela rakyat.

Maka tidak hairanlah pemimpinnya terutama di pedalaman tidak perlu ke pejabat untuk bertemu rakyat. Cukuplah mencari mereka di mana-mana pusat hiburan sama ada siang atau malam.

Inilah hakikat fenomena yang berlaku di kalangan pemimpin pemudanya, yang bukan sahaja ego, bongkak malahan sombong dan angkuh. Ketokohan Huguan Siou juga sedikit sebanyak tercalar oleh sikap pemimpin di Keningau ini.

Pernah berlaku satu keributan berlaku di sebuah pusat hiburan apabila pemuda PBS menumbuk seorang doktor dan berteriak “Saya ini orang politik, jangan main-main dengan orang politik, saya orang Datuk Pairin!”

Lebih mencalarkan lagi kedudukan Tan Sri Pairin Kitingan ialah Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Keningau sendiri membuka sebuah pub bersebelahan pintu dengan Pejabat Perhubungan tersebut.

Beliau bukan sahaja memberi perlindungan kepada pendatang tanpa izin dengan menggajikan mereka, tetapi menggunakan pub ini untuk berurusan sama ada siang dan malam.

Ketua Pegawai Perhubungan ini menggunakan Pejabat Parlimen Keningau seperti sebuah firma besar dan beliau adalah seorang Chief Executive Officer (C.E.O) yang mengawal segala bentuk perniagaan (projek) dan bentuk aliran pembangunan di Keningau melalui pejabat perhubungan parlimen.

Kontraktor yang tunduk kepadanya akan mendapat kerja meskipun hanya setakat diberikan komisyen atau sewa lesen. Kerja-kerja akan dilaksana oleh beliau dan rakan-rakannya, termasuklah Ketua Pemuda PBS Liawan yang mempunyai rekod disiplin yang teruk.

Menurut sumber, seorang dua kontraktor yang tidak berpuas hati dengan proses pemberian projek, datang sendiri menemui Huguan Siou untuk mendapatkan sokongan. Apabila kontraktor mendapat kerja (projek) kerana Pegawai Daerah komited dengan tandatangan seorang wakil rakyat; maka pelbagai cara dilakukan oleh C.E.O ini, termasuklah memarahi kontraktor ini kerana tidak menggunakan saluran yang tepat untuk berurusan.

Beliau menggunakan alasan bahawa projek tersebut telahpun diberikan kepada pihak yang lain dan Ahli Parlimen tidak mengetahui ia telah bertindih.

“Biasalah kita punya YB ini hanya tahu bagi sokongan sahaja tanpa merujuk kepada kami di sini,” begitulah alasan yang diberikan C.E.O tersebut.

Sebenarnya beliau hanya mahu mengingkari sokongan terhadap wakil rakyat. Pembangunan dan projek di kawasan Keningau di bawah Kerajaan Persekutuan adalah besar dan tahun ini sahaja peruntukan khas Ahli Parlimen adalah RM3 juta.

Wang dan sikap tamak telah mengaburi rasa hormat kepada mereka yang memberikan peluang untuk bekerja dan mewakili amanah daripada rakyat.

SPRM juga wajar menyiasat satu projek kononnya pembinaan sebuah balai raya di Kg.Pangas Ulu yang dicurigai. Sumber dari kampung mengatakan, projek pembinaan balai raya itu sebenarnya projek di kampung lain.

Namun memandangkan masa telah singkat untuk memastikan projek itu disiapkan. Maka kontraktor dari PBS telah tiba-tiba datang ke Kg.Pangas dan mengecat balai raya kampung yang hampir roboh kerana sudah uzur. Kemudian mereka mengambil gambar untuk tujuan tuntutan pembayaran.

Anehnya sehingga kini, oleh kerana kampung itu terletak jauh di ulu; tidak ada sesiapa pun menyedari kecurangan C.E.O dan rakan-rakannya di Pejabat Perhubungan Parlimen Keningau. Hanya orang kampung yang bising tetapi tekak mereka tersekat dengan sikap ‘gangsterism’ Pemuda Pbs di Pejabat Perhubungan itu.

Inilah malangnya apabila golongan muda yang dipilih untuk menerajui sesuatu entiti kononnya fikiran mereka masih ‘fresh’ dan dapat menjiwai atau boleh membawa sesuatu yang baru kepada rakyat. Tetapi golongan pelapis yang tidak pernah mengenal erti kesusahan, berdampingan dengan rakyat atau merasai perjuangan sejati ini sebenarnya menjadi parasit dalam parti.

Mereka bukan sahaja mengamalkan politik wang untuk terus berkuasa kerana habuan di hadapan mereka dan kepentingan jawatan untuk mereka, maka mereka langsung tidak sensitif kepada rakyat. Kuasa yang ada pada mereka harus dipertahankan kerana sikap tamak dan haloba menguasai diri.

Apakah ini semua disedari oleh Ahli Parlimen Keningau? Bahawa pejuang-pejuang beliau sebelum ini seperti Harry Gitik, yang tidak pernah lari dari beliau, dari zaman pembangkang, kejatuhan PBS dan sehingga kini, meskipun telah dilucutkan jawatan sebagai Pegawai Perhubungan Keningau; tetap setia kepadanya. Beliau terus bekerja di peringkat akar umbi meskipun tidak mempunyai sebarang jawatan. Orang seperti ini yang setia seharusnya menerima ‘reward’ yang sewajarnya.

Huguan Siou tidak seharusnya memberikan tanggungjawab sepenuhnya kepada Pejabat Perhubungan Palimen Keningau semata-mata kerana ternyata orang yang kononnya boleh dipercayai ini main ular di belakang beliau.

Ramai yang tidak puas hati dengan Huguan Siou disebabkan masalah yang ditimbulkan oleh C.E.O dan rakan-rakannya, yang mungkin tidak sampai ke pengetahuan Huguan Siou kerana takut periuk nasi terjejas dalam PBS.

Apa yang dilihat, aset penting PBS di kawasan Keningau ialah Ketua Bahagian PBS N.34 Liawan yang kelihatannya rajin turun padang. Malahan beliau senang mendekati rakyat dan meninjau kawasan di Liawan.

Beliau juga kelihatannya disenangi oleh pemimpin masyarakat di kawasan Liawan. Jake Nointin telah melakukan tanggungjawabnya sebagai wakil kepada Huguan Siou menjadi mata dan telinga di kawasan itu.

Berbanding dengan Pejabat Perhubungan Parlimen Keningau yang hanya sibuk mencari kesenangan dan peluang selagi masih berkuasa. Hanya turun padang apabila Ahli Parlimen Keningau berada di kawasan sebagai pengiring. Jauh sekali untuk menjaga dan melindungi nama baik Huguan Siou yang semakin tercalar oleh sesetengah pemimpin PBS di Bingkor dan Liawan.

Meskipun Parlimen Keningau masih kekal kubu kuat PBS-BN, namun Pairin harus mengambil berat rintihan penyokong PBS di Keningau, agar memilih orang yang terbaik di kalangan askar-askarnya yang tidak main ular, seperti sesetengah kakitangan yang berada di Pejabat Parlimen Keningau. Orang ini menggunakan PBS sebagai kuda tunggangan dan menjadi parasit yang sangat merbahaya kepada perjuangan Huguan Siou.

Bukankah sikap berfoya-foya, pemabuk, kaki pukul dan kaki betina ini sangat menjijikkan? Mungkin Pairin tidak menyedari bahawa orang kepercayaan beliau ini adalah ‘musuh dalam selimut’ PBS yang sebenarnya dan bakal menghancurkan PBS-BN di Keningau.

Salam Bersatu,

GENERASI PELAPIS

9 comments:

  1. PBS really must work harder. The people are waiting.

    ReplyDelete
  2. Bikin malu ja ba. Kasi kuar tu orang dari PBS. Tiada faedah tu orang dalam parti.

    ReplyDelete
  3. Those bad apples should be eliminated so that it won't affect the party. Same goes with all the other parties.

    ReplyDelete
  4. pekara ini perlu diteliti sama ada apa yang didakwakan ini adalah benar atau tidak. jika benar, tindakan sewajarnya perlu diambil.

    ReplyDelete
  5. pemimpin yang hanya tertarik dengan daya kuasa wang dan pangkat sepatutnya tidak layak untuk diberikan tempat di dalam sesebuah parti. pilihlah calon yang benar-benar layak untuk menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat.

    ReplyDelete
  6. Sebaiknya sebagai pelapis haruslah memberikan lebih usaha untuk rakyat.

    ReplyDelete
  7. Jangan dengar di sebelah pihak saja...kita belum dengar lagi penjelasan di sebelah pihak jawatankuasa parlimen keningau..jadi tak perlu la buat apa2 assumption sekarang ni okay? Chillex brother!!

    ReplyDelete
  8. kepimpinan PBS perlu ambil perhatian akan hal ini, jgn ada ahli-ahlinya yang menjadi parasit dalam parti.

    ReplyDelete
  9. jika mahu dedahkan kebenaran, dedahkan juga identiti semua pihak yang terlibat atau dalam kata lain 'buktikan'.

    ReplyDelete