KECEWA…. John (kiri) dan Sikim mewakili suara Umno Pedalaman meminta pucuk pimpinan Umno Pusat beri penjelasan berkaitan pemecatan Azman.
Oleh: ROZIE JUMAT
AHLI-AHLI pemuda Umno di kawasan Pensiangan merasa terkilan dan memohon penjelasan serta tunjuk sebab daripada kepimpinan Pemuda Umno Pusat berkenaan dengan pemecatan seorang pemimpin pemuda yang berwibawa dan berkaliber dari pedalaman, Sabah.
Ketua Pemuda Umno Kg.Lima, Nabawan, Sikim Asanang, berkata mereka terkejut dengan berita pemecatan Ketua Pemuda Negeri Sabah, Azman Hj.Ruslan tanpa sebab yang jelas, apatah lagi Azman adalah Ketua Pemuda Umno Bahagian Keningau.
Sikim berkata, pucuk pimpinan Pemuda Pusat harus memberi penjelasan kerana pemecatan tanpa sebab itu telah memberi kekeliruan kepada ahli-ahli pemuda di pedalaman.
“Kami minta pucuk pimpinan pusat memberikan penjelasan agar dapat menjernihkan kekeliruan ini dan meredakan keadaan yang panas terutama di kawasan pedalaman,” ujar sikim.
Katanya, mereka tidak dapat menerima tindakan dan cara pemecatan itu dilakukan yang hanya diketahui melalui media massa.
“Sebagai pemimpin beliau (Azman) tidak sepatutnya dilayan dengan tindakan sedemikian kerana beliau mempunyai maruah dan beliau telah menjalankan tanggungjawabnya dengan berkesan selama ini mempimpin pemuda di pedalaman dan negeri,” ujar Sikim.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kg. Biah Skim, John Bass, berkata pergerakan pemuda Umno di pedalaman terkejut dengan pemecatan Azman sebagai Ketua Pemuda Umno Negeri tanpa sebab yang jelas.
“Beliau seorang yang bertanggungjawab selama ini memimpin pemuda Umno dan Barisan Nasional (BN) dan kami tidak melihat beliau perlu dipecat,” kata John terkilan dengan tindakan yang dilakukan Pemuda Pusat terhadap Azman.
“Kami memohon agar kami diberi tunjuk sebab atas pemecatan tersebut, kami ingin tahu sebabnya,” ujar John.
Satu program anjuran pemuda Umno yang bakal dijalankan di sebuah kawasan di pedalaman juga dikhabarkan telah ditunda atas sebab pemecatan Azman. Program itu sepatutnya dirasmikan oleh Ketua Pemuda Pusat, Khairy Jamaludin.
No comments:
Post a Comment