PERGERAKAN Pemuda Umno akan menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur bagi meminta pertimbangan supaya membebaskan enam nelayan Malaysia yang dijatuhi hukuman penjara 30 bulan atas dakwaan menceroboh perairan Indonesia pada 8 Mac lepas.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhamad Khairun Aseh berkata pihaknya akan mengemukakan surat bantahan itu dalam masa terdekat ini bagi membawa mereka pulang ke tanah air.
"Kita akan lakukan usaha sebaik mungkin supaya nelayan-nelayan ini dapat dibebaskan daripada tahanan penjara di Indonesia kerana mereka tidak bersalah dan ketika tangkapan dibuat mereka masih berada dalam perairan Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Sungai Petani.
Beliau berkata menerusi surat bantahan berkenaan juga pihaknya akan menggesa agar Indonesia lebih mengamalkan semangat serumpun secara menyeluruh di samping mempraktikkan nilai kemanusiaan yang tinggi.
"Indonesia harus semai semangat serumpun secara holistik sekaligus mengamalkan nilai kemanusiaan yang tinggi kerana nelayan-nelayan ini bukannya menyeludup barangan secara haram mahupun tenaga kerja asing ataupun melakukan aktiviti pemerdagangan manusia dan ia tidak memberi sebarang kesan pun terhadap Indonesia," katanya.
Sementara itu, Muhamad Khairun meminta pihak berkuasa di negara ini mencari langkah pencegahan dalam isu gadis Malaysia di bawah umur yang dibawa lari ke Lombok, Indonesia supaya masalah ini dapat diatasi dengan sebaik mungkin.
Muhamad Khairun berkata kebanyakan pekerja lelaki asing Indonesia tidak memandang serius akan sopan santun masyarakat Malaysia kerana melakukan kesalahan dengan membawa lari gadis bawah umur khususnya.(BERNAMA)
No comments:
Post a Comment