Saturday 14 March 2015

Salleh: Kenyataan Doris ‘jauh daripada benar’




Bagaimanapun, kerajaan Malaysia perlu menjawab dakwaan yang dilemparkan oleh Doris serta membetulkan salah tanggapan yang berlaku.


PETALING JAYA: Speaker Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan dakwaan Doris Jones berlakunya “perang” Sabah dan Sarawak untuk bebas dari Malaysia sebagai “jauh daripada benar”.

Bagaimanapun katanya, dakwaan wanita yang dipercayai berkahwin dengan lelaki British itu telah menarik perhatian sehingga menyebabkan BBC menemuramahnya untuk stesen penyiaran itu.


Sehubungan itu beliau menegaskan, kerajaan Malaysia perlu menjawab dakwaan yang dilemparkan oleh Doris serta membetulkan salah tanggapan yang berlaku, kerana aspirasi sebenar rakyat Sabah ialah beberapa autonomi dan bukannya berpisah daripada persekutuan.

“Ini jauh daripada kebenaran. Sabah dan Sarawak bukan berjuang untuk kemerdekaan. Doris menciptakan gambaran bahawa Sabah dan Sarawak “berjuang” untuk kemerdekaan,” tulisnya dalam entri terbaru di blog sskeruak.blogspot.com.

“Tidak ada konflik bersenjata di Sabah dan Sarawak atau kekacauan disebabkan rakyat Sabah dan Sarawak menuntut kemerdekaan dari Malaysia,” tambah beliau.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah mendedahkan bahawa Doris juga melakukan pembohongan kononnya berpindah ke United Kingdom kerana ditekan dan dikenakan pendakwaan kerana perjuangannya.

Sebaliknya kata beliau, wanita itu menetap di UK atas sebab perkahwinan dan kerjaya dan hanya aktif dalam politik selepas berjumpa dengan Ambiga dari BERSIH.

“Doris juga mempunyai hubungan rapat dengan Friends of Pakatan Rakyat yang berpusat di London,” ujarnya.

Salleh menegaskan gambaran dan tanggapan salah mengenai Sabah dan Sarawak ingin keluar Malaysia perlu diperbetulkan.

Bagaimanapun ujarnya, “Kita tidak boleh nafikan memang wujudnya rasa tidak senang yang boleh diselesaikan melalui dialog dengan kerajaan persekutuan di Putrajaya.” (Free Malaysia Today)

1 comment:

  1. persoalan mengenai negara atau negeri Sabah dalam blog: http://www.negara-sabah.blogspot.com

    ReplyDelete