Friday 27 March 2015

X-SMKTe vs PBS



SAMA KUAT .... Pasukan gabungan Biro Sukan PBS Induk dan Pemuda bersama Remaja Bawah 20 Tahun Tamparuli (berdiri) sementara X-SMKTe (duduk).


KOTA KINABALU: Perlawanan persahabatan di antara kelab ternama Tuaran, X-SMKTe menentang pasukan gabungan Biro Sukan Parti Bersatu Sabah (PBS) Induk dan Pemuda Bahagian Tamparuli dan Remaja Bawah 20 tahun Daerah Tamparuli baru-baru ini di Padang Pertanian, berakhir dengan keputusan memihak kepada Biro Sukan.


X-SMKTe yang turun sebagai pasukan tuan rumah tewas tipis kepada pasukan yang dibarisi pemain muda itu dengan jaringan 5-4.

Gol pertama Biro Sukan terhasil menerusi gerakan cantik Royston Fahd Ajin yang bijak menggelecek pertahanan lawan lalu menewaskan penjaga gol X-SMKTe.

Royston menyumbat gol keduanya setelah menerima hantaran lintang cantik daripada penyerang pasukan Biro Sukan, Arrend, manakala rakannya, Rayner Losiyus berjaya membuat rembatan padu dari luar kotak panelti untuk gol ketiga.


PEMAIN X-SMKTe..Awang cuba disekat Hendryson dari Biro Sukan.


Bagaimanapun, penyerang X-SMKTe, Azri Rosli berjaya menjarakkan kedudukan menerusi dua gol cantik menewaskan penjaga gol Biro Sukan, Jennysen Moidin.

Gol keempat Biro Sukan terhasil menerusi hantaran jauh Eventius, yang disudahkan Royston menerusi satu rembatan cantik di sebelah kiri gawang gol tuan rumah.

Azri sekali lagi mengejutkan pihak lawan menerusi percubaan dari jarak 20 meter menjadikan kedudukan 3-4.

Kemasukan jurulatih sebagai pemain gantian dan penampilan istimewa Biro Sukan, Selvis Gambar turut menjadi pembakar semangat para pemain muda dalam pasukan itu, di mana hanya beberapa minit beliau masuk sebagai pemain gantian, pemain tengah, Eventius Majimbun yang tidak dikawal membuat larian ‘one two’ dengan Selvis bagi melengkapkan gol kemenangan kepada pasukan Biro Sukan.

Ketangkasan penjaga gol Biro Sukan, Jennysen Moidin turut menjadi senjata utama kemenangan Biro Sukan kali ini, walaupun ditewaskan sebanyak empat kali.

Gol keempat X-SMKTe terhasil menerusi sepakan penalti yang disudahkan kapten, Fredolin Guyang setelah Azri dijatuhkan di dalam kotak penalti.



PERGELUTAN .... para pemain X-SMKTe berusaha mempertahankan gawang mereka daripada ditembusi lawan.


Pengurus X-SMKTe menyifatkan kekalahan itu sebagai pembakar semangat mereka untuk menang dalam perlawanan persahabatan seterusnya menentang SMRC Tuaran Ahad ini jam 4 petang di Padang Pertanian.

Menurut beliau, ketiadaan beberapa tonggak utama antara punca kekalahan mereka dan berharap lebih ramai pemain utama akan dapat hadir dalam perlawanan seterusnya.

Jonuen turut memuji kehebatan lawan yang terdiri daripada anak-anak muda dan remaja bawah 20 tahun di kawasan sekitar Tuaran dan Tamparuli.

“Semoga Biro Sukan PBS Bahagian Tamparuli dapat menggilap lebih ramai bakat baharu dalam sukan bola sepak sebagai pelapis pemain kita di negeri Sabah ini kelak,” katanya.



No comments:

Post a Comment