Monday, 30 March 2015

Perlukah Sabah Contohi Singapura?


Oleh: Mas Ayu


BERANI....berani mempertahankan tanah air Sabah demi dimanipulasi kuasa yang mereka anggap sebagai kuasa 'Malaya'


Pemergian mendiang Tokoh Singapura Harry Lee Kuan Yew (16 September 1923 – 23 March 2015) telah memberikan impak dan momentum kepada seluruh dunia bahawa insan ini pernah menjulang sejarah terpenting; Singapura keluar dari pembentukan Malaysia pada tahun 1965.

Tiada siapa menyangka, tindakan Harry membuat keputusan penarikan diri Singapura telah menjadikan Singapura sebagai sebuah negara gah bertaraf negara dunia pertama walaupun bersaiz kerdil tetapi dikenali di seluruh pelusuk dunia dari sudut ekonomi, pendidikan, kadar rasuah yang rendah dalam kalangan kakitangan kerajaan, kepesatan teknologi setanding Amerika Syarikat dan banyak lagi.


Harry yang merupakan lulusan Undang-undang yang juga mantan Perdana Menteri Singapura yang pertama terus dikecam oleh majoriti kaum utama di Malaysia kerana didakwa mengenepikan kaum mereka yang berada di Singapura. 

Permainan politik dan auta yang didendangkan dalam kancah politik Malaysia lebih berat menuding jari dasar perkauman terhadap golongan Cina yang didakwa sebagai Pendatang Malaysia sekalipun sejarah membuktikan kedatangan dan kronologi sejarah adalah sebaliknya.

Tanpa rakyat Sabah sedari, negeri Sabah semakin jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, jauh sekali dibandingkan dengan Singapura.

Dasar kabotaj yang tidak diambil perhatian para Pemimpin Sabah menjadikan Sabah lebih termiskin berbanding negeri-negeri lain sehingga mendesak sebahagian besar muda mudi berhijrah ke Semenanjung untuk mencari sesuap nasi dengan gaji yang agak lumayan.

Jangankan dasar kabotaj yang tidak pernah selesai, peratus penerimaan lepasan SPM dan STPM di universiti terkemuka di ibu negara amat mudah dicongak, dasar penetapan elaun-elaun kakitangan awam Sabah ke Semenanjung yang tidak selaras dan banyak lagi telah mencetuskan pelbagai ketidakpuashatian dalam kalangan anak jati Sabah sehingga timbulnya beberapa pertubuhan yang dianggap haram oleh kerajaan, Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) umpamanya.

Senario politik yang terus bergolak akibat penentangan berterusan pihak lawan memaksa kerajaan yang memerintah menggunakan isu agama demi mempertahankan survival dan kepercayaan politik dalam sanubari masyarakat Malaysia yang majoritinya berminda kelas ketiga; perlantikan beberapa ustaz kerajaan yang diarahkan menfatwakan sesuatu hukum yang tidak berapa pasti halal dan haram sehinggalah ke permainan ‘hukum hudud’.

Bagi masyarakat Islam di seluruh Malaysia adalah diyakini bahawa tiada seorang pun berani menentang hukum hudud kerana ianya adalah undang-undang Allah SWT. 

Namun, dalam senarai seramai 222 ahli Parlimen di seluruh Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang berbeza-beza, adalah mustahil untuk masyarakat Islam di Malaysia menginginkan hukum hudud terlaksana; pastinya semua tahu keadaan dan senario perjalanan sesuatu enakmen sama ada diluluskan atau tidak, apatah lagi cadangan enakmen hudud teramatlah mustahil diterima sebilangan suara majoriti.

Kerajaan yang memerintah yang diinspirasikan beberapa orang 'Mastermind' politik tahu bahawa masyarakat 'Melayu' mudah diperbodohkan dan dipermain-mainkan dengan 'bahasa agama'.

Tinggal sehari lagi, masyarakat Malaysia khasnya warga Sabah bakal menerima kedatangan tahun malang GST 2015 pada ‘April Fool’. Adakah anda bersedia dengan senarai perbelanjaan kurang dari pendapatan anda?

Apa yang pasti, mengapa anak muda Malaysia sanggup berkejar ulang alik ke Singapura-Johor untuk bekerja di sana, kenapa saja tidak bekerja di Johor? Negara kecil macam saiz tahi kambing begitu pun Dollar Singapura mengatasi Ringgit Malaysia kini bernilai RM2.70 sedangkan pada suatu masa dahulu nilai 1 Dolar Singapura bersamaan 1 Ringgit Malaysia.

Negara Brunei pula bagaimana?

Agak-agaknya, kalau Singapura masih dalam Malaysia, mampukah Singapura jauh ke tahap seperti sekarang? 

No comments:

Post a Comment