Wednesday, 18 March 2015

SMK Taman Tun Fuad perintis Kadet JPJ di negeri Sabah




Wanihim menyampaikan cenderahati kepada Shuhaili selepas menerima dokumen panduan pelaksanaan Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan.

KOTA KINABALU : SMK Taman Tun Fuad di Kota Kinabalu telah terpilih menjadi Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang pertama di negeri ini.


Keputusan ini dibuat hasil perbincangan rapi di antara pihak sekolah dan JPJ  Sabah yang  melakukan kunjungan hormat ke sekolah tersebut pada 13 Mac lepas.

Menurut Pengarah JPJ Sabah Tuan Haji Mohd Shuhaili Bin Mohd Taufek  bahawa, penubuhan kadet tersebut adalah bertujuan untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalanraya.

“Melalui Kadet JPJ ini, masyarakat khususnya pelajar akan didedahkan  kepada peraturan jalan raya dan penerapan nilai-nilai murni seperti patuh pada peraturan dan berhemah semasa berjalan di jalan raya.” Kata Shuhaili yang mengetuai JPJ dalam perbincangan serta kunjungan hormat tersebut.

Sebagai sekolah rintis, ahli-ahli Kadet JPJ SMK Taman Tun Fuad yang berjumlah seramai 35 orang pelajar ini akan dibekalkan dengan Baju T berlogo JPJ serta Kelab JPJ secara percuma oleh JPJ Sabah. 

Manakala aktiviti yang akan dijalankan adalah lawatan ke pusat pengambilan lesen kenderaan di JPJ, lawatan ke PUSPAKOM, lawatan semasa operasi JPJ, ceramah, perkhemahan dan juga pertandingan kawad, katanya lagi.

Antara yang terlibat dalam perbincangan tersebut ialah Penolong Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Kemanusiaan Mastan Gaga yang mewakili Pengarah Pendidikan negeri Sabah, Tajuddin Sadi selaku Pegawai Meja di Jabatan Pendidikan Negeri dan pengetua Sekolah Puan Hajah Wanihim Binti Othman.

Turut hadir adalah Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Sairin Bin Saidin, guru Penasihat Kadet JPJ Samson Philippinus  dan 10 orang pegawai JPJ.


No comments:

Post a Comment