Tuesday 24 March 2015

JANGAN SIA-SIAKAN KEMUDAHAN PENDIDIKAN, BUNG



TAHNIAH...Bung ketika menyampaikan anugerah cemerlang kepada salah seorang pelajar sempena majlis tersebut


SANDAKAN : Golongan pelajar dan ibu bapa digesa agar tidak mensia-siakan kemudahan pendidikan yang telah disediakan kerajaan demi masa depan generasi muda negara ini.


Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin berkata, kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dalam sektor pendidikan diberikan secara menyeluruh iaitu dari peringkat tadika sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi. 

“Kita perlu bersyukur kerana kerajaan komited menyediakan kemudahan pendidikan yang kondusif untuk dimanafaatkan oleh para pelajar  khusus untuk  melahirkan modal insan cemerlang bakal pemacu proses pembangunan Negara “katanya ketika berucap merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan pelajar-pelajar  UPSR dan SPM anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan di Dewan Borneo Cove dekat sini kelmarin.

Menurut Bung yang juga Ketua Umno bahagian Kinabatangan, sistem pendidikan negara ini merupakan antara yang terbaik sehingga ramai pelajar dari luar negara memilih untuk menuntut ilmu di negara ini.

Sehubungan dengan itu, Bung meminta para pelajar khususnya dari kawasan Parlimen Kinabatangan agar menginsafi peranan serta tanggungjawab mereka sebagai  pelajar  dan modal insan yang amat berharga kepada agama,keluarga bangsa dan negara.  

Jelas Bung lagi, para pelajar perlu mengembangkan dan menguasai pelbagai ilmu pengetahuan, kebolehan berkomunikasi, terutamanya dalam bahasa Melayu dan Inggeris selain digalakkan menguasai mata pelajaran yang menjadi teras utama iaitu matematik dan sains.  

"Namun diingatkan bahawa penguasaan ilmu dan ketrampilan sahaja tidak memadai seandainya faktor seperti nilai murni tidak diamalkan.

"Oleh itu, para pelajar wajar menghayati nilai agama dan moral kerana inilah yang akan memberi petunjuk dan pedoman dalam menempuh kehidupan penuh cabaran," katanya.

Selain itu kata Bung, pelajar juga perlu mendisplin diri, berusaha mengulangkaji pelajaran semasa berada di rumah tanpa bergantung sepenuhnya kepada pembelajaran semasa berada di dalam kelas selain sokongan berterusan dari ibubapa. 


“Kemajuan teknologi maklumat masa kini berkembang maju, pelbagai maklumat tambahan boleh diperolehi untuk meningkatkan pengetuhahan, janganlah jadikan kemudahan enternit untuk melayari bahan bahan yang boleh menjejaskan tumpuan kepada pembelajaran” katanya.

No comments:

Post a Comment