Friday 13 March 2015

FOKUS DAN BERDISPLIN UNTUK CAPAI KEJAYAAN, MOHD FADZLEE



CAPAI KEJAYAAN.. Mohd Fadzlee (tengah) bersama Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Fadzliezan Tingan dan  Pengetua SMK Menumbok Mohd Ali Yassin dan para pelajar yang menerima sijil Gradusi mereka di majlis tersebut



BEAUFORT: Golongan pelajar khususnya di daerah ini di minta agar lebih fokus semasa belajar dan tidak mengharapkan sumber daripada guru semata-mata sebaliknya perlu mempelbagaikan sumber rujukan untuk memantapkan kefahaman mereka dalam setiap mata pelajaran yang diambil.


Timbalan Ketua Umno bahagian Beaufort Haji Mohd Fadzlee Abdullah berkata, kebanyakan pelajar yang mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik disebabkan mereka berjaya mendisplin diri semasa belajar selain rajin mengulang kaji di rumah dan memanfaatkan kemudahan alam syber untuk memperolehi rujukan tambahan.

“Kemajuan teknologi maklumat yang pesat berkembang maju ketika ini seharusnya digunakan oleh pelajar untuk mendapatkan maklumat atau rujukan tambahan untuk pembelajaran mereka, bagaimanapun segelintirnya menyalahgunakan kemudahan tersebut untuk keseronokan seperti melayari Halaman Sosial, Blog–blog hiburan yang melalaikan sehingga menjejaskan tumpuan mereka kepada pelajaran” katanya ketika berucap  merasmikan Majlis Hari Graduasi STPM 2014 bagi pelajar SMK Menumbok di Hotel River Park Beaufort kemarin.

Hadir sama di majlis tersebut, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Fadzliezan Tingan dan  Pengetua SMK Menumbok Mohd Ali Yassin.

Seramai  11  pelajar dari SMK Menumbok yang menduduki  Pra U STPM  tahun lepas  (2014) di raikan di majlis Gradusi tersebut.

Mohd Fadzlee turut melahirkan rasa bangga  dan mengucapkan tahniah kepada para pelajar serta guru-guru di SMK Menumbok kerana mencapai keputusan cemerlang pada peperiksaan STPM tahun lepas; SMK Menumbok mencapai keputusan 100%  dengan gred purata 2.58  dan menduduki tempat ke 33 daripada 55 buah sekolah di Sabah yang mencapai kejayaan seratus peratus.

Daripada jumlah tersebut dua orang pelajar SMK Menumbok memperolehi gred 3.17 iaitu Siti Alilah Durahman dan Dk Arline Jumat.

Menurut Mohd Fadzlee, keputusan tersebut membuktikan pelajar luar bandar juga mampu bersaing dengan pelajar di kawasan bandar jika mereka fokus dan bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam pembelajaran.

Sambil berharap memontum kejayaan tersebut dipertahankan  dan dipertingkatkan pada masa akan datang, Mohd Fadzlee turut menggesa semua pihak guru-guru, ibubapa dan pelajar perlu berkerjasama untuk sama-sama memperkasakan mutu dan pencapaian akademik pelajar di sekolah tersebut.

“Tidak ada sebab pelajar di kawasan pedalaman tercicir daripada arus pembangunan pendidikan kerana semua kemudahan disediakan oleh kerajaan,” Jelas Mohd Fadzlee.

Sehubungan itu, beliau mencabar pelajar terbabit agar memberikan perhatian khusus dan tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan yang bakal mereka hadapi selain memperoleh keputusan cemerlang.


“Ubah persepsi, jangan rasa rendah diri, yakin kepada kemampuan untuk mencapai keputusan yang cemerlang pada peperiksaan kali ini,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment