Thursday, 26 March 2015

Tuntutan untuk menubuhkan Pusat Onkologi dan kemudahan Radioterapi di Hospital Sandakan - MP Sandakan



Oleh: Hafiz Zainuddin


GAMBAR HIASAN....Sabah kekurangan Pusat Rawatan Radioterapi dan Onkologi sekalipun penyumbang pesakit yang ramai antaranya di Malaysia


Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit kanser di Malaysia mencatatkan peningkatan dari 32,000 pada tahun 2008 kepada 37,400 kes pada 2012. Peningkatan ini menunjukkan ia mungkin menjadi suatu perkara yang serius kepada negara jika tiada langkah wajar yang wajar untuk mengawal atau menghentikannya. 


Justeru, adalah penting untuk meluaskan lagi perkhidmatan kemudahan radioterapi dan penyediaan pusat onkologi di seluruh negara kepada pesakit dan rakyat umumnya.

Saya telah mengemukakan pertanyaaan berkaitan mesin radioterapi dan kemudahan berkaitan yang mana begitu mustahak bagi Hospital Sandakan pagi ini di Parlimen. Menurut jawapan yang diberikan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Hilmi Yahya, terdapat sekitar 4,000 dari 37,400 penderita kanser di Malaysia adalah pesakit dari Sabah dan tempoh menunggu bagi mendapatkan rawatan pula antara 3 hingga 8 minggu. 

Buat masa ini, semua perkhidmatan rawatan radioterapi dan nuklear hanya tertumpu di Hospital Kota Kinabalu iaitu Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Pakar Likas.

Saya begitu prihatin dan memandang serius terhadap perkara ini kerana kerajaan tidak merancang untuk menubuhkan pusat khidmat rawatan radioterapi dan onkologi di Sandakan. Menurut Dr. Hilmi yang merujuk bilangan pesakit di Sabah, perkara ini “tidak serius”.  

Jadi, semua kemudahan rawatan berkaitan ditempatkan di Kota Kinabalu sahaja. Tiada sebarang perkhidmatan berkaitan di kawasan saya di Sandakan. Saya berpendapat, pihak kementerian perlu menubuhkan sebuah pusat onkologi di Sandakan dan memberi khidmat kepada seluruh pantai timur Sabah.

Mungkin pihak kerajaan sendiri tidak tahu kesukaran yang dihadapi pesakit kanser yang terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan rawatan di Kota Kinabalu, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman Sabah; terpaksa menunggu beberapa minggu untuk mendapatkan rawatan, tambah menyedihkan, mereka adalah pesakit yang datang dari kawasan luar bandar yang biasanya dibelenggu kemiskinan, kekurangan pengangkutan awam dan tiada penginapan di Kota Kinabalu.

Saya tidak boleh menerima alasan yang diberikan timbalan menteri yang berkata buat masa ini pihak kerajaan tiada sebarang rancangan untuk menubuhkan pusat onkologi dengan meletakkan alasan bahawa ianya akan melibatkan sejumlah RM30 juta bagi menyediakan kemudahan-kemudahan tersebut. 

Selain dua mesin radioterapi di Kota Kinabalu, saya rasa bahagian pantai timur Sabah memerlukan sekurang-kurangnya satu lagi mesin tersebut memandangkan Sabah merupakan negeri yang terbesar di Malaysia. Ia bukan semata-mata pendapat saya seorang, Menteri Pembangunan Komuniti dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab juga berkongsi pendapat yang hampir serupa bahawa Sabah memerlukan sekurang-kurangnya sembilan buah mesin radioterapi jika dinisbahkan sebuah mesin bagi populasi 300,000 penduduk.

Bagaimana pun, saya berasa kesal dengan jawapan dari kementerian yang turut mengecewakan rakyat Sabah terutamanya di bahagian pantai timur negeri ini. 


Kemudahan untuk menikmati kemudahan mendapatkan rawatan adalah hak yang sepatutnya dinikmati oleh setiap warga. Ia meliputi isu keadilan dan maruah rakyat Sabah. Kerajaan tidak boleh bersikap berat sebelah dan prejudis antara bahagian Timur dan Barat Sabah, begitu juga dengan kawasan pedalaman dan kawasan bandar.

No comments:

Post a Comment