Monday 13 September 2010

BAHASA SARAN KERAJAAN NEGERI TUBUH LBBS



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PENGERUSI Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) Cawangan Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih menyokong penuh gesaan dan memorandum dari BAHASA Pusat kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk menubuhkan sebuah badan linguistik dan kesusasteraan yang dikenali sebagai Lembaga Bahasa dan Budaya Sabah (LBBS) untuk menyemarak, menjaga serta menyusun atur kegiatan sastera, linguistik dan kebudayaan di negeri ini.

Gesaan dan pandangan terkandung dalam memorandum BAHASA yang dinyatakan oleh Ketua BAHASA Sabah, Jasni Matlani yang dihantar kepada kerajaan negeri melalui Kementerian Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah membuktikan, bahawa pengwujudan sebuah lembaga amat diperlukan bagi menentukan tanggungjawab menjaga kepentingan dan pembangunan bidang linguistik dan kesusteraan tempatan, terutama dalam membantu memulihara pelbagai bahasa etnik yang terdapat di negeri ini dapat dijayakan.

Kata Ghulabdin, gesaan itu yang disokong oleh tiga badan penulis lain seperti Ikatan Penulis Sabah (IPS), Rumpun Seni Tawau (RUSTA) dan Kumpulan Warna Wari Seni Sandakan (WARISAN) yang masing-masing berpejabat di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan, merasakan selama ini perkembangan dan pemantauan seni sastera dan budaya di negeri ini berada pada tahap yang begitu perlahan.

Jasni dalam kenyataannya yang disiarkan dalam beberapa buah akhbar tempatan di Sabah berkata, negeri ini amat memerlukan sebuah badan khas yang bertanggungjawab menjaga kepentingan dan pembangunan badan Linguistik dan kesusteraan tempatan, terutama dalam membantu memulihara pelbagai bahasa etnik yang telah wujud di negeri berkenaan.

"Dengan wujudnya agensi atau Lembaga Bahasa dan Budaya Sabah (LBBS), penyelidikan dan kerja-kerja pendokumentasian yang teratur boleh dilakukan untuk memantap dan memulihara bahasa etnik di Sabah, khususnya loghat tempatan yang diancam kepupusan.

"Dalam memorandum kami kepada kerajaan, kami juga mencadangkan agar sebuah badan yang diterajui seorang Pengarah ditubuhkan dan diletakkan di bawah Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar," kata Jasni yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Sejajar dengan Pandangan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Zubaidi Abas yang memberitahu Bernama baru-baru ini bahawa kebimbangan tentang kepupusan loghat etnik di Sabah memang berasas. Ghulabdin merasakan badan yang ditubuhkan itu boleh berkerjasama dengan DBP bagi menentukan pengwujudannya menepati kehendak yang sebenar.

Ghulabdin yang menyatakan sokongan kuatnya, sekaligus menaruh harapan yang tinggi agar kerajaan negeri memberikan perhatian wajar terhadap gesaan ini yan akan menetukan pelbagai galakan kepada pengiat sastera dan budaya dapat dilakukan tanpa menyerahkannya sebagai sisipan kegiatan kementerian-kementerian negeri yang mempunyai tanggungjawab berlainan.

No comments:

Post a Comment