Sunday 19 September 2010

KONSEP KUASA AUTONOMI NEGARA BERSEKUTU


PERDANA.... Musa Aman sepatutnya menjadi Perdana Menteri Sabah!

Oleh : NASPAZI

SEMENJAK North Borneo (Sabah) merdeka di awal 60-an hingga awal 80-an tidak syak lagi, bahawa Sabah adalah sebuah wilayah yang gemilang; sebagai negeri yang terkaya antara tiga buah wilayah yang bergabung (Malaya, Sabah dan Sarawak) membentuk Negara Malaysia.

Namun, selepas Sabah bertahun-tahun dipimpin atau diurus tadbir oleh kerajaan IC projek Melayu UMNO baru melalui proksinya, tiba-tiba sahaja mereka mewar-warkan Sabah sebagai negeri yang termiskin dalam Gagasan Malaysia.

Kalau begitu, siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab menjadikan Sabah miskin? Adakah kerana ketololan warga tulen Sabah sendiri berpolitik dan mengurus tadbir negeri, ataukah kerana kedurjanaan dasar politik IC projek melayu UMNO baru dan proksinya?

Dalam soal yang berhubung dengan kemiskinan Sabah yang mereka war-warkan kini juga, siapakah sebenarnya yang begitu bebal mengurus tadbir Sabah sehingga menjadi negeri yang termiskin yang pada mulanya adalah kaya raya? Namun begitu, mungkin gerombolan sarjana agung dalam berbohong sudah ada jawapan aneh yang meloyakan!

Kini Pakatan Rakyat berjanji untuk menunaikan Perkara 20 yang menjadi teras kuasa autonomi rakyat Sabah dalam membentuk polisi negeri atau hal ehwal Sabah akan ditentukan oleh Sabah sendiri dalam konteks orientasi pimpinan; apa yang dinamakan sebagai Pimpinan Pusat Malaysia dengan Pimpinan Sabah dan Sarawak, yang telah bersetuju untuk bergabung dengan Malaya menjadi Negara Malaysia pada 16 September 1963 dan selepas 47 tahun bergabung, barulah sekarang pimpinan Melayu UMNO menyedari kepentingan tarikh 16 September, sebagai tarikh penggabungan tiga buah wilayah menjadi sebuah Negara. Negara Malaysia.

Malaysia telah ditubuhkan atas nama empat buah negara pada mulanya iaitu, Malaya (Tanah Melayu), Sabah (North Borneo), Sarawak dan Singapura. Namun atas sebab-sebab tertentu pada pertimbangan dan rasional Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sendiri sahaja yang tahu kerana ketika itu beliau berada di London pada tahun 1965.

Ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bercuti selama 53 hari bagi mendapatkan rawatan di London, beliau telah mengeluarkan Singapura dari gabungan Malaysia. Justeru, selepas Singapura dikeluarkan dari Malaysia, maka sah Malaysia hanya tinggal tiga buah negara sahaja lagi iaitu Malaya, Sabah dan Sarawak.

Justeru adalah jelas, bahawa Malaysia dibentuk bukan atas nama tiga belas buah negeri. Mengapa kini Malaysia tiba-tiba menjadi 13 buah negeri? Sebab itu saya katakan, bahawa status atau standard Sabah dan Sarawak dalam gabungan Malaysia telah diturunkan hanya kepada standard negeri, sedangkan Malaya tidak. Bahkan, mereka menganggap seolah-olah Malaysia itu Malaya dan Malaya itu Malaysia!

Sewajarnya, apabila tiga buah negara atau wilayah ini bergabung atas nama Malaysia, dan status Sabah dan Sarawak diturunkan kepada standard negeri, sepatutnya Malaya atau Tanah Melayu juga harus diturunkan statusnya kepada negeri, atas nama negeri Malaya atau negeri Tanah Melayu kerana Malaysia bukan dibentuk atas nama 13 buah negeri.

Mengapa saya mengatakan, bahawa Sabah dan Sarawak tidak sewajarnya dijatuhkan standardnya kepada sebuah negeri, laksana pecahan negeri-negeri yang membentuk Malaya atau Tanah Melayu?

Pada paradigma saya, kedudukan Sabah dan Sarawak adalah setaraf dengan Malaya atau Tanah Melayu dalam konteks dan konsep penubuhan Malaysia. Bahkan, betapa konsep Malaysia tidak jauh bezanya dengan konsep Great Britain.

Great Britain menggabungkan beberapa buah negara dan wilayah yang saling berasingan dan berjauhan, antaranya seperti Australia, Canada, England dan New Zealand yang menjadikan wilayah Great Britain merupakan yang terbesar sekali di muka bumi ketika ini.
Great Britain dari sudut hubungan antarabangsa, hubungan negara-negara atau wilayah-wilayah ini disahkan sebagai Confederation (Persekutuan) dan Ratu Elizabeth II sebagai Ketua Negara. Bagaimanapun, tugas Ratu Elizabeth II di Australia, Canada dan New Zealand berbeza dengan tugas Baginda Ratu di Britain.

Tugas Ratu Elizabeth II di Australia, Canada dan New Zealand diwakili oleh seorang Governor General. Maksudnya, seorang Governor General bagi Australia, seorang Governor General bagi Canada dan seorang Governor General bagi New Zealand yang menjalankan tugas bagi pihak Ratu Elizabeth II di ketiga-tiga negara atau wilayah tersebut.

Dengan kata lain, fungsi Governor General bagi Australia, Canada dan New Zealand ada persamaan dengan tugas dan fungsi Yang di-Pertua Negeri bagi Sabah dan Sarawak.

Kembali kepada Malaysia. Penubuhan Malaysia sebenarnya diterima dengan tanggapan yang kurang selesa oleh pimpinan tempatan Sabah dan Sarawak. Namun, memandangkan bahawa pembentukan Malaysia lebih kepada kehendak bersungguh-sungguh Great Britain dan Amerika Syarikat atas pertimbangan politik rantau Asia Tenggara yang sedang mengalami krisis pertembungan ideologi antara ‘Kapitalis dengan Komunis’, maka Sabah dan Sarawak akhirnya bersetuju bergabung dengan Malaya atau Tanah Melayu bagi menjayakan penubuhan Malaysia.

Persoalannya adalah, ada atau tidak kelainan atau tiada kesamaan Malaysia dengan Great Britain? Harus diingat bahawa, Malaya itu bukan Malaysia dan demikian juga Malaysia bukan Malaya! Malaya itu ialah Tanah Melayu, manakala Malaysia pula ialah gabungan antara tiga negara atau tiga wilayah (Malaya, Sabah dan Sarawak) menjadi satu negara, Negara Malaysia.

Justeru, jika mengambil kira struktur dan polisi pentadbiran Persekutuan Great Britain, saya menanggapinya sebagai wujud persamaan dan kelainan struktur puncak bernegara antara Persekutuan Malaysia dengan Persekutuan Great Britain.

Mari kita tinjau persamaan dan kelainan sistem pemerintahan puncak bernegara Persekutuan Malaysia dengan sistem pemerintahan puncak bernegara Persekutuan Great Britain.

Sebagai contoh ketua negara, Ketua Negara bagi Persekutuan Great Britain ialah Ratu Elizabeth II. Sementara Ketua Negara bagi Persekutuan Malaysia ialah, Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Demikian juga dengan Governor General bagi Australia, Canada dan New Zealand ada persamaan dengan Yang di-Pertua Negari bagi Sabah dan Sarawak.

Namun begitu, apabila menyentuh dan sampai kepada soal struktur kementerian dan fungsinya, termasuklah dalam soal hal ehwal hubungan antarabangsa, antara Sabah dan Sarawak dengan Australia, Canada dan New Zealand dalam konteks bernegara persekutuan, antara Persekutuan Great Britain dengan Persekutuan Malaysia sungguh jauh berbeza.

Dalam hal ini, contoh yang paling mudah dan ketara ialah dalam sistem Ketua Pemerintahan. Adalah jelas bahawa, Ketua Pemerintahan bagi Australia, Canada, England dan New Zealand dalam konteks dan semangat Persekutuan Great Britain, masing-masing digelar Perdana Menteri.

Sedangkan ketua pemerintahan bagi Sabah dan Sarawak dalam konteks sistem persekutuan yang serupa, tegasnya dalam konteks sistem dan semangat Persekutuan Malaysia hanya bergelar Ketua Menteri dan bukannya Perdana Menteri.

Oleh itu saya kata, antara Persekutuan Great Britain dengan Persekutuan Malaysia, sekali pun ada sedikit persamaan, namun perbezaan yang wujud amat ketara, walaupun kedua-dua negara ini mendakwa sebagai Negara Bersekutu.

Justeru, yang mana satu sistem dan kaedah bermasyarakat dan bernegara antara Persekutuan Great Britain dengan Persekutuan Malaysia yang lebih menepati kehendak dan Sistem Persekutuan Tulen?

Menyentuh sedikit soal kedurjanaan IC projek Melayu UMNO di Sabah, yang dianggap sebagai projek pintar Mahathir Mohammad. Jika IC projek atau projek untuk memberikan Kad Pengenalan kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), dianggap sebagai suatu langkah bijak dan pintar yang perlu diteruskan dan diperluaskan ke seluruh negara, Negara Malaysia, dari segi jangka panjang beberapa kemungkinan akan timbul yang menjurus ke arah kehancuran total seluruh warga tulen Malaysia.

Sedia maklum bahawa, Malaysia dikepung oleh lapan negara atau lapan wilayah yang penduduknya begitu ramai di dunia dan kehadiran warga mereka ke negara ini, selama ini pun memang bukan suatu yang asing atau perkara baru.

Menurut IDB (International Data Base), jumlah penduduk lapan negara yang saya maksudkan ialah: China 1,330,141,295 orang; India 1,173,108,018 orang; Indonesia 242,968,342 orang; Pakistan 184,404,791 orang; Bangladesh 156,118,464 orang; Filipina 99,900,177 orang; Vietnam 89,571,130 orang dan Thailand 67,089,500 orang.

Oleh itu, jika angka-angka tersebut di atas dijumlah, maka bilangannya ialah 3,343,301,717 orang. Lantarannya, apa yang akan berlaku, sekiranya hanya satu peratus (1%) sekalipun dari jumlah mereka yang menjadi PATI di negara ini dan diberi IC projek oleh Melayu UMNO, nescaya jumlahnya ialah 33,433,017 orang, sedangkan penduduk Malaysia sekarang hanyalah 28,274,729 orang.

Saya bukan mendendangkan lagu perkauman, namun mengambil kira prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini, jika seluruh PATI yang diberi IC projek oleh Melayu UMNO tersebut bersatu dalam satu wadah politik, kemungkinan besar, parti Melayu UMNO sendiri akan dicampak ke lembah neraka kekalahan.

Justeru itu, Malaysia akan diperintah oleh PATI yang diberikan IC projek oleh Melayu UMNO sendiri akhirnya (Kini sudah ada satu Adun Sabah)!

Kemuncak akibat ketololan IC projek Melayu UMNO juga tidak lain, dari sejarah akan mentertawakan kebebalan politik masa kini dan semua dasar yang dilaung-laungkan oleh Melayu UMNO sebagai agung, mulia dan penting akan diheret semuanya ke dalam longkang kehinaan.

Dengan ungkapan lain, IC projek Melayu UMNO adalah instrumen ke arah kejatuhan, kekalahan dan kehancuran secara sistematik warga tulen Sabah, hatta warga tulen Malaysia. Yang demikian, siapa sebenarnya yang sedang melakar kecemaran sejarah Malaysia?

Lantaran itu, menyedari kerlipan terakhir naluri kebangsaan ke arah pemeliharaan warga tulen Sabah dalam menghadapi ganjaran hukuman kehancuran abadi, maka satu organisme kebangsaan untuk Sabah wajib diwujudkan. Organisme kebangsaan yang saya maksudkan ialah, satu wadah baru bagi menyatukan seluruh cendekiawan terbaik warga tulen Sabah.

Cendekiawan terbaik warga tulen Sabah maksudnya, mereka yang mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan cendekiawan antarabangsa. Dalam tujuan ini, seluruh parti-parti nyamuk di Sabah hendaklah dibubarkan dan pemimpin terbaiknya bergabung dengan tulus dalam wadah yang serba baru sebagai negarawan cemerlang. Negarawan cemerlang yang berupaya mengemudi warga tulen Sabah menjadi kaya, moden dan kuat, tegasnya bertamadun!

No comments:

Post a Comment