Thursday, 23 September 2010

RUMAH TERBUKA RAYA KOSAN MERIAH




JAMUAN......sebahagian tetamu yang terdiri dari kakitangan KOSAN sedang menikmati jamuan hari raya.

Oleh : KREW SABAHKINI.NET

Meskipun Hari Raya Aidilfitri semakin di penghujungnya, namun Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran kakitangan Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) di Kilang Pakaian KOSAN Tuaran; yang dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah KOSAN (ALK), Kakitangan dan para pekerja koperasi tersebut telah berlangsung secara sederhana tetapi dalam suasana yang amat meriah.

Timbalan Pengerusi KOSAN, Haji Ghulabdin Enjih semasa memberikan ucapannya di majlis itu menyatakan, dengan adanya penganjuran rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri itu telah dapat melibatkan keseluruhan kakitangan KOSAN dari pelbagai kaum untuk memeriahkan serta akan menjadikan ia sebagai satu amalan bersesuaian dengan konsep 1 Malaysia yang ditelah diperkenalkan di negara ini.

Haji Ghulabdin selanjutnya menegaskan, rumah terbuka anjuran KOSAN jika dilihat dari segi sambutan dan penyertaan kakitangannya dari pelbagai bahagian dapat membuktikan bahawa mereka adalah merupakan sebahagian daripada penduduk negeri Sabah yang sentiasa menjunjung cara hidup harmoni dan makmur.

"Saya yakin dengan adanya sambutan perayaan berbentuk rumah terbuka ini akan membawa banyak manfaat yang bukan sekadar kepada masyarakat beragama Islam sahaja, malah ia juga melibatkan masyarakat atau pekerja dari kalangan bukan Islam. Bertepatan dengan hari yang mulia ini akan dapat memberikan peluang kepada kita untuk menzahirkan permohonan maaf di antara satu sama lain," kata Haji Ghulabdin.

Beliau selanjutnya menghargai kerjasama yang begitu erat di antara Lembaga Perngarah, Pengurusan, Kakitangan dan pekerja KOSAN yang telah terbukti apabila KOSAN Tuaran telah mencatatkan keuntungan yang berterusan sejak dahulu sehingga sekarang.

"Saya percaya sekiranya pencapaian KOSAN dapat ditingkatkan pada masa hadapan, pembahagian keuntungan yang dinantikan oleh ahli-ahli KOSAN keseluruhannya akan dapat diageh-agehkan. Sehubungan dengan harapan ini saya mewakili Lembaga Pengarah KOSAN mengharapkan agar kerja keras ke arah kebaikan KOSAN akan dapat ditingkatkan pada tahap yang lebih baik lagi," kata Haji Ghulabdin lagi.

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kilang Pakaian KOSAN Tuaran pada tahun ini bertambah meriah apabila beberapa kakitangan yang telah lama memberikan perkhidmatan mereka di kilang itu telah menerima hadiah kecemerlangan berbentuk sijil dan wang tunai yang telah disampaikan sendiri oleh Ghulabdin dan Pengurus Besar KOSAN, Haji Junian Haji Yunus; Setiausaha KOSAN, Golubi Guntarik serta Ahli Lembaga Pengarah KOSAN, Datuk Baisul Khan Salman Farish.

Turut hadir Pengurus Besar KOSAN, Haji Junian Haji Yunus; Pengurus Kilang KOSAN Tuaran, Joannes Saliun; Pengurus Kilang KOSAN Papar, Haji Wan Shah Abdul Rahman; Setiausaha KOSAN, Golubi Guntarik dan Ahli Lembaga Pengarah KOSAN (ALK) terdiri dari Haji Abdul Razak Awang Duraman, Datuk Baisul Khan Salman Farish, Hassan Mansoor, Gabriel Lohuban, Sylvester Golou Asai, Marsilius Tiwol dan Rubun Guribah.

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya itu bertambah meriah apabila diserikan dengan sumbangan lagu-lagu hiburan yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi KOSAN sendiri Haji Ghulabdin, Haji Junian, Joannes, Golubi,Justin GanaiHaji Abdul Razak Duraman, Maria Salleh, Haji Adis Enjih, Marsah Muyong dan Dayang Katizah serta ramai lagi kakitangan KOSAN.

Sementara itu Pengurus Kilang KOSAN Papar, Haji Wan Shah Abdul Rahman menjemput semua Ahli KOSAN, kakitangan dan pekerjanya agar menghadiri satu lagi Majlis Rumah Terbuka peringkat Kilang KOSAN Papar yang akan diadakan pada 28 September ini bermula Jam 11 pagi.

No comments:

Post a Comment