Monday 27 September 2010

'JEBAT POLIS’ PENDERHAKA NEGARA?



Saudara Pengarang,

ARTIKEL yang ditulis oleh ‘JEBAT’ menunjukkan beliau terlalu ego dan tidak mengendahkan pandangan orang lain. Saya tertanya-tanya adakah Jebat merupakan salah seorang polis yang pernah disiarkan salah lakunya di laman ini?

Saya pula pernah menulis artikel tentang salah laku suami saya yang merupakan seorang pegawai polis yang bertajuk “Pegawai Polis Tenom Tidak Berakhlak?”

Jika saya mendapat kerjasama yang baik dari semua pihak yang berkaitan, saya tidak akan mendedahkan masalah rumahtangga saya di media masa. Tetapi disebabkan ketidakpuasan hati dengan pelbagai alasan yang melambatkan siasatan kes pukul dan kahwin tanpa kebenaran isteri, maka saya menulis artikel tersebut.

Baru-baru ini, saya ada terfikir hendak menarik balik laporan polis yang telah dibuat kerana tidak percaya ketelusan penyiasatan yang dilakukan. Apabila berjumpa dengan pegawai polis yang menguruskan kes pukul tersebut, saya terkejut besar dengan satu kenyataan beliau.

Beliau mengatakan kes saya ini adalah pergaduhan biasa dalam rumahtangga. Saya tidak faham apa yang beliau maksudkan ‘pergaduhan biasa’ kerana suami saya memukul saya dan ada laporan perubatan dari hospital kerajaan yang membuktikan yang saya telah dipukul.

Mungkinkah beliau biasa memukul isteri beliau, sehingga mengeluarkan kenyataan tersebut? Saya faham dalam Islam ada beberapa keadaan yang membolehkan suami memukul isteri untuk memberi pengajaran kepada isteri.

Adakah tindakan saya menegur suami saya yang hanya akan balik ke rumah pukul 4 atau 5 pagi kerana bersukaria di pub, menegur perbuatannya yang minum-minuman keras dan meminta penjelasan tentang perempuan yang dia akui ada hubungan, membolehkan dia memukul saya?

Saya telah berjumpa dengan banyak pihak untuk memohon bantuan menyelesaikan masalah rumahtangga saya ini seperti pegawai atasan di tempat suami saya bekerja, namun reaksi yang sama saya terima iaitu masalah kami adalah masalah biasa dalam rumahtangga.

Malah pegawai polis yang menguruskan kes tatatertib suami saya, isterinya yang sekarang adalah isteri kedua dan bertugas sebagai pegawai polis juga. Saya tidak pasti beliau sudah bercerai dengan isteri pertama atau tidak, apa yang penting adalah jika beliau sudah melakukan perkara yang sama (berkahwin buat kali kedua), tentu beliau mempunyai kecenderungan untuk berat sebelah dalam penyiasatan yang dilakukannya.

Adakah polis menyokong tindakan anggota dan pegawai mereka yang berfoya-foya seperti bersukaria di pub, minum minuman keras, menyimpan perempuan di luar, sehingga sanggup menceraikan isteri dan meninggalkan anak-anak yang masih kecil? Polis beginikah yang boleh kita harapkan menjaga keselamatan kita dan keamanan di tempat kita?

Salam laknat dan celaka buat Jebat,

ISTERI POLIS YANG TERSIKSA

No comments:

Post a Comment