Wednesday, 22 September 2010

MAAF MPS, KAMI BUKAN IKAN!




BAHAYA…..Suriati menunjukan soket elektrik dan suis utama yang turut dibasahi air.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

KEBOCORAN batang paip besar (main pipe) yang sekian lama tidak diperbaiki oleh pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengakibatkan ruang tamu sehingga ke ruang bilik tidur digenangi limpahan air paip.

“Maaf, kami bukan ikan yang memerlukan air berlebihan untuk hidup,” ujar seorang penduduk yang menyewa di Lot 5B, Blok 24, Taman Mesra, Sandakan.

Suriati Mohd Yusof, 31, yang mempunyai dua anak dan suaminya bertugas sebagai anggota polis Marin mengadu kepada Sabahkini.net mengenai masalah kebocoran paip tersebut yang menghubungkan tangki air yang diletakkan di atas bumbung rumah dengan paip di dalam dinding rumah milik MPS.

Katanya kebocoran seumpama itu pernah belaku pada 2007 dan telahpun dibaiki, namun kebocoran tersebut berulang lagi pada 2008 sehinggalah kini dan tidak pernah dibaik pulih.

“Sudah beratus-ratus kali mengadu dan pergi ke MPS berjumpa sendiri dengan pegawai terbabit, tapi hanya janji saja diberikan dan tiada sebarang tindakan diambil, sehinggalah kebocoran semakin parah,” ujar Suriati dengan nada kesal kerana terpaksa hidup dalam keadaan tidak selesa akibat limpahan air berkenaan.

Tegas Suriati, pada mulanya beliau tidak bermaksud untuk mendedahkan perkara ini ke laman web sensasi seperti Sabahkini.net, namun beliau tidak mempunyai pilihan kerana sudah penat berurusan dengan MPS dan tiada satupun tindakan yang diambil.

BASAH….”Lantaipun basah, banjir sepanjang masa?”

“Saya yakin Sabahkini.net sahaja yang boleh mendedahkan kelemahan-kelemahan pentarbiran MPS yang tidak memperdulikan masalah rakyat dan sekaligus menghina Perdana Menteri yang baru sahaja melancarkan Program Juara Rakyat dan menyambut Ulang Tahun hari Malaysia di Sandakan,” kata Suriati yang kesal jika pihaknya terpaksa menderita sedangkan pegawai MPS boleh tidur lena.

Kata Suriati, beliau sudah menemui beberapa wartawan untuk meminta masalah ini disiarkan di akhbar mereka, tetapi semuanya takut dibelasah oleh pihak berkenaan.

“Saya tabik dengan wartawan Sabahkini.net dan editornya atas keberanian menyiarkan mengenai hal-hal kesusahan dan penderitaan serta keperitan rakyat. Walaupun saya dengar wartawannya sering menerima pelbagai ugutan demi ugutan, termasuk ugutan bunuh oleh beberapa orang yang Anti-Sabahkini.net, namun mereka tigak gentar,” keluh Suriati yang mengkagumi peranan yang dimainkan Sabahkini.net dan semua krew yang cekal menjalankan tugas mereka demi kepentingan rakyat jelata.

Sehubungan itu, Suriati memohon jasa baik MPS agar segera mengambil tindakan drastik memperbaiki kebocoran tersebut yang kini benar-benar mendatangkan masalah besar kepada beliau sekeluarga.

“Bagaimana kalau terjadi litar pintas dan rumah terbakar?,” tanya Suriati yang meminta belas ehsan Ketua Menteri Sabah agar campurtangan kerana kecuaian kakitangan MPS menyebabkan pihaknya terpaksa mendedahkan keburukan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang kononnya sebagai ‘Juara Rakyat’.

No comments:

Post a Comment