SANGKUT…Kenderaan kecil sukar melalui jalanraya tersebut kerana pasti tersangkut ke dalam lubang.
Oleh: YEAP JIK JIAN
SYARIKAT Pembinaan Kekal Mewah Sendirian Berhad sebuah konsesi bersais gergasi kerajaan yang bertanggung jawab dari segi penyelenggaraan jalanraya yang berpengkalan di Tenom memberitahu bahawa pihaknya belum mendapat kepastian status bidang kuasa siapa harus menyelenggara jalanraya pintas yang menghubungkan antara Taman Bahagia ke Kg Ulu Ulloi, sejauh kira-kira satu kilometer.
Keadaan ini berlaku kerana jalanraya tersebut belum tersenarai sebagai sebahagian daripada tanggung jawab syarikat itu untuk melaksanakan sebarang kerja-kerja penyelenggaraan.
Demikian dinyatakan Juruteknik syarikat terbabit, Sameon Endim yang memberitahu Sabahkini.net ketika dihubungi pada Jumaat.
Bagaimanapun tegas Endim, beliau akan mengajukan perkara tersebut kepada pihak atasannya untuk perhatian dan untuk tindakan seterusnya.
“Walaupun pada dasarnya, semua penyelenggaraan jalanraya adalah di bawah bidangkuasa kami, tetapi ia amat bergantung kepada prosedur kerana sesebuah jalanraya yang harus menjadi tanggung jawab kami, mestilah tersenarai dalam arahan yang dikeluarkan oleh atasan. Jika tidak, kami tidak dapat lakukan apa-apa,” tegas Sameon.
Dalam pada itu, Pemaju Mukim Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) kawasan DUN Melalap, Simon Mamat ketika diminta mengulas perkara tersebut turut menjelaskan bahawa jalanraya terbabit telahpun diserapkan ke dalam senarai syarikat berkenaan untuk tanggung jawab penyelenggaraan.
“Kita juga tidak pasti sama ada pihak Kekal Mewah sudah memasukkan ke dalam senarai mereka ataupun belum tetapi tidakkanlah dalam masa beberapa tahun lalu ia belum tersenarai lagi,” tegas Mamat lagi.
Penemuan permasalahan itu timbul ekoran rungutan beberapa individu dan penduduk di persekitaran kawasan terbabit yang menghantar nota bantahan kepada Sabahkini.net meminta agar pihak-pihak tertentu mengambil perhatian serius terhadap keadaan jalanraya tersebut yang seolah-olah dianaktirikan.
“Kami adalah pembayar cukai, tentulah berhak mendapat jalanraya yang baik. Dulu semasa era kerajaan PBS, jalanraya ini sangat baik dan selalu diselenggarakan tetapi kini dalam kerajaan BN tentunya lebih baik?,” tegas salah seorang penduduk di situ yang hanya mahu dikenali Puan Yen.
JALAN BABI…Seorang penduduk menunjukkan rumput tinggi di tepi jalanraya tidak dipotong kelihatan samak samun.
Sementara itu, beberapa individu turut meluahkan perasaan kejanggalan mereka terhadap sikap agensi kerjaan khususnya syarikat konsesi terbabit yang sekadar lebih gemar memberi ungkapan retorik konon mereka akan lakukan dalam masa terdekat, tetapi hanya omongan itu kosong belaka.
Malahan ada yang kedengaran meluahkan perasaan bahawa negara sudah melalui alam Kemerdekaan selama 53 tahun manakala di Sabah baru sahaja merayakan hari Malaysia yang ke 47 tahun, tetapi mengapa masih ada jalanraya berstatus ‘Jalan Babi Hutan’.
Ada juga yang terang-terangan mengatakan walaupun dalam bentuk jenaka bertanya di mana sudah slogan ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ Apakah sudah menjadi ‘Kontraktor didahulukan, Babi Hutan diutamakan?’.
No comments:
Post a Comment