Wednesday 22 September 2010

GOLONGAN MUALAF DINAFIKAN HAK?

Saudara Pengarang,

SAYA tujukan surat terbuka ini kepada semua pihak khususnya para pemimpin Islam tidak kira parti, badan NGO, orang perseorangan dalam semua peringkat jawatan atau di kalangan yang tidak berjawatan wajar memberi jawapan terhadap persoalan yang dikemukakan.

Apa jua jenis jawapan dari anda, bakal kami terima dengan hati terbuka. Namun, sebagai mualaf, selagi persoalan ini tidak dijawab mengikut fakta dan alasan-alasan yang munasabah, selagi itulah pihak kami tetap dalam keadaan tertanya-tanya dengan pelbagai andaian dan tidak mustahil jika sebilangan besar di kalangan kami terguris hati apabila ada segelintir umat yang manganggap kami sebagai kelompok yang selalu mendatangkan masalah dalam dunia Islam.

Persoalannya, mengapa permintaan kami terhadap seorang senator tidak penting pada pandangan anda? Bukankah jelas ia kelihatan tidak penting pada umum kerana sejak merdeka hingga kini, belum pernah dalam pengetahuan kami seorang senator khas untuk kelompok mualaf dilantik sebagaimana kelompok OKU, artis, orang asli dan lantikan untuk bahagian-bahagian lain yang secara khusus lantikan-lantikan ini sebagai mewakili sebahagian dari kelompok yang berkeperluan walaupun ia juga berkepentingan bagi pihak kerajaan.

Jika ini jawabnya, barangkali kelompok kami sememangnya dilupakan walhal kami juga punya potensi lebih besar dan menguntungkan agenda kalian, jika untung yang jadi ukuran mereka yang berkaitan.

Namun, kalau melihat secara tulen wajah Islam itu sendiri, amat jelas kewujudan seorang senator di kalangan kami bakal memberi impak dan kekuatan Islam, sebenarnya. Atau mungkin kalian tidak melihat perkara ini? Jika demikian, apa kata kalau kami dipanggil duduk dalam meja bulat kalian dan biar kami bentangkan keuntungan-keuntungannya.

Rasanya, cukup dahulu persoalan pertama ini kami ajukan. Kepada anda yang sedang membaca tulisan ini, sila berikan respon mengikut perhitungan anda dengan jujur dan ikhlas beserta fakta dan alasan yang membolehkan pertanyaan kami ini terjawab sama ada tidak layak bersenator atau sebagainya.

Namun, jika di sudut hati anda menyatakan permintaan ini ada kebenaran dan kelayakannya, maka, tinggalkanlah komen tanda setuju, atau seumpamanya. Selain itu, kami juga sangat-sangat mengharapkan agar tulisan bisu ini anda salin, war-warkan, simpan dalam blog anda atau kongsikan di facebook anda agar segenap lapisan masyakaat Islam dapat mengambil bahagian untuk memikirkannya.

Sekian, Terima kasih.

Bagi Pihak Suara Mualaf Sabah.

NAZRI ABDULLAH

No comments:

Post a Comment