Saudara Pengarang,
SAYA tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Nazri Abdullah yang bertajuk ‘Golongan Mualaf Dinafikan Hak’ yang disiarkan di Sabahkini.net.
Berikut antara petikan yang menarik minat saya;
”Namun, sebagai mualaf, selagi persoalan ini tidak dijawab mengikut fakta dan alasan-alasan yang munasabah, selagi itulah pihak kami tetap dalam keadaan tertanya-tanya dengan pelbagai andaian dan tidak mustahil jika sebilangan besar di kalangan kami terguris hati apabila ada segelintir umat yang manganggap kami sebagai kelompok yang selalu mendatangkan masalah dalam dunia Islam.”
Tuntutan apakah yang dimaksudkan oleh penulis, kerana keperluan seorang Senator untuk golongan Mualaf menggambarkan ada tekanan dan keperluan untuk membuat tuntutan tersebut.
Sepertimana yang kita sedia maklum, golongan artis berjuang mendapat seorang Senator mewakili mereka berdasarkan beberapa perkara seperti sumbangan besar pihak artis tanahair semenjak Merdeka dengan memartabatkan seni budaya kita di peringkat antarabangsa, memupuk keharmonian serta perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan juga sumbangan ekonomi yang besar daripada industri hiburan tanahair.
Manakala untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pula, Senator yang dilantik adalah untuk memastikan kebajikan golongan ini tidak diabaikan di samping usaha bagi menambahbaik taraf kehidupan seluruh golongan OKU menerusi kebajikan yang disediakan oleh kerajaan.
Saudara Pengarang,
Saya dilahirkan dalam keluarga penganut Roman Katholik dan terpanggil memeluk agama Islam pada tahun 1998, ketika saya masih bujang, sekalipun Malaysia merupakan antara negara di dunia yang memberi hak kebebasan beragama.
Bagaimanapun, perkara ini amat sukar dan melibatkan sensitiviti pelbagai pihak kerana agama juga merupakan satu cabang tradisi/budaya masyarakat berbilang suku kaum khususnya di Sabah.
Oleh sebab itu, keputusan memeluk Islam merupakan antara peristiwa paling besar dalam hidup saya sehingga hari ini. Mungkin tidak perlu saya ceritakan bagaimana perit maungnya hidup sebagai seorang Mualaf apabila anda dilahirkan daripada golongan masyarakat yang berpegang kuat kepada tradisi.
Selepas lima tahun pertama memeluk Islam, pada suatu malam tiba-tiba saya mendapati perjalanan kehidupan yang saya tempuhi dengan penuh ranjau dan duri merupakan satu ‘Transformasi’ bagi seluruh kehidupan Jasmani dan Rohani saya.
Saya mendapati wujud satu ‘kemahuan semulajadi’ ingin ‘BERDIRI’ seperti umat Islam yang lain.
Justeru itu saya akhirnya mendapati bahawa saya telahpun menemui JALAN KEBENARAN menerusi agama Islam.
Dengan ikhlasnya saya mengakui pengetahuan saya dalam agama Islam masih lagi ibarat bayi masih merangkak sehingga hari ini dan saya bersyukur kerana Allah swt memberikan hidayah melalui minda sehingga mampu merubah level pemikiran manusiawi saya setelah melihat terang.
Melalui terang itulah akhirnya saya mampu membuat kesimpulan bahawa ilmu yang diturunkan oleh Allah swt juga disampaikan melalui ‘perpaduan’ orang ISLAM di sekeliling saya.
Petikan berikut juga mengkabutkan pandangan saya;
“…..ada segelintir umat yang manganggap kami sebagai kelompok yang selalu mendatangkan masalah dalam dunia Islam”
Sepanjang pengalaman saya sebagai ‘mualaf’, saya tidak nampak sebarang perbezaan status antara orang Islam yang sedia ada dengan golongan Mualaf. Apa yang jelas, peranan utama golongan ‘saudara baru’ adalah berusaha menghayati, mengambil sebanyak ilmu daripada umat-umat Islam yang berpengalaman.
Insyaalah kita terlepas daripada dipandang serong oleh semua lapisan masyarakat berbilang bangsa serta agama di negara Malaysia tercinta ini.
Sekian.
Yang Ikhlas
MOHD DAUD ABDULLAH
No comments:
Post a Comment