Saturday 18 September 2010

BATU SUMPAH MONUMEN 16 SEPTEMBER



Oleh: GONOD SUNDA

DI SEBALIK hikmah ‘Batu Sumpah’ yang dipindahkan ke perkarangan Pejabat Urusetia Daerah Keningau daripada tapak asalnya di kawasan bukit kecil, Hotel Perkasa beberapa tahun lalu kini seakan akan merangsang kesedaran para pemimpin kerajaan BN sehinggakan mereka timbul minat untuk menjengoknya setelah berpuluh-puluh tahun tidak memperdulikannya, apa lagi untuk memperingati isi kandungan ‘sesumpah’ yang terkandung dan terukir di atas batu sumpah itu.

Tidak ada ertinya pihak penganjur yang datangnya daripada pemimpin PBRS jika ia dirancang secara tergesa-gesa iaitu di saat-saat akhir sekadar bertujuan untuk bersaing dengan BHF (Yayasan Warisan Borneo) yang sebelum ini telahpun merancang lebih awal acara mereka bersempena dengan Hari Kemerdekaan 16 September di perkarangan Batu Sumpah Keningau.

Malapetaka yang berlaku kepada penganjur PBRS itu sehinggakan para pemimpin masyarakat tidak sempat diberi maklum tentang hasrat penganjur itu yang menyebabkan mereka (pemimpin masyarakat) tidak dapat menghadirkan diri menurut tulisan wartawan Rozie Jumat.

Persoalannya, apakah majlis yang dianjurkan oleh Rayner F Udong selaku bagi pihak PBRS itu di perkarangan Batu Sumpah adalah sebenar-benarnya ikhlas ingin memperingati dan menghormati kewujudan Batu Sumpah itu termasuk isi kandungan yang terpahat di atas Batu Sumpah tersebut atau sekadar ingin berlumba-lumba dan bersaing dalam konteks Politik dengan BHF di bawah teraju pengerusi penganjurnya, Datuk Kalakau Untol kerana beliau tahu bahawa BHF yang kebanyakan ahlinya dari PKR?

Sekiranya itulah hasrat pemimpin PBRS terutama, Rayner F Udong masih menganggap bahawa Batu Sumpah itu ada signifikan bagi perjuangan mereka dan bukan sekadar permainan sandiwara politik, maka kita bersyukur dan tabik hormat kepada mereka kerana nampaknya mereka sudah sedar tentang perjuangan dan aspirasi RAKYAT pedalaman yang mahukan hak-hak RAKYAT Sabah khususnya di pedalaman terus dihormati malah, dilindungi selepas pembentukan Malaysia.

Kita berkata sedemikian kerana selama PBRS wujud sebagai sebuah parti politik, terutamanya ketika mereka berada dalam Gagasan BN, parti itu tidak pernah memperjuangkan hak-hak asasi rakyat sepertimana yang terkandung di dalam 20 Perkara, apatah lagi untuk mengadakan majlis memperingati Batu Sumpah setiap kali tiba 16 September.

RAKYAT Sabah dalam beberapa puluh tahun sebelum ini tidak putus-putus mendesak kerajaan Persekutuan supaya mengkaji dan memperbetulkan segera kepincangan yang berlaku di dalam Perjanjian Pembentukan Malaysia sepertimana yang digariskan di dalam 20 Perkara, namun kita bersyukur kerana beberapa tahun kebelakangan ini sudah ada riak-riak kecenderungan mereka (Pusat) menerapkan sebahagian daripada tuntutan pembetulan yang terhakis di dalam 20 Perkara dan kita berharap ia akan berterusan.

Namun, sekadar memperbetulkan kepincangan yang diibaratkan perkara sekecil nyamuk, bukan bermakna ia sudah memadai untuk RAKYAT Sabah, tetapi apa yang perlu dilakukan ialah hasil kekayaan Bumi Sabah seperti Gas, sumber galian dan mineral diberi penekanan yang serius dari segi pengagehan hak ROYALTI, supaya Sabah mampu membangun dengan pesatnya dengan adanya sumber kewangan yang stabil dalam menjana pertumbuhan ekonomi Sabah.

Dalam ertikata lain, PBRS dan Rayner boleh mengaplikasikan kandungan yang tercatat di dalam Batu Sumpah itu sebagai misi mereka untuk mendesak Kuala Lumpur agar menghormati serta menunaikan kehendak ‘Rakyat Pedalaman’ khususnya Rakyat Sabah pada keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment