Friday 17 September 2010

BILA MANGSA CULIK SEBANGKAT DIMERDEKAKAN?



Oleh: MUTALIB M.D

KEHADIRAN Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak disambut gembira oleh seluruh rakyat Sabah yang hauskan kasih sayang dan keprihatinan beliau yang mula ‘Menjuarai Rakyat’ melalui slogan ‘1Malaysia’ sehingga mereka berpusu-pusu dalam kesesakan menyambut pemimpin kesayangan mereka; termasuklah keluarga dua mangsa culik yang menanti penuh debar.

Setelah buntu untuk mengumpul dana RM2 juta yang diminta penculik; sekalipun dinafikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim sebelum ini dan menuduh Sabahkini.net mereka-reka cerita untuk memburukkan imej PDRM; keluarga mangsa terpaksa bersesak-sesak untuk menemui Perdana Menteri kerana sudah putus harap sejak mangsa diculik pada 8 Februari lalu.

Percubaan demi percubaan para perunding yang dilantik kerajaan untuk mengumpul dana dan mengadakan rundingan sering sahaja gagal dan disambut dingin oleh pemimpin Sabah; seolah-olah menganggap dua jiwa rakyat Malaysia tidak bernilai.

Senario genting ini menyebabkan ibu salah seorang mangsa culik, Tsen Vui Chung, iaitu Wong Shui Khau, 64, dan isteri Tsen, Chua Mui Ling, 33, hanya menggantung harap untuk meminta bantuan Perdana Menteri Malaysia sebagai usaha terakhir untuk membebaskan Tsen dan sepupunya, Lai Wing Chau yang diculik di Sebangkat dan kini berada di Tawi-Tawi, Filipina.

“Dana yang kami kumpul tidak cukup dan kami tidak mampu mencari wang untuk memenuhi permintaan mereka sebanyak RM2 juta,” ujar Chua yang tidak pasti bagaimana mahu menemui Perdana Menteri dalam keadaan kawalan ketat sedangkan beliau hanya meminta masa antara lima sehingga sepuluh minit untuk menyatakan sokongan dan mengharapkan ehsan.

Namun mampukah Perdana Menteri memenuhi hasrat mereka dalam keadaan ada pihak menahan lukah di pergentingan yang sudah pasti akan menyekat hasrat murni waris mangsa berkenaan yang bukan sesiapa bagi pemimpin Sabah.

Jika rakyat Malaysia begitu prihatin terhadap rakyat Palastine yang diserang Israel dan rakyat Acheh yang dilanda Tsunami; namun di mana keprihatinan mereka untuk menyelamatkan nyawa Tsen Vui Chung dan Lai Wing Chau yang didakwa polis bukan diculik dan kemudiannya mengakui mangsa berada di Filipina tetapi tidak ada sebarang wang tebusan diminta.

Sedangkan isteri Tsen, Chua mengakui bahawa penculik akan menelefon mereka setiap bulan dan hanya terhenti sejak dua bulan lalu, tetapi menerima panggilan telefon seminggu lalu serta dapat bercakap dengan suaminya yang menyatakan dalam keadaan sihat dan tidak diapa-apakan penculik.

Menurut Chua, beliau hanya diberitahu oleh keluarganya, Datuk Seri Chong Man Tung bahawa penculik memerlukan wang tebusan sejumlah RM2 juta sebelum membebaskan Tsen dan Lai.

Senario ini menyebabkan anak perempuan Tsen, 15, dan anak lelakinya, 11, murung sejak bapa mereka diculik dan seluruh keluarga mangsa hanya mampu berdoa agar keluarga mereka dibebaskan dengan selamat.

Dalam pada itu, Pengerusi Pewaris Taman Marin Tun Sakaran, Abdullahsani Haji Abdul Salleh menyalahkan pihak polis yang tidak cekap menjalankan tugas sebaliknya menuding jari kepada keluarganya sehingga imej keluarga tercemar oleh pelbagai dakwaan liar termasuk isu pembayaran gaji.

“Sekarang terserlah bahawa polis hanya mahu publisiti tetapi tidak tahu bekerja. Kenapa sekarang tidak berani nafikan penculik meminta tebusan? Apa polis buat sekarang?” tanya Abdullahsani yang kecewa dengan sikap PDRM yang menyebabkan perniagaan keluarganya musnah disebabkan kegagalan polis menangani masalah penculikan ini.

Tegas Abdullahsani lagi, Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal langsung tidak mahu bertanggung jawab terhadap isu keselamatan di Semporna kerana enggan membantu walau lima sen untuk mengumpul dana membebaskan tebusan yang masih dalam tawanan penculik.

“Walaupun kedua mangsa berketurunan Cina, apakah Ahli Parlimen Semporna yang juga menteri kabinet hanya berkhidmat untuk ahli UMNO dan orang Melayu? Bukankah mereka yang diculik ini rakyat Malaysia? Kenapa Shafie enggan campurtangan?” tanya Abdullahsani yang mencabar Shafie melupakan niatnya untuk menjadi Ketua Menteri Sabah sekiranya gagal menyelesaikan isu penculikan ini.

No comments:

Post a Comment