Monday 27 September 2010

NILWAN JOLOK SARANG TEBUAN?



Oleh: MUSLIMIN AMIN

KEGAGALAN Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyiapkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kunak yang belum siap meskipun pembinaannya sudah dimulakan sebelum pilihan raya umum 2008, menyebabkan Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang menuding jari kepada SPNB kerana ‘Buta Pentadbiran’.

Ketua AMK PKR Kunak, Citra Masadi dalam kenyataannya melalui SMS dan telefon membidas Nilwan yang tidak tahu pentadbiran kerajaan dan akhirnya melemparkan batu kepada SPNB namun tidak sempat menyembunyikan tangan ketika menjolok sarang tebuan!.

“Sebagai Wakil Rakyat, beliau harus tahu setiap projek pembangunan yang bakal, sedang dan akan dilaksanakan di Kunak dengan meminta semua pihak yang terlibat memberikan data dan taklimat atau turun padang meninjau masalah yang mendapat keluhan rakyat,” kata Citra yang menyifatkan kenyataan Nilwan di Rumah Terbuka Aidil Fitri di Dewan Masyarakat Kunak sebagai ‘YB Hilang Akal’.

Citra membidas kenyataan terbuka Nilwan yang menyebut bahawa beliau sudah berbincang dengan Pegawai Daerah Kunak supaya surat amaran dihantar kepada pemaju yang dilantik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang gagal menyiapkan projek penting berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan sehingga memberi imej tidak baik kepada kerajaan dan beliau sebagai wakil rakyat.

“Jika Nilwan tidak lagi mampu mentadbir urus semua projek di Kunak dan Pegawai Daerah tidak tahu siapa pengendali projek di Kunak, sebaiknya mereka meletakkan jawatan daripada makan gaji buta,” ujar Citra yang menegaskan bahawa pihaknya telah beberapa kali menimbulkan isu PPR pada pilihanraya umum 2008, namun malangnya Nilwan hanya berjanji kosong ketika itu.

Kata Citra, kini sudah jelas dan ketara bahawa Nilwan tidak tahu apa-apa dan bersikap melepaskan batuk ditangga kerana merasakan pilihanraya semakin hampir dan beliau tidak mampu menunaikan janji kepada rakyat.

Dalam pada itu, menurut laporan bernama Nilwan menyalahkan SPNB yang tidak memaklumkan kepada beliau berhubung projek PPR sehingga menyulitkan beliau menghadapi tohmahan rakyat.

"Ini menjadi permasalahan kepada kita kerana SPNB memberikan projek itu terus kepada syarikat pemaju tanpa memaklumkan kepada Pejabat Daerah. Saya tanya Pejabat Daerah, Pejabat Daerah tidak tahu. Saya tanya Jabatan Kerja Raya (JKR), JKR pun tidak tahu. Masalahnya, kalau kita nak memantau projek itu, kita nak rujuk kepada siapa?" kata Nilwan kepada Bernama.

No comments:

Post a Comment