Sunday 26 September 2010

OKK HASSNAR TEGUH KIBAR PANJI-PANJI PKR?



Oleh: ZIELAH A

SETELAH mengotakan apa yang dikatakan selama ini, akhirnya Mantan Ketua Daerah Sandakan, OKK Hassnar MP Ebrahim mampu melakukan misinya untuk membawa perubahan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Batu Sapi dengan teguh berdiri mengibar panji-panji PKR dalam kancah politik Sabah.

OKK Hassnar yang memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Batu Sapi dengan majoriti 88 undi, setelah memperolehi 220 undi berbanding dua calon lain, Ahmad Ibrahim dan Mohd Din Mustapha yang masing-masing memperoleh 132 undi dan 50 undi.

Timbalan Ketua Cabang dimenangi oleh Amir Bak Laja, manakala Naib Ketua Cabang dimenangi Abdullah Madon yang diperkuat oleh Jawatankuasa Cabang yang terdiri daripada Adin Hj Ismail, Albaris Nasra, Arbiah Abdullah, Azman Astarail, Laja Sanuh, Matayang Basirin, Aris Remegius, Amat Undong, Bakil Bondan, Alus Hussian, Ismail Jumail, Enting Berahim, Nurdin Amat, Riduan Salhan dan Zainuddin Hassan.

OKK Hassnar yang ditemui selepas pemilihan berkenaan berkata, kemenangan tersebut merupakan ledakan semangat rakyat Sabah yang tertindas untuk membentuk Tsunami yang membadai Barisan Nasional pada pilihanraya umum akan datang dan merupakan satu tugas yang berat tanpa sokongan ahli PKR.

“Kita kena pastikan PKR benar-benar bersih daripada petualang di dalam parti dan setakat ini kita bersyukur kerana PKR Sabah hampir kelihatan bersih sekalipun masih ada saki baki pengkhianat tegar di dalam PKR, tetapi syukur kerana pemimpin mula menerima saranan ahli,” ujar OKK Hassnar yang mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan ahli PKR Batu Sapi kepada beliau untuk memimpin cabang yang sering ditimpa masalah dalaman sebelum ini.

Wawasan untuk memenangi pilihanraya umum akan datang, kata OKK Hassnar, adalah visi tunggal rakyat Sabah dan sebagai salah seorang pendukung perjuangan PKR, beliau dan penyokongnya telah bersedia untuk menggempur BN sekalipun akan menghadapi tentangan sengit di Batu Sapi dan Sandakan.

“Kemenangan saya tidak penting, tetapi menentang BN secara berterusan sehingga menjelang pilihanraya umum akan datang adalah tugas penuh komited semua ahli PKR dan rakyat Sabah yang inginkan pembaharuan,” kata OKK Hassnar yang optimis PKR akan berjaya melaksanakan lima visi rakyat Sabah iaitu Kemajuan, Kemakmuran, Kesaksamaan, Kebebasan dan Keadilan.

No comments:

Post a Comment